PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin berkata beliau boleh saja bermain politik ketika menjadi Perdana Menteri dengan membalas segala kritikan lawan yang menyerangnya semasa menerajui Putrajaya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau sebaliknya mengambil langkah tidak terlalu berpolitik ketika menerajui kerajaan kerana ketika itu rakyat sedang susah akibat Covid-19.
“Saya sudah 45 tahun dalam kancah politik, saya tahu politik, bukan saya tak nak bahas, bukan saya tak tahu nak hentam lawan (politik). Sebab saya tahu rakyat di bawah tengah susah, mereka akan maki saya kalau saya buat begitu (bermain politik), kerana kes tidak selesai tetapi kita bergaduh sesama sendiri, berebut kuasa.
“Kerana itu, ketika saya sebagai Perdana Menteri (fokus) adalah untuk membantu rakyat. Itu bagi saya paling penting, paling utama. Itu yang kita lakukan dan kita berjaya,” katanya menerusi program Agenda Awani malam ini.
Muhyiddin berkata demikian ketika menjelaskan tindakan beliau yang tidak terlalu berpolitik semasa menjadi Perdana Menteri.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berharap kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob meneruskan agenda untuk memulihkan negara daripada pandemik Covid-19 dan mengutamakan kebajikan rakyat seperti dilakukan pentadbiran terdahulu.
Katanya, ia termasuk memberikan perhatian bagi mengangkat dan memulihkan kembali sektor ekonomi negara dan bukannya fokus terhadap krisis politik yang berpanjangan.
“Saya harapkan kerajaan pimpinan Ismail, adalah lanjutan kerajaan dahulu (yang) dapat meneruskan tugas-tugas dan tanggungjawab yang masih belum dapat kita laksana dan selesaikan, kita ada banyak agenda tapi tumpuan utama ialah pulihkan negara termasuk sektor ekonomi, ini harus jadi perhatian kerajaan,” katanya.
Beliau turut menyambut baik usaha dilakukan Ismail yang memeterai kerjasama dwipartisan menerusi memorandum persefahaman (MoU) bersama Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kestabilan negara serta meredakan suhu politik.
“Asal tidak ada gangguan politik, baru-baru ini yang saya lihat MoU kerajaan dan Pakatan Harapan, harap (ia) dapat meredakan keadaan dan memberikan lebih masa untuk menumpukan kerja pokok, itu penting kalau ianya (kemelut politik) dapat dikurangkan, kita dapat fokus membantu rakyat,” katanya.
Ditanya sama ada beliau menyesal melepaskan jawatan Perdana Menteri, Muhyiddin berkata isu tersebut tidak berbangkit kerana beliau mendukung prinsip perlembagaan.
“Ini bukan soal menyesal atau tak menyesal, saya pegang prinsip mendukung perlembagaan negara, bila mana saya melihat saya tidak lagi mempunyai sokongan majoriti sebab 15 Ahli Parlimen Umno tak sokong, saya tidak boleh bertahan lama.
“Jadi saya kena letak jawatan, kerana ini sudah ditakdirkan, saya terima ia sebagai takdir, tapi itu tidak melemahkan semangat saya untuk terus bertindak yang saya rasakan betul untuk rakyat,” katanya.