CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2011|Reply: 0

[SEJARAH] MAVIA – RATU SRIKANDI YANG MENGGERUNKAN PARA PEMERINTAH

[Copy link]
Post time 30-9-2021 10:21 PM | Show all posts |Read mode
MAVIA – RATU SRIKANDI YANG MENGGERUNKAN PARA PEMERINTAH LELAKI DI ZAMAN PURBA


Seorang wanita yang kisah hidupnya masih belum dapat dipastikan secara jelas oleh mana-mana bukti arkeologi diperakui sebagai salah seorang ratu Arab purba yang paling masyhur. Menyusuli Zenobia si ratu Palmyra, Ratu Mavia adalah salah seorang wirawati dari gurun pasir. Kisahnya hanya kekal hidup dalam lagu rakyat dan tradisi lisan. Namun dengan maklumat sebegini, para penyelidik berupaya membina semula versi-mungkin bagi biografinya.

Padang pasir yang dihuni oleh suku-suku Arab pernah diperintah oleh ramai penguasa yang namanya tidak dikenali. Kisah tentang para raja dan ratu yang dilupakan ini telah hilang bagai terkambus di dalam butir-butir pasir. Kebanyakan mereka suku-suku Arab ini adalah buta huruf. Makanya, hikayat mereka tidak dicatatkan dengan banyak. Namun, sebahagian kenangan tentang mereka kekal hidup menerusi lagu-lagu rakyat dan legenda-legenda yang diwarisi secara lisan. Di zaman terkemudian, kisah-kisah ini mula dituliskan.

Salah satu kisah tersebut memerihalkan tentang legenda Ratu Mavia, yang dianggap lebih berkuasa berbanding mana-mana lelaki lain di zamannya sekaligus menjadi inspirasi bagi wanita-wanita Arab purba.
Nama Arabnya adalah Mawiyya. Namun, beliau juga dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai Mavia.

Beliau berkemungkinan adalah puteri dari suku Tanukhid, Bapanya yang telah kehilangan sokongan suku-suku Arab berhijrah ke wilayah utara Semenanjung Tanah Arab. Puterinya, Mawiyya berkahwin dengan al-Hawari, seorang raja suku Tanukh. Pemerintahannya berlangsung pada tahun 375M.

Mavia menjadi pemerintah-bersama ketika kaumnya menuntut pemberontakan terhadap Empayar Rom. Selepas kemangkatan al-Hawari, Maharaja Valens dari Rom beranggapan menakluk dan men-Kristiankan rakyat Mavia merupakan suatu tugas yang mudah.

Namun, Mavia yang pada waktu itu hidup di Aleppo mengambil keputusan untuk berundur dari kota dan membawa diri ke kawasan gurun – sekaligus dengan drastik meningkatkan peluangnya untuk menewaskan musuh dari Rom. Sebahagian penyelidik berpendapat bahawa beliau telah pun menganut agama Kristian pada masa itu. Namun, tiada bukti jelas bagi mendokong kenyataan ini.

Sangkaan tersebut mungkin berakar dari sebuah legenda – legenda pertemuan antara Ratu Mavia dan seorang paderi Ortodoks. Dikisahkan bagaimana paderi tersebut meluangkan masanya dengan beliau dan menukarkan agamanya menjadi Kristian.

Namun, penulis-penulis Rom meragui kesahihan legenda ini dan mengutarakan pendapat bahawa legenda tersebut berkemungkinan telah dicipta pada masa yang lebih terkemudian. Dalam erti kata lain, Mavia mungkin adalah seorang ratu yang mengamalkan kepercayaan paganisme.

Kehidupan Mavia kebanyakannya berlangsung di gurun pasir, di atas kuda dan di medan perang. Selain bertempur melawan Empayar Rom, beliau juga masyhur kerana kejayaannya di Phoenicia dan Palestin. Pasukan kavalrinya terkenal gagah di medan tempur. Dikatakan bahawa Mavia begitu mahir menunggang kuda di samping kegagahannya sebagai pahlawan turut diperakui.

Tanpa belas kasihan, beliau menewaskan musuh yang tidak terhitung banyaknya – masing-masing merendahkan beliau atas faktor jantina. Ramai pemerintah lelaki tidak menghormati beliau dan memasang hasrat untuk menakluk wilayahnya pada awal pemerintahan Mavia. Namun seiring peredaran masa, pemerintahan Mavia berkembang menjadi sebuah kekuatan yang digeruni di rantau Mediterranean.


ADAKAH BELIAU BENAR-BENAR WUJUD?




Mencari sumber-sumber sejarah primer tentang Mavia bukanlah suatu tugas mudah. Kebanyakannya bercampur dengan kisah para pemerintah lain, termasuklah kisah legenda Zenobia si ratu Palmyra. Oleh kerana itu, terdapat teori-teori berlainan tentang Mavia. Memetik Archaeology Magazine:
“De Vries menotakan bahawa sifat semula jadi kaum Saracen yang hidup secara nomad berkemungkinan meninggalkan bukti arkeologi yang sedikit jumlahnya.

“Bagi harta kebendaan Mavia, perkara yang perlu anda fikirkan adalah khemah dan bukannya istana,” ujar beliau. “Secara umum, bukti kebendaan bagi kebudayaan Arab pada masa itu seringkali bersifat tidak tahan lama dan secara tekstual, mereka tidak cenderung menulis (sejarah) tentang diri mereka sendiri.”

“Pemberontakan (terhadap Rom) tidak berpanjangan lama dan pastinya, ia tidak meninggalkan sebarang tinggalan arkeologi yang dapat saya sedari. Bukti arkeologi sebegini sukar untuk dilakukan pentarikhan, melainkan terdapat nama pada bukti berkenaan,” ujar Bowersock.

Ilmuwan Islam Irfan Shahid mempercayai bahawa sebuah inskripsi dari tahun 425M yang ditemui berhampiran Anasartha, Syria memberikan perincian tentang sumbangan Mavia kepada penduduk Kristian tempatan. Teks tersebut memuji seorang wanita bernama Mavia dan menyatakan bahawa beliau membina sebuah tugu atau binaan yang didedikasikan kepada seorang saint, iaitu St. Thomas. Shahid berpendapat bahawa tarikh dan nada pujian pada inskripsi tersebut bersesuaian dengan seseorang yang boleh dianggap memiliki sifat sebagai ratu srikandi.

Bowersock membalas pendapat ini dengan menegaskan bahawa nama “Mavia’ bukanlah suatu nama yang asing. Kita sememangnya pernah menemukan orang yang bernama ‘Mawiya’ dalam inskripsi-inskripsi pada masa itu, namun itu bukanlah sandaran utama untuk menganggap ianya merujuk kepada Mavia.”

Tambah de Vries pula, “Irfan Shahid, rakan saya itu sememangnya berlebih-lebihan dalam memberi ulasan terhadap bukti berkenaan kerana beliau begitu mahu supaya Mavia itu diperakui sebagai seorang ratu dari Arab yang beragama Kristian… beliau banyak mengeluarkan spekulasi (pendapat), dan kadangkala spekulasi itu dijadikan fakta apabila beliau menyebutnya pada kemudian hari.”



Para penyelidik telah menganalisa ratusan teks yang berkemungkinan memerihalkan tentang Mavia, namun tiada artifak khusus yang boleh dikaitkan secara jelas dengan ratu tersebut. Walau bagaimanapun, beliau diyakini mangkat di Anasartha, wilayah timur Aleppo. Kebanyakan penyelidik sependapat dalam mengatakan tahun 425M sebagai tahun kemangkatannya; sekitar seratus tahun setelah kemangkatan Ratu Zenobia, seorang lagi pemerintah wanita hebat yang menjadi legend

PENCARIAN RATU YANG HIDUP SECARA SEMI-NOMAD

Kebanyakan penyelidik bersepakat mengatakan bahawa Ratu Mavia benar-benar wujud. Beliau diyakini sebagai seorang pemerintah dunia Arab yang hebat. Lebih dari itu, beliau adalah seorang wanita paling berpengaruh dalam sejarah purba rantau berkenaan. Namun, sebahagian kisahnya seputar kehidupannya kedengaran mirip dengan kisah hidup Zenobia sekaligus ilmuwan berpendapat bahawa ianya telah pun bercampur-aduk di zaman terkemudian. Walau apapun, kedua-dua tokoh wanita ini tetap jua diperakui sebagai ikon ulung dunia Arab.

SUMBER
Irfan Shahid. Rome and the Arabs: A Prolegomenon to the Study of Byzantium and the Arabs. 1984.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-5-2024 09:00 PM GMT+8 , Processed in 0.689207 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list