|
Hikmah kontroversi Lisdawati - Fauzi
29-09-2006 09:39:16 AM
Wahida Asrani
Siapa sangka walaupun dengan kontroversi yang sedang melanda pasangan ini, rezeki mereka nampaknya semakin mencurah-curah.
Sempena Aidilfitri ini, Lisdawati dan Fauzi Nawawi dilantik pula sebagai duta kuih raya 'Rosegar' keluaran Roti Segar (M) Sdn Bhd.
Lis dan Fauzi yang semakin hari semakin serasi
(Foto The Star oleh Kevin Tan)
Ketika ditemui pada majlis perlantikan kedua-dua pelakon sensasi itu di Bukit Bintang Plaza baru-baru ini, Lisdawati atau lebih dikenali dengan panggilan Lis mengakui pemilihan tersebut ada kena mengena dengan gosip tentang hubungan mereka.
"Di dalam industri ini, kita tidak dapat lari daripada gosip. Jadi, saya terima dengan hati terbuka. Memang, sejak kebelakangan ini kami dilanda sedikit gosip dan kontroversi, tetapi, saya tidak rasa itu menjadi faktor utama syarikat ini memilih kami," ujar Lis.
Lis dan Fauzi dikatakan menjalinkan hubungan cinta walaupun sehingga hari ini masing-masing hanya mengaku hubungan mereka adalah seperti rakan karib sahaja.
Bulan lepas, kecoh seketika apabila timbul pula isu pergaduhan di antara Lis dan pelakon Rita Rudaini dan Fauzi dikatakan salah satu punca insiden tersebut.
Fauzi turut mengakui bahawa lebih ramai mengenalinya disebabkan kontroversi itu.
"Tetapi, saya tidak rasa apa yang terjadi ini digunakan oleh syarikat ini untuk lariskan jualan mereka kerana produk mereka memang sudah lama terkenal di merata tempat.
"Sebenarnya, saya ditawarkan untuk menjadi duta produk ini ketika menjalani penggambaran drama di kilang mereka di Manjong, Perak. Memandangkan saya tidak pernah menjadi sebarang duta, saya minta bantuan daripada Lis kerana dia lebih berpengalaman.
"Akhirnya, apabila pihak syarikat tersebut berjumpa Lis, mereka buat keputusan untuk ambil kami berdua," kata Fauzi.
Bagi Lis, walau apapun tanggapan orang mengenai pemilihan mereka berdua untuk produk Rosegar itu, dia lebih suka melihat daripada sudut positif.
Malah, menurut Lis, dengan perlantikan dirinya sebagai duta tersebut, dia berharap agar dapat mempelajari ilmu perniagaan dengan lebih mendalam.
Lis dan Fauzi mempromosikan kuih raya Rosegar sepanjang bulan Ramadan.
(Foto The Star)
"Tidak mustahil jika satu hari nanti saya akan buka perniagaan kuih raya sendiri! Ini satu cara untuk saya tambah pendapatan juga," tambahnya lagi.
Lis dan Fauzi akan mempromosikan kuih raya 'Rosegar' sepanjang bulan Ramadan ini di seluruh negara.
Jika tiada sebarang urusan, mereka berdua juga akan turut menjual kuih-kuih tersebut di gerai Rosegar yang terletak di Sidewalk area, berhadapan dengan Bukit Bintang Plaza yang telah pun dibuka awal Ramadan lalu.
Lis - Fauzi semakin serasi
Walaupun baru berkenalan selama lapan bulan, namun bagi Lis, dia dapat rasakan diantara dirinya dan Fauzi sudah semakin serasi.
"Kami ada minat, hobi dan citarasa yang sama. Saya akui, kami memang rapat dan dia amat istimewa pada saya.
"Tetapi untuk yang selanjutnya daripada itu, biarlah saya rahsiakan saja. Saya tidak mahu umumkan pada orang, takut terjadi perkara yang sama seperti dulu.
"Kalau ada jodoh, adalah," kata Lis yang mengaku sudah dua kali kecewa di dalam percintaan.
Perkara yang sama turut diakui oleh Fauzi yang merasakan hubungan mereka berdua semakin 'rapat' dan 'mesra'.
"Kami ok," ujarnya ringkas sambil tersenyum. |
|