CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: redbun

PRK N11 Permatang Pasir

[Copy link]
 Author| Post time 24-8-2009 02:28 AM | Show all posts
Salleh dilantik terajui MAIPP jika menang

Abdul Rahim Sabri
Ogos 23, 09
11:29pm       

Pakatan Rakyat akan mencadangkan supaya Mohd Salleh Man dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi menggantikan penyandang sekarang sekiranya calon PAS itu menang dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos ini, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jawatan itu masih dipegang oleh setiausaha politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahabudin Yahaya dan tempoh perkhidmatannya akan tamat dua bulan lagi.

"Saya meminta pandangan (Ketua Menteri) YB Lim Guan Eng, untuk menyampaikan hasrat kita, termasuk PKR dan PAS itu. Kita doakan Ustaz Mohd Salleh Man menang.

"Dan sekiranya ini berlaku, kita akan kemukakan nama beliau untuk dipertimbangkan melalui ketua menteri, seterusnya kepada Tuan Yang Terutama ()(Yang Dipertua Negeri) dan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya melantik Ustaz Mohd Salleh Man sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam negeri," katanya.

Anwar memberitahu demikian dalam satu sidang media selepas menyampaikan tazkirah sempena majlis berbuka puasa di Surau Said Jalan Kampung Paya, Bukit Mertajam.

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh berkata selepas kerajaan Pakatan pimpinan Lim menerajui negeri tersebut, jawatan tersebut, masih dipegang oleh Shahabudin.

"Selalunya mengikut kes biasa, perubahan itu berlaku awal, tetapi kita terimalah keadaan sekarang. Kita tunggu sampai tempohnya habis dalam dua bulan lagi, sebelum peralihan kuasa ini berlaku," katanya.

Mohd Salleh Man yang juga pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, merupakan seorang guru agama yang berkelulusan Syariah dari Universiti Malaya.

Dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir Selasa ini, Mohd Salleh berdepan calon BN, Rohaizat Othman yang merupakan setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh.

Menurut Anwar, Mohd Salleh dilihat mampu memantapkan institusi masjid, kegiatan agama Islam di masjid dan pengajian agama Islam di Pulau Pinang, memandangkan kerajaan negeri bercadang untuk menyediakan peruntukan kewangan yang lebih untuk tujuan tersebut, berbanding kerajaan BN sebelum ini.

Dalam sidang media itu juga, Anwar berkata kerajaan Pulau Pinang tidak mengumumkan cuti pada hari pengundian Selasa ini, tetapi akan mengambil langkah untuk memastikan pengundi pulang mengundi.

"Saya merayu agar pegawai kerajaan diberi waktu untuk mengundi dan pejabat ketua menteri, akan menguruskan supaya pengundi daripada kilang-kilang, berkerja mengikut syif dan diberi masa yang cukup untuk datang ke Permatang Pasir untuk mengundi," katanya.

-malaysiakini-
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 24-8-2009 05:58 PM | Show all posts
Post Last Edit by redbun at 24-8-2009 18:01

Isnin Ogos 24, 2009

PAS, BN tak kisah majoriti 1 undi asalkan menang
PAS yakin kekal di Permatang Pasir, BN kata tidak mustahil kembali


Oleh G. MANIMARAN

[FOKUS BERITA] Kempen pilihan raya kecil Permatang Pasir yang sudah menghampiri fasa penghujung sedikit terjejas kerana hujan.

Permatang Pasir dilanda hujan secara berterusan buat hari kedua berturut-turut - kelmarin dan semalam. Bagaimanapun cuaca pagi ini agar terang.

Di sebalik suasana 'dingin' sehingga awal pagi tadi, fokus kempen 24 jam terakhir beralih kepada usaha memperoleh kemenangan, tetapi tidak kisah pada soal majoriti.

Di atas kertas, PAS dilihat mempunyai peluang cerah untuk mengekalkan kerusi yang disandang sejak tahun 1999. Pandangan optimistik ini dilahirkan oleh kesemua pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat.

Justeru, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad menyimpulkan "kekalahan bukan satu opsyen."

"Mereka boleh kata apa mereka hendak cakap (berhubung keyakinan Umno-BN untuk menang)... sebab itu (bagi kami) menang satu undi pun kemenangan," kata Ahli Parlimen Kuala Selangor ini dan juga Pengarah Pusat Penyelidikan PAS ketika mengulas pandangan Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan yang meramalkan kemengan berdasarkan teori pendelum beliau.

Awal pagi tadi Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memberitahu mStar Online "kami terus bekerja keras. Tempoh 24 jam akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk mencapai sasaran kami."

Kelmarin Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pengundi Permatang Pasir mengekalkan kerusi yang dimenangi PAS ini dengan majoriti lebih besar.

"Apa yang ada hanya satu sahaja iaitu mengekalkan kerusi yang sudah dikuasai oleh Pakatan dan dapatkan sebanyak mungkin kerusi-kerusi tambahan dari Umno-BN jika berlaku lagi pilihan raya kecil.

"Ini adalah langkah persiapan untuk mengambil alih kerusi, kemudi di Putrajaya tidak lama lagi. Mari kita sama-sama perbesarkan majoriti kita di DUN N11 (Permatang Pasir) ini agar menjadi kekal, tidak kurang dari 5,000 undi, sekurang-kurangnya untuk ujian pada 25 Ogos 2009," kata beliau dalam pesanan sempena awal Ramadan kepada penduduk Permatang Pasir.

PAS: MAJORITI SATU UNDI OK

Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata: "Saya berkata, saya tidak mengharapkan majoriti besar. Saya mengharapkan majoriti satu undi sahaja."

"Saya daripada awal saya dah berkata bahawa saya mengharapkan majoriti satu undi sahaja walaupun jentera kita bekerja, daripada segi kita bekerja, untuk mempertahankan majoriti yang telah diperoleh.

"Harapan kita, sasaran kita cukup untuk kemenangan satu undi,"
kata Mahfuz semalam.Oleh itu Naib Presiden PAS ini menambah, jika berlaku kekurangan majoriti beliau tidak melihat ia memperlihatkan kekurangan sokongan dan dokongan kepada PAS.

"Sebaliknya ia memperlihatkan bagaimana tindakan-tindakan liar Umno, BN untuk mengancam dan menakutkan pengundi. Ini yang akan menyebabkan penurunan majoriti. Dan, paling penting ialah apabila SPR meletakkan pengundian pada hari bekerja. Ini yang menyukar dan menyulitkan pengundi-pengundi pada keseluruhannya untuk datang ataupun keluar mengundi," kata beliau.

RAIS: BN YAKIN MENANG

Di sebalik pandangan Mahfuz itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim juga yakin dengan kemungkinan BN untuk menang di Permatang Pasir.

Ketika ditanya sama ada yakin berpeluang untuk menang: "Ya."

Bagaimanapun ujarnya, PAS jika pun menang sudah pasti tidak akan memperoleh majoriti yang dicatatkan calon mereka, Datuk Hamdan Abdul Rahman pada Mac 2008.

Perkembangan itu dengan sendiri menunjukkan sokongan kepada PAS tidak kekal sebagaimana dicapai 18 bulan lalu, kata beliau sambil menjelaskan, "kami hendak menerokai ruang di Permatang Pasir" walaupun ia tidak boleh dilakukan sekelip mata.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Ariff Shah Omar Shah turut melahirkan keyakinan yang sama berdasarkan penilaian perkembangan semasa khususnya dengan bersandarkan perubahan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sejak awal April lalu.

"BN ada peluang untuk menang, keadaan bukan seperti pada Mac 2008," kata beliau yang juga Pengarah Jawatankuasa Pengundi Bukan Melayu Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir ketika ditemui mStar Online.

Jika BN menang berapa kemungkinan majoriti kali ini? Ariff Shah berkata: "Dalam lingkungan 200 undi."

Sambil menjelaskan sokongan pengundi bukan Melayu khususnya Cina semakin baik, Ariff Shah yang mempunyai kelebihan menguasai bahasa Mandarin yakin akan memperoleh kira-kira 30 hingga 35 peratus Cina.

Beliau diletakkan sebagai calon BN pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh Ogos 2008 tetapi tewas di tangan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dari segi pecahan pengundi mengikut kaum, DUN Permatang Pasir mempunyai 72.36 peratus pengundi Melayu, Cina (25.86%), India (1.63%) dan lain-lain (0.16%).

ZAHID: BN JUGA HARAPKAN MAJORITI 1 UNDI


Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pengarah Pilihan Raya Kecil BN berkata, pihaknya yakin dan optimis terhadap peluang Rohaizat untuk membantu BN merampas kubu kuat PAS berdasarkan sokongan pengundi yang jitu kepada BN selepas mendengar penerangan daripada pemimpin BN.

"Saya tidak kisah kalau kita hanya menang dengan satu undi asalkan BN menang," kata beliau yang juga Pengerusi Umno Pulau Pinang petang semalam.

Mengulas kenyataan Mahfuz bahawa jumlah turun mengundi akan merosot kali ini berbanding Mac 2008, Zahid yang juga Naib Presiden Umno memberitahu: "Saya ramalkan PAS akan kehilangan kerusi itu."

Pada tahun 1995 BN mengekalkan kerusi Permatang Pasir dengan majoriti 6,198 di mana ketika itu ia turut disaingi calon PAS dan DAP. Empat tahun kemudian ia dimenangi PAS dengan memperoleh majoriti 3,194 undi.

PAS mengekalkannya pada 2004 tetapi majoriti mengecil kepada 679 undi. Pada Mac 2008, PAS mempertahankan kemenangan dengan majoriti 5,433 undi.

Sejak 1986, majoriti di DUN Permatang adalah antara 600 dan 6,000 undi.

Kedua-dua parti yang bertanding ini mengharapkan undi penentu golongan muda dan masyarakat Cina. Dari segi pecahan usia, 40 peratus pengundi adalah mereka yang berusia 21 hingga 40 tahun, 25.5 peratus (41 hingga 50 tahun), 17.6 peratus (51 hingga 60 tahun), 10.38 peratus (61 hingga 70 tahun) dan 15.9 peratus mereka melebihi 71 tahun.

PAS dan BN turun gelanggang dengan mengharapkan kemenangan.

Adat pertandingan pastinya akan ada yang menang dan ada yang kalah. Bagaimanapun di Permatang Pasir, kedua-dua parti mengharapkan kemenangan: satu kemenangan sebenar dan satu lagi kemenangan moral.

Pendek kata PAS tidak meletakkan harapan tinggi untuk mengekalkan majoriti.

Pemerhati-pemerhati politik dan beberapa pemimpin kanan Umno optimistik bahawa jika pun BN kalah, majoriti PAS kali ini adalah dalam lingkungan 2,500 hingga 3,000 undi.

-mStar-
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-8-2009 06:01 PM | Show all posts
1 undi pun menang juga...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-8-2009 06:19 PM | Show all posts
Isnin Ogos 24, 2009

Permatang Pasir: Proses pengundian pos bermula

BUKIT MERTAJAM: Proses undian pos bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir berlangsung di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT), di sini hari ini.

Proses pengundian, yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 5 petang, melibatkan lapan pengundi iaitu tujuh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan seorang pegawai polis.

Setakat pukul 12 tengah hari ini, sebanyak empat petugas SPR dan seorang pegawai polis menyempurnakan tanggungjawab mereka.

Penolong Pegawai Pengurus, Masirah Che Ani berkata proses undian pos hari ini berjalan lancar dan peti undi pos ini akan dihantar ke Institut Kemahiran Belia Negeri (IKBN) sebaik sahaja tamat tempoh pengundian.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir ditetapkan esok berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada PAS pada 31 Julai yang lalu akibat serangan jantung.

Berikutan kekosongan kerusi tersebut, Rohaizat Othman, 38, dipilih mewakili BN untuk menentang calon PAS, Mohd Salleh Man, 52.

DUN Permatang Pasir mempunyai 20,290 pengundi di mana 72.34 peratus pengundi Melayu, 25.86 peratus pengundi Cina, 1.64 peratus pengundi India dan 0.16 peratus pengundi kaum lain-lain. BERNAMA

-mStar-
Reply

Use magic Report

Post time 25-8-2009 10:59 AM | Show all posts
hari dah start dah mengundi..
dan sudah menjadi adat..
ada yg kalah
ada yg menang..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-8-2009 05:30 PM | Show all posts
Selasa Ogos 25, 2009

PILIHAN RAYA KECIL DUN PERMATANG: SEPINTAS

Oleh G. MANIMARAN


SAINGAN DUA PENJURU...Calon PAS, Salleh Man akan berhadapan dengan calon Barisan Nasional, Rohaizat Othman dalam merebut kerusi DUN Permatang Pasir yang berlangsung hari ini.

BERIKUT ialah maklumat ringkas berkaitan pilihan raya kecil kerusi DUN Permatang Pauh yang berlangsung hari ini.

PILIHAN RAYA KECIL: SEPINTAS

- Calon bertanding: Rohaizat Othman, 38, (BN) dan Mohd. Salleh Man, 52, (PAS)

- Status: Rohaizat (Setiausaha Umno Permatang Pauh) manakala Salleh (Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang)

- Kelayakan mengundi: Kedua-dua calon tidak mengundi hari ini, bukan pemilih Permatang Pasir

- Jumlah pemilih berdaftar: 20,290 orang

- Jumlah pengundi pos: 1 orang

- Pecahan pengundi ikut kaum: Melayu (72.36%), Cina (25.86%), India (1.63%) dan lain-lain (0.16%)

- Pecahan pengundi ikut umur: 40% pemilih berusia 21-40 tahun, 25.5% (41-50 tahun), 17.6% (51 hingga 60 tahun), 10.38% (61 hingga 70 tahun) dan 15.9% melebihi 71 tahun.

- Pusat penjumlahan undi: Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam

- Pusat mengundi: Lapan (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lay Keow, Permatang Pauh, Sek. Men. Kebangsaan Samagagah, Sek. Keb. Permatang Pauh, Sek. Keb. Permatang Pasir, Sek. Kebangsaan Bukit Indera Muda, Sek. Jenis Keb. Cina Kubang Semang, Sek. Keb. Seri Penanti dan Sek. Rendah Islam Al-Masriyah

- Saluran mengundi: 39

- Pegawai Pengurus: Roslan Yahaya, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah

- Masa keputusan: Dijangkakan pukul 8 malam

- Majoriti Mac 2008: 5,433 undi (Penyandang: Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman, meninggal dunia 31 Julai 2009

- Pilihan raya kecil ke-8 sejak selepas Mac 2008

-mStar-
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 25-8-2009 05:32 PM | Show all posts
Selasa Ogos 25, 2009

Hari penentuan: Apa kata calon

Oleh G. MANIMARAN

BERIKUT ialah komen kedua-dua calon yang bertanding pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.

Rohaizat Othman (BN):

"Perkembangan yang positif yang disaksikan memberi keyakinan kepada saya untuk meraih sokongan pengundi, sekali gus merampas semula kerusi ini.

"BN telah menjelaskan hasratnya membantu rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur yang dikehendaki selain keperluan lain yang diperlukan di sesuatu kawasan.

"Pengundi Permatang Pasir perlu memberi peluang kepada BN untuk buktikan janjinya kepada mereka.

"Saya minta semua pengundi keluar awal untuk mengundi. Jangan berlengah takut nanti tak sempat untuk mengundi disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Mohd. Salleh Man (PAS):

"Saya cukup bersemangat untuk menghadapi hari pengundian. Maklum balas rakyat selepas berkempen cukup bagus, positif.

"Begitu juga pekerja jentera PAS dari kawasan lain dan dari parti komponen Pakatan Rakyat yang lain yang telah bekerja keras.

"Saya yakin PAS akan kekalkan kerusi ini... tiada masalah untuk kekalkan kerusi. Tentang peratusan undi, saya tidak tahu sebab saya belum balik ke bilik gerakan lagi (selepas berakhirnya kempen tengah malam tadi)."

-mStar-
Reply

Use magic Report

Post time 25-8-2009 05:39 PM | Show all posts
sudah pasti pas akan menang.................hanya rakyat yg mahu perubahan, namun umno masih terus menyalak disiang hari
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 25-8-2009 05:41 PM | Show all posts
Selasa Ogos 25, 2009

PERMATANG PASIR: PERKEMBANGAN PILIHAN RAYA KECIL

Oleh G. MANIMARAN


Calon BN, Rohaizat Othman bersalaman dengan penyokong BN yang berkumpul di kawasan berhampiran pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lay Keow pada pukul 10.40 pagi.


Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kiri) membuang undi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti. Beliau sempat mengangkat tangan calon PAS, Salleh Man yang bertanding di DUN Permatang Pasir. Turut hadir isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail. Foto THE STAR Oleh: MUSTAFA AHMAD.


Suasana tegang antara anggota Pemuda Umno dari Kepala Batas dan PAS yang berhimpun di kawasan berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Seri Penanti. Polis dikerahkan untuk meredakan keadaan.


Kakitangan SPR membantu pengundi uzur dan berusia.


Penyokong-penyokong PAS dan BN berhimpun berhampiran pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Kubang Semang untuk meraih undi. Suasana pukul 8.20 pagi tad.

BERIKUT ialah perkembangan pada hari pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Permatang Pasir hari ini.

5.05 petang: Pusat pengundian ditutup.

4.20 petang: Peratusan keluar mengundi setakat 4 petang 70.5 peratus ataupun 14,300.

3.50 petang: Pasukan pemantau pilihan raya, Mafrel mendapati persekitaran pilihan raya kecil kali ini adalah lancar manakala polis mengawal pergerakan lalu lintas dengan baik. Demikian menurut Pengarah Mafrel Pulau Pinang, Jamaluddin Ahmad. Katanya, ada kejadian baling batu di kawasan Indera Muda tetapi tidak tahu siapa yang melakukannya.

Terdahulu Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS, Datuk Mahfuz Omar juga berkata, batu dibaling ke arah sebuah kereta dan cerminnya telah pecah.

Jamaluddin berkata, pada keseluruhannya pilihan raya kecil kali ini berjalan dengan baik kali ini.

3.45 petang:Suasana di beberapa tempat kembali riuh apabila kumpulan perayu undi yang meninggalkan pusat-pusat pengundian muncul semula. Misalnya di kawasan peti undi Kampung Pelet.

3.25 petang: Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Sim Tze Tzin membuat aduan di Balai Polis Seberang Jaya berhubung SMS disebarkan semalam, mengatakan bahawa beliau akan membayar RM100 kepada setiap bakal pengundi PAS/Pakatan Rakyat. Beliau juga meramalkan peratusan keluar mengundi 75 peratus kali ini.

3.15 petang: Peratusan keluar mengundi setakat 3 petang 65 peratus atau 13,172 orang.

2.45 petang: Kadar peningkatan peratusan keluar mengundi semakin mengecil sejak pukul 10 pagi. Ia meningkat sebanyak 13.9 peratus kepada 28.5 peratus pada pukul 10 pagi berbanding 14.6 peratus sejam sebelum itu; kemudian naik 10.4 peratus kepada 38.9 peratus (11 pagi), sebanyak 8.3 peratus kepada 47.2 peratus (12 tengah hari), 6.1 peratus kepada 53.3 peratus (1 tengah hari) dan sebanyak 5.7 peratus kepada 59 peratus (2 petang). Jika trend ini berlarutan, kadar keseluruhan keluar mengundi kemungkinan 72 peratus.

2.35 petang: Angka rasmi keluar undi setakat 2 petang - 59 peratus atau 11,979 orang.

2.32 petang: Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, peratusan keluar mengundi meningkat, sudah hampiri 60 peratus setakat

2.30 petang: Jika cuaca baik kadar keluar mengundi akan mencapai 70 hingga 75 peratus menjelang 5 petang. Beliau juga akui bilangan perayu undi di kawasan pusat pengundian sudah menurun dengan mendadak kemungkinan kerana mereka merasakan bosan dan penat pada bulan berpuasa.

1.30 petang: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Seberang Jaya berkata, BN optimistik dengan hasil pilihan raya kecil kali ini. Katanya, sudah ada perubahan angin ke arah BN di Permatang Pasir.

1.20 petang: Difahamkan 48 peratus pengundi Melayu dan 38 peratus pengundi Cina sudah keluar mengundi.

1.15 petang: Seramai 10,812 pemilih atau 53.3 peratus sudah keluar mengundi setakat 1 tengah hari.

12.40 tengah hari: Penyokong-penyokong kedua-dua parti PAS dan BN kelihatan 'letih', setakat duduk di bahu jalan. Suasana riuh dan bersorak sudah tidak kelihatan. Kehadiran pengundi juga mula merosot, tidak banyak kenderaan membawa pengundi.

12.20 tengah hari: Lalu lintas semakin sesak, khususnya di kawasan Kubang Kerian.

12.15 tengah hari: Angka rasmi peratusan keluar mengundi 47.2 peratus atau 9,573.

12 tengah hari: Hanya sekitar 41 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil kerusi DUN Permatang Pasir setakat tengah hari, kata Timbalan Pengerusi SPR

11.30 pagi: Seramai 7,894 atau 38.9 peratus pengundi sudah keluar mengundi setakat 11 pagi, tiga jam pertama.

10.40 pagi: Calon BN, Rohaizat Othman bersalaman dengan penyokong BN yang berkumpul di kawasan berhampiran pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lay Keow.

10.07 pagi: Peratusan keluar mengundi dua jam pertama 5,775 orang (28.5 peratus).

10.05 pagi: Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob berkata, pihaknya sedang memantau situasi penyokong parti mempamerkan lambang dan bendera parti. Akan menasihatkan agar tidak berbuat demikian.

10.02 pagi: Kesesakan wujud tetapi tidak seteruk pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Penanti.

10 pagi: Pertausan keluar mengundi sejam pertama - 14. 6 peratus atau 2,966 orang.

9.50 pagi: Penyokong PAS cuba 'merampas' kain rentang mengkritik pendirian yang dipamerkan oleh penyokong BN di kawasan berhampiran pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Samagagah.

9.30 pagi: Peratusan keluar mengundi satu jam pertama kira-kira 15 peratus, kata Timbalan Pengerusi Datuk Wan Ahmad Wan Omar selepas melawat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir. Proses pengundian berjalan lancar, peraturan baru diikuti di kawasan lingkungan 50 meter dari tempat mengundi.

9.20 pagi: Cuaca mendung awal pagi tetapi cerah kemudian.

9.15 pagi: Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Reezal Naina Merican datang untuk menenangkan ketegangan membabitkan ahli Pemuda Kepala Batas dan penyokong PAS di kawasan berhampiran pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Seri Penanti. Katanya, polis harus memastikan penyokong PAS juga beredar, bukannya hanya ahli Pemuda Kepala Batas.

9 pagi: Pengundian satu jam pertama sudah berlalu. Sambutan pengundi keluar mengundi menggalakkan. Jumlah keluar mengundi meningkat.

8.50 pagi: Helikopter PDRM buat rondaan udara sejak 8 pagi.

Pada masa yang sama, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Ab. Halim Ab. Rahman berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan larangan penggunaan lambang pada kenderaan bawa pengundi. Beliau berkata, BN menggunakan pelekat lambang warna biru dan nombor siri.

8.45 pagi: Polis mengarahkan sekumpulan kira-kira 100 ahli Pemuda Umno Kepala Batas yang memakai baju kemeja-T berwarna kuning meninggalkan kawasan berhampiran tempat mengundi Sek. Kebangsaan Seri Penanti. Tercetus ketegangan dan kekecohan.

8.40 pagi:Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz melawat pusat pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Lay Keow. Katanya, beliau gembira dengan suasana proses pengundian sebelah pagi.

8.35 pagi: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Kubang Semang. Calon PAS, Mohd. Salleh Man ikut sama.

8.30 pagi: Walaupun ada larangan, penyokong BN dan PAS dengan menggunakan lambang masing-masing meraih undi di kawasan berdekatan pusat mengundi. Ia kelihatan di kawasan Kubang Kerian. Ada penyokong merungut kerana penguatkuasaan larangan terbaru ini.

8.20 pagi: Kenderaan parti BN menggunakan pelekat warna biru yang bernombor siri. Ada yang menggunakan lambang dan bendera BN. Kenderaan PAS tidak guna pelekat khas.

7.50 pagi: Sekumpulan penyokong-penyokong PAS membuat semakan nama di pondok semakan/pondok gerakan yang terletak di kawasan Tanah Liat.

Seorang penyokong PAS mempamerkan poster calon PAS bagi menarik perhatian orang yang melalui jalan kawasan Tanah Liat.

7.35 pagi: Kehadiran anggota polis di setiap pusat pengundian kelihatan agak ramai berbanding pilihan raya-pilihan raya kecil yang lalu. Kemungkinan kerana lapan peraturan yang dikuatkuasakan oleh SPR hari ini.

7.30 pagi: Suasana sekitar Permatang Pasir kelihatan mula sibuk. Pengundi mula menuju pusat-pusat pengundian. Pengundian dibuka 8 pagi.

-mStar-
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-8-2009 05:50 PM | Show all posts
Tiada projek mee segera, Umno guna anak angkat

Oleh Mohd Sabri Said
Tue | Aug 25, 09 | 10:04:20 am MYT



PERMATANG PAUH, 25 Ogos: Tiada projek mee segera dalam pilihan raya kecil kali ini. Mungkin baru kali ini, arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaksanakan walaupun pengumuman mengenainya telah dibuat sejak sekian lama.

Untuk pilihan raya kecil ini, Umno menumpukan projek 'anak angkat' untuk mengepung pengundi atas pagar agar terus mengundi Barisan Nasional (BN).
Mungkin ini pendekatan yang diambil di Manek Urai, Kelantan dan mereka ulanagi lagi dalam pilihan raya ini.


Ketua Unit Peti Undi (UPU) Sama Gagah iaitu UPU yang paling tinggi PAS mencapai kemenangan pada pilihanraya umum lepas, Abdul Rahim Hasan ketika ditanya menegaskan, sejak mula berkempen jentera Umno banyak bertumpu ke sini untuk menarik semula sokongan terutamanya bukan pengundi tegar PAS, PKR atau DAP.

Anak angkat ini pula terdiri dari para remaja sehingga telah berusia sengaja diletakan di setiap rumah sasaran dan yang paling melucukan sehingga 20 orang dalam satu rumah.

Bukan itu sahaja perbelanjaan mereka dibiayai sepenuhnya bahkan bilik air dan bumbung rumah juga diberikan peruntukan khas untuk dibina segera jika penduduk sudi menerima anak angkat yang mereka berikan.

PAS pun katanya, ada sistem ini tetapi tidak mampu mengatasi cara buat Umno yang dilihat seperti 'gila-gila' mengotakan usaha yang tida pernah berlaku pada pilihanraya kecil di mana-mana.

Wang juga banyak dihabiskan kepada golongan sasaran seperti memberikan apa sahaja yang tuan rumah kehendaki asalkan berpatah balik mengundi BN yang meletakan calon 'berwibawa' walaupun pernah menelan duit Persatuan Pekebun-Pekebun kecil Pulau Pinang bernilai RM140 ribu.

"Mereka sanggup membayar apa sahaja asalkan mereka dapat letakan anak angkat di rumah-rumah sasaran. Inilah cara terakhir Umno dan BN untuk memancing undi," tegasnya.

Bagi menguatkan strateji Umno dan BN, mereka menurunkan semua menterinya ke sini untuk bersama penduduk memotong daging, sayuran di rumah dan sebagainya.

Cuma kelainanya di Permatang Pasir bukan kawasan ladang getah menyebabkan para menteri tidak boleh menoreh getah seumpama di Manek Urai, Kelantan. Di sana, mereka sanggup turun awal pagi, mengandar tong getah serta berkasut getah paras lutut untuk memberikan gambaran bahawa mereka berhati rakyat.

Jentera Umno seperti Pputerinya turut berkerja keras di UPU ini dengan mempamerkan kerajinan berjumpa rakyat di setiap pintu rumah sambil berziarah mereka menghulurkan sampul putih yang berisi wang RM300 ke atas.

Bukan itu sahaja malahan ada pula yang di suruh bersumpah dengan niat tidak berpaling tadah bimbang termakan sumpah.

Sempena bulan Ramadhan ini ramai penduduk yang mempunyai anak angkat tidak pula ke surau atau masjid sebaliknya berimamkan bersama keluarga yang kebanyakan datang dari luar terutamanya Kelantan.

"Walaupun apa pun cara Umno dan BN lakukan kita masih ada Allah SWT serta jentera yang ramai selain mempunyai kekuatan berdoa sebagaimana yang diajari oleh Nabi Muhamad s.a.w, " tambahnya.

-HarakahDaily-
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-8-2009 05:52 PM | Show all posts
"Mereka sanggup membayar apa sahaja asalkan mereka dapat letakan anak angkat di rumah-rumah sasaran. Inilah cara terakhir Umno dan BN untuk memancing undi," tegasnya.

kalau betul la berita nih.. saya ingatkan.. kalau berkempen di bulan Ramadhan yang mulia nih..tak de la episod bayar membayar berlaku
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-8-2009 06:02 PM | Show all posts
Pakatan pertikai peraturan baru SPR

Oleh Dzulfikar Mashoor
Tue | Aug 25, 09 | 3:52:54 pm MYT

PERMATANG PAUH, 25 Ogos:- Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dengan beberapa peraturan baru yang diperkenal Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) pada pilihanraya kecil Permatang Pasir kali ini.

Antaranya peraturan itu termasuklah tidak membenarkan wakil parti memantau dalam kawasan pengundian dan mewjibkan pelekat rasmi parti pada kenderaan mengangkut pengundi.

Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim yang meragui peraturan baru SPR itu berkata, sewajarnya wakil parti dibenarkan untuk memantau kawasan pengundian.

"(Pilihanraya) kali ini, SPR mengenakan peraturan yang lebih ketat...tapi (sepatutnya) bagi saya harus ada ruang supaya wakil parti dapat menyemak (memantau)."

"Sekarang ini, kita (terpaksa) menyerahkan segalanya (urusan pengundian) kepada SPR, sedangkang kredibiliti SPR sendiri sedang dipertikai semua (pihak)."

Katanya, sekurangnya SPR membenarkan walaupun seorang sebagai wakil parti bertanding. Ianya penting disaat kredibiliti SPR diragui oleh semua pihak pada waktu ini.

"Kalau tidak ramai (dibenarkan), itu tidak mengapa. Satu (atau) dua orang wakil parti sudah cukup (untuk memantau)."

"Kalau orang ramai yakin (bahawa) undi (mereka) ini adalah undi bebas, ini tidak ada masalah. Tapi, SPR dipertikai."tegasnya.

Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat Dato' Abdul Halim Abdul Rahman turut mempertikai dua peraturan baru yang lain termasuk larangan mengadakan barung panas dan arahan pelekat rasmi parti untuk kenderaan mengangkut pengundi.

Tindakan SPR yang mengumumkan peraturan disaat akhir itu juga dianggap mempunyai kepentingan tertentu kerana ianya tidak pernah dibuat sebelum ini.

"Peraturan baru SPR tidak membenarkan 'barung panas'. Di (pilihanraya kecil) Manek Urai dulu, dia (SPR) benarkan ianya dibina bersebelahan dan di luar kawasan mengundi. Kali ini, diharamkan langsung."

"Masalah lambang (pelekat) kereta. Dulu, SPR memberikan pelekat kereta kepada kita. Dia (SPR) janji memberikan kepada kita (parti, sekarang tidak."

"Itu pun (peraturan pelekat kenderaan parti) saat-saat akhir baru kita (Pas) tahu, semalam baru diberitahu (SPR)."

"Semua kenderaan Umno (yang) mengangkut pengundi ada pelekat rasmi parti mereka. Mungkin Umno diberitahu awal (oleh) SPR." ujarnya.

Anwar dan Abdul Halim bercakap demikian sejurus keluar dari kawasan pengundi Sekolah Kebangsaan Sri Penanti pagi tadi.

Anwar dan isterinya, Dato' Seri Wan Azizah Dato' Wan Ismail membuang undi di sini jam 8.30 pagi, dengan ditemani calon Pas sendiri Ustaz Mohd Salleh Man._mna _

-HarakahDaily-
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-8-2009 06:47 PM | Show all posts
PAS dijangka menang tetapi berapa majoritinya?

Zulkifli Sulong
Tue | Aug 25, 09 | 11:19:34 am MYT

BUKIT MERTAJAM, 25 Ogos - 20,290 pengundi Permatang Pasir keluar mengundi hari ini. PAS dijangka akan mengekal kerusi ini namun persoalannya adalah jumlah majoritinya.

Para peramal mula membuat ramalan sejak semalam tentang jumlah majoriti yang bakal dimenangi oleh calon PAS dalam pilihan raya kecil ini.

Jumlah yang paling rendah adalah PAS akan menang dengan 2,500 undi majoriti. Paling tinggi diberikan adalah 3,500 undi majoriti.

Namun begitu ada juga pihak yang meramalkan PAS mampu menambahkan majoriti yang diperolehinya berbanding pilihan raya umum tahun lepas. Ini berdasarkan masalah calon BN, Rohaizat Othman yang paling ketara sejak siri pilihan raya kecil diadakan selepas pilihan raya umum tahun lalu.

Di pihak BN pula, harapan untuk menang tidak ada langsung kepada mereka. Apa yang ditumpukan kini adalah mengurang majoriti kemenangan calon PAS.

Antara senjata utama yang dikira berkesan adalah penempatan anak-anak angkat di rumah-rumah bekas penyokong Umno yang didapati telah lari menyokong Pakatan Rakyat khasnya Datuk Seri Anwar dalam pilihan raya umum dan kecil sebelum ini.

Pelbagai jenis bantuan diberikan kepada mana-mana pengundi yang sedia menerima anak angkat dari kalangan Puteri Umno ini. Antaranya pembinaan tandas baru serta menukar bumbung rumah.

Masalah besar kepada BN adalah calon mereka Rohaizat Othman yang tidak diterima oleh cawangan-cawangan Umno sendiri. Hanya tujuh dari kira-kira 30 cawangan Umno di Permatang Pasir menerima Rohaizat sebagai calon. Selebihnya menolak.

Pendedahan demi pendedahan tentang peribadi Rohaizat menyukarkan jentera BN untuk membuat promosi terhadap beliau. Yang terbesar adalah isu tindakan Majlis Peguam menarik balik lesen guaman beliau akibat pecah amanah dan masalah isteri kedua beliau yang ditinggalkan.

Namun pertemuan hampir empat jam antara Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Ahad lepas menimbulkan pelbagai spekulasi.

Kedua-duanya dilihat bertemu dan berbincang di sebuah kelab dekat Sunwaycity, Seberang Jaya, mulai jam 5 petang hingga jam 9 malam. Ramai wartawan yang menginap di sini.

Dalam pilihan raya 2008, Allahyarham Mohd Hamdan Abdul Rahman (PAS) mengalahkan calon Umno Ahmad Sahar Shuib dengan 5433 undi majoriti.

Sebanyak 39 saluran mengundi di lapan pusat pengundian pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir mula dibuka pukul 8 pagi tadi.

Lapan pusat mengundi itu ialah di SJKC Lay Keow Permatang Pauh, SMK Sama Gagah, SK Permatang Pauh, SK Permatang Pasir, SK Bukit Indra Muda, SJKC Kubang Semang, SK Seri Penanti dan Sek Rendah Islam Al-Masriyah.

Seramai 20,290 pemilih berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat yang baru setelah penyandangnya, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman, 63 daripada Pas meninggal dunia kerana sakit jantung pada 31 Ogos lalu.

Berikutan kekosongan kerusi itu, Barisan Nasional (BN) meletakkan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, sebagai calonnya manakala PAS diwakili Pesuruhjaya PAS Negeri, Mohd Salleh Man, 52.

Bagaimanapun, kedua-dua calon itu tidak mengundi di kawasan Permatang Pasir.

Daripada jumlah itu, 72.36 peratus adalah pengundi Melayu, 25.85 peratus Cina, 1.63 peratus India dan 0.16 peratus lain-lain keturunan.

MAKLUMAN: Harakahdaily.net akan menyiarkan secara langsung perkembangan semasa jumlah kiraan undi bagi Pilihanraya Kecil N.11 DUN Permatang Pasir.

Keputusan ini diperolehi dari Bilik Gerakan PAS berdasarkan maklumat pengiraan undi oleh agen pengiraan undi PAS di semua pusat pengundian.

Siaran tersebut akan dimulakan pada jam 6.30 petang sehingga keputusan rasmi diumum oleh Suruhanjaya Pilihanraya SPR yang dijangka jam 8.00 malam. _

-HarakahDaily-
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-8-2009 08:50 PM | Show all posts
Majoriti lebih 65 undi satu kemenangan besar, Kamarudin Jaffar

Oleh Ali Hashim
Tue | Aug 25, 09 | 4:12:32 pm MYT

PERMATANG PAUH, 25 Ogos: AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, berdasarkan serangan Barisan Nasional (BN) ke kawasan pengundian Permatang Pasir sekarang, menang dengan melebihi 65 undi majoriti sudah menang besar untuk PAS.

65 undi adalah majoriti undi yang diperolehi calon PAS di Manek Urai. Ia dicapai selepas serangan bertubi-tubi BN dengan pelbagai cara.

"Jika PAS boleh menang lebih 65 undi, saya anggap dan isytiharkan ini satu kemenangan besar apatah lagi kalau menang dengan majoriti beribu-ribu," kata Kamarudin, AJK PAS Pusat.

Kamarudin dihubungi ketika dalam perjalanan pulang dari Permatang Pasir ketika dihubungi petang ini.

Sementara itu, pilihanraya kecil N.11 Dun Permatang Pasir berjalan dengan lancar walaupun terdapat kesesakan teruk di beberapa lokasi pusat pengundian.

Lapan lokasi tersebut ialah Sekolah Rendah Agama Al Masriyah, Bukit Mertajam, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kubang Semang,Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Sekolah Kebangsaan Bukit Indera Muda, Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh, Sekolah Menengah Kebangsaan Sama Gagah dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Lay Keow, Pekan Permatang Pauh.

Calon PAS, Mohd Salleh Man yang ditemui di pusat pengundian Sekolah Menengah Sama Gagah berkata beliau yakin akan memenangi pilihan raya kecil kali ini walaupun terdapat usaha daripada Barisan Nasional dan Umno untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.



Manakala calon daripada Barisan Nasional, Rohaizat Othman yang ditemui di pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan(C)Lay Keow, Pekan Permatang Pauh berkata beliau juga pasti mahukan kemenangan berpihak kepadanya.

Ronnie Liu, Exco kerajaan negeri Selangor yang ditemui berharap PAS akan memenangi pilihan raya kecil ini dengan majoriti yang lebih besar daripada keputusan pilihan raya umum 2008 yang lalu.

Di perkarangan SJK(C)Lay Keow berlaku sedikit ketegangan apabila penyokong-penyokong daripada Barisan Nasional membawa bendera parti yang besar sehinggakan menimbulkan perasaan tidak puas hati penyokong PAS yang berada bertentangan apabila mereka dilarang berbuat demikian oleh pihak polis.

Namun begitu tindakan segera SPR dan anggota polis yang bertugas berjaya meredakan keadaan.

Manakala di hadapan SM Sama Gagah berlaku ketegangan yang teruk apabila kedua-dua penyokong yang berada bertentangan terpaksa berasak-asak dalam kawasan yang sempit sehingga menimbulkan kesesakan melalui Jalan Sama Gagah.

Keadaan yang sama juga berlaku di SK Permatang Pauh dan SK Seri Penanti yang bertentangan antara satu sama lain.

-HarakahDaily-
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-8-2009 08:56 PM | Show all posts
Penyokong Umno pula bertakbir

Ogos 25, 09 10:01am       

Kebiasaannya, penyokong PAS akan bertakbir tetapi berlainan pula suasana di pusat penggundian di SMK Sama Gagah pagi ini.

Sebaliknya, penyokong Umno pula beramai-ramai bertakbir di situ.

Manakala penyokong PAS pula membalasnya dengan berselawat beramai-ramai.



Penyokong Umno juga turut melaungkan 'Hidup BN' dan 'Hidup Melayu'.

Suasana itu berlaku pada kira-kira jam 9.50 pagi ini.

Sementara itu, Calon PAS, Mohd Salleh Man tiba di sekolah itu pada masa yang sama.

Beliau memberitahu pemberita, beliau gembira dengan sokongan dari pemimpin Pakatan Rakyat yang turun memberi sokongan termasuk pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan exco-exco kerajaan negeri.

Beliau juga gembira dengan sokongan pengundi terhadapnya.
Calon BN, Rohaizat Othman tiba kemudiannya dan bersalaman dengan Mohd Salleh.


Proses pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir bermula dengan 39 saluran di sembilan pusat mengundi dibuka di lapan pusat pengundian mulai jam 8 pagi ini.

Mohd Salleh mempertahankan kerusi DUN tersebut ekoran kematian penyandangnya dari parti tersebut, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, kerana sakit jantung pada 31 Ogos lalu.

Beliau berdepan dengan calon BN, Rohaizat Othman. Seramai 20,290 pemilih berdaftar layak mengundi hari ini untuk memilih wakil rakyat yang baru mereka.

-malaysiakini-
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-8-2009 09:01 PM | Show all posts


PAS menang, majoriti menurun

Ogos 25, 09 6:35pm



kemaskini 7.31pm PAS memenangi kerusi DUN Permatang Pasir dengan majoriti besar tetapi merosot beberapa ratus undi daripada keputusan yang dicapai parti itu pada pilihan raya umum tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan, calon PAS Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi, meninggalkan calon BN Rohaizat Othman dengan 5,067 undi.

Majoriti yang diraih Salleh 4,551, kurang 882.

Bekas ADUN allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman mendapat majoriti 5,433 undi - kemenangan PAS kali ketiga di kerusi itu sejak pilihan raya umum 1999.

Jumlah mereka yang keluar mengundi merosot hampir 10 peratus kali ini kepada 73.1 peratus berbanding 82.6 peratus pada Mac 2008.

-malaysiakini-
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 25-8-2009 09:03 PM | Show all posts
tahniah kepada yang menang...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-8-2009 09:08 PM | Show all posts
Ustaz Salleh Man Menang !

Tuesday, 25 August 2009 18:39         Editor



KEMASKINI !

PERMATANG PAUH – Tepat jam 7.31 petang, Calon PAS Ustaz Salleh Man yang mewakili Pakatan Rakyat diisytiharkan menang kerusi DUN Permatang Pasir mengalahkan calon UMNO/BN Rohaizat Othman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan, calon PAS/Pakatan Rakyat Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi, meninggalkan calon UMNO/BN Rohaizat Othman dengan 5,067 undi.

PAS menang dengan majoriti besar, walaupun merosot beberapa ratus undi daripada keputusan yang dicapai pada pilihan raya umum tahun 2008.

Dengan keputusan itu, Ustaz Salleh yang telah bertarung enam kali mewakili PAS akhirnya di berikan kemenangan atas berkat usaha dan istiqamahnya dalam perjuangan.



Keputusan pilihanraya tersebut juga merupakan satu rekod baru Pakatan Rakyat mengalahkan BN kali yang ke enam, setelah kali terakhir menang pada pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

Ia juga akan terus menyebabkan UMNO/BN ketinggalan dan menolak semua dakwaan pemimpin UMNO/BN bahawa mereka berupaya mencapai keputusan yang lebih baik di Permatang Pasir.

Ustaz Salleh Man menyifatkan kemenangan yang dicapai adalah kemenangan semua pihak yang turut membantu merealisasikan kemenangan DUN Permatang Pasir.

"Kejayaan ini adalah kejayaan semua" kata YB Salleh Man ketika menerima keputusan penuh undian PRK N11 di Markas Induk Permatang Pasir lebih kurang jam 6:50 petang tadi dengan diiringi sorakan takbir oleh para penyokong Pakatan Rakyat yang memenuhi Markas Induk PRK N11 Permatang Pasir.

Ustaz Salleh Man mencapai 4,551, kurang 882 daripada yang diperolehi oleh bekas ADUN Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman yang mendapat majoriti 5,433 undi.

Jumlah mereka yang keluar mengundi merosot hampir 10 peratus kali ini kepada 73.1 peratus berbanding 82.6 peratus pada Mac 2008.

-BuletionOnline-
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-8-2009 09:16 PM | Show all posts
Di Permatang Pasir, PAS kekalkan kemenangan besar

Harakahdaily
Tue | Aug 25, 09 | 7:16:13 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Ogos:PAS mengulangi kemenangan besar yang dicapai dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun lalu apabila kiraan undi rasmi menunjukkan calonnya, Mohd Salleh Man mengatasi pesaing daripada Barisan Nasional, Rohaizat Othman dengan majoriti melebihi 4,551.

Kiraan rasmi menunjukkan PAS mendapat 9,618 undi berbanding 5,067 diperolehi BN, menambahkan lagi pukulan kepada BN yang belum pernah memenangi pilihan raya kecil di Semenanjung sejak selepas pilihan raya umum lebih setahun lalu.

Kerusi Dun Permatang Pasir dimenangi wakil PAS Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dengan majoriti 5,433 undi dalam Pilihan Raya Umum-ke 12, kemenangan ketiga dan dengan majorit terbesar dalam tiga pilihan raya dimenangi PAS sejak 1999.

Kemenangan ini menyaksikan majoriti merosot diperolehi PAS dipercayai akibat hari pengundian yang dilakukan pada hari bekerja.

Jumlah keluar mengundi merosot kepada 73.1 peratus daripada 82.57 peratus pada pilihan raya umum yang lalu.



PAS telah menjalankan kempen dengan lancar sejak hari pertama kempen ekoran masalah peribadi calon BN berhubung salah laku melibatkan wang anak guamnya berjumlah RM161,000.

Umno yang berharap untuk mengulangi peningkatan undi diperolehi di Manek Urai gagal mencapai matlamat tersebut dalam menghadapi PAS di kubu kuatnya yang juga kerusi tunggal PAS di Pulau Pinang.





-HarakahDaily-
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-8-2009 09:34 PM | Show all posts
Muhyiddin: Sokongan pada BN tidak berubah

Abdul Rahim Sabri
Ogos 25, 09
9:16pm       

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata BN menerima kekalahannya dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir hari ini.

Calon PAS, Mohd Salleh Man mendapat 9,618 undi untuk menewaskan calon BN, Rohaizat Othman dengan majoriti 4,551 undi. Rohaizat mendapat 5,067 undi.

"Bagi kita, walaupun peratusan yang keluar undi adalah rendah berbanding pilihanraya umum 2008, daripada pemerhatian kita, ada sedikit sahaja perubahan di beberapa peti undi, tapi tidak begitu ketara," kata Muhyiddin.

"Di Permatang Pasir, sikap pengundi nampaknya tidak banyak berubah walaupun masa lawatan-lawatan kita, nampak adalah sedikit sebanyak minat mereka untuk mengundi BN.

"Tapi apa pun, kita terima keputusan ini kerana seperti apa yang diamalkan dalam demokrasi berparlimen. Saya menghormati keputusan rakyat," katanya kepada pemberita malam ini.

Beliau berkata, BN harus memberi perhatian kepada perkara-perkara tersebut serta menganalisa, menilai serta meneliti sokongan masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain.

"(Bagi) majoriti (pengundi) Melayu, jika dibandingkan dengan pilihanraya yang lepas, kita lihat tidak ada berganjak sokongan yang diterima oleh BN," katanya.

Pengundi hantu

Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri berkata, proses pilihanraya kecil ini membolehkan BN membuat penilaian dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang.

Menjawab pertanyaan pemberita, beliau berkata, faktor calon mungkin menjadi salah satu sebab kekalahan BN.

"Pembangkang sedikit sebanyak mengekploitasi masalah yang dihadapinya. Tetapi jika diambil kira pada peringkat akhirnya, ada penerimaan, kita kaji (keputusan) tidak banyak berbeza dengan yang lepas," tegasnya.

Ditanya mengenai saranan untuk memperkuatkan Umno dan BN di Permatang Pauh, Muhyiddin berkata:

"Kita harus bekerja keras untuk mendampingi rakyat dan juga pengundi. Kita harus memahami sikap mereka dan hubungan akrab dengan pengundi.

"Kita perlu ambil kira daftar pemilih walaupun SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) kata tidak ada pengundi hantu, mungkin ada yang daftar di Permatang Pasir tidak ada di sini.

"Jadi perkara ini harus diberi perhatian oleh kepimpinan umno di Permatang Pauh," tambahnya.

Serangan peribadi

Sementara itu, Rohaizat juga menerima kekalahannya dengan hati yang terbuka.

"Ini adalah suara rakyat dalam amalan demokrasi. Dalam pertandingan, ada yang kalah dan yang menang. Tahniah kepada PAS," katanya.

Ditanya mengenai sokongan yang diterimanya, Rohaizat berkata: "Tidak banyak berbeza dengan sahabat saya yang dahulu.
Sokongan kepada saya masih tetap tidak berubah,"
katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau sedikit kecewa kerana sebilangan penduduk di Permatang Pasir gagal memahami gagasan yang hendak dibawa oleh BN.

Katanya, BN mahu memberi status anak emas kepada Permatang Pasir tetapi ia ditolak oleh pengundi.

Menjawab pertanyaan media, Rohaizat menolak isu serangan peribadi terhadapnya sebagai salah satu faktor kekalahannya.

Katanya, ini kerana jumlah undi yang diperolehinya - berbandingan dengan calon BN dalam pilihahraya umum lalu - adalah lebih kurang.

"Jadi saya rasa ia bukan faktornya," tambah Rohaizat.

-Malaysiakini-
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

18-4-2024 11:35 AM GMT+8 , Processed in 3.050864 second(s), 42 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list