CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2183|Reply: 0

[DUNIA] KUALA DALAM KENANGAN (SIRI 9) – RAYA AWAL 1982 & PUASA AWAL 1983

  [Copy link]
Post time 1-5-2022 10:16 AM | Show all posts |Read mode
KUALA DALAM KENANGAN (SIRI 9) – RAYA AWAL 1982 & PUASA AWAL 1983
“Oleh: Muhamad Takiyuddin Ismail”





Pada  1982, aku baru berada di Darjah 1 di Sekolah Rendah Clifford. Aku tidak  mengingati banyak perkara mengenai puasa dan Hari Raya di usia itu. Aku  sendiri tidak ingat sama ada aku sudah mula berpuasa. Namun pada tahun  itu, berlaku satu peristiwa penting dalam sejarah Hari Raya apabila  negeri Perak menyambut raya sehari lebih awal berbanding negeri lain  iaitu pada tanggal 22 Julai 1982.

Banyak tulisan yang aku jumpa  meletakkan tahun 1983 sebagai berlakunya peristiwa tersebut. Namun ia  sebenarnya berlaku pada 1982. Ada juga yang menulis Johor juga beraya  awal pada tahun 1982 bersama-sama Perak. Namun Johor tidak terlibat  dalam raya awal 1982 dan hanya terlibat dalam puasa awal bersama-sama  Perak pada 1983.

Kedua-dua akhbar Utusan dan Berita meletakkan  kekecohan raya awal di Perak sebagai tajuk utama muka hadapan pada  tanggal 23 Julai 1982.  Laporan Utusan ditulis sendiri oleh Hashim  P.Mamat, anak Kuala Kangsar yang banyak menulis berita-berita mengenai  Kuala Kangsar di Utusan pada era 1980-an. Ia juga menyertakan satu  gambar sisipan yang penting iaitu imej penduduk Hutan Melintang (mukim  Bagan Datok) keluar meninggalkan masjid selepas sembahyang raya pagi itu  (ada lagi ke masjid klasik ni?).

Apa yang berlaku sebenarnya  mempunyai susur galur yang panjang. Dalam buku bekas Ketua Hakim Negara,  Tun Suffian Hashim (1976), beliau menyatakan bahawa selepas zaman  perang, raja-raja mengetahui tentang kesulitan berhari raya pada hari  yang berbeza antara negeri-negeri Tanah Melayu. Majlis Raja-Raja  kemudiannya bersetuju membenarkan Yang di-Pertuan Agong menentukan  perkara itu bagi pihak raja-raja. Namun perlembagaan membenarkan  sultan-sultan memutuskan sendiri sama ada hendak atau enggan menyerahkan  perkara-perkara itu ditentukan YDPA. Ini sejajar dengan hak hal ehwal  agama Islam yang dimiliki sepenuhnya oleh sultan-sultan.

Pada  hari melihat anak bulan, pegawai-pegawai agama tidak melihat anak bulan  Syawal dari Tanjung Kepah, Lumut pada 21 Julai. Tapi sebilangan penduduk  kawasan itu mendakwa mereka melihat anak bulan yang samar-samar.  Perkara tersebut dimaklumkan kepada Jabatan Agama Negeri Perak yang  segera memaklumkannya kepada Sultan Idris. Baginda kemudiannya  mendapatkan pandangan dari alim ulama negeri yang mengadapnya selepas  itu.

Titah kemudiannya dikeluarkan agar semua Pegawai Daerah,  Penghulu dan Ketua Kampung memberitahu orang ramai bahawa Hari Raya akan  jatuh pada Khamis, 22 Julai. Perisytiharan tersebut dibuat pada pukul  11 malam iaitu kira-kira 30 minit selepas Penyimpan Mohor Besar  Raja-Raja mengumumkan ke seluruh negara bahawa anak bulan Syawal tidak  kelihatan dan Hari Raya akan disambut pada Jumaat.

Di Kuala  Kangsar, siren (yang merupakan keunikan penting sewaktu masuk waktu  berbuka puasa di bandar ini) dibunyikan dari Ibu Pejabat Polis Daerah  untuk memaklumkan perkhabaran itu. Masjid Ubudiah menerusi bilalnya,  Encik Abdullah Ali menyebarkan pengumuman sebanyak dua kali. Masjid dan  surau-surau lain juga melakukan perkara yang sama menerusi pembesar  suara dan beduk.

Tidak ketinggalan ialah Jabatan Penerangan, Tentera dan  balai Bomba yang membunyikan semboyan masing-masing. Kereta-kereta  polis juga memasuki kampung untuk memaklumkan khabar itu. Kegemparan dan  kekecohan dirasakan di mana-mana. Pejabat Berita Harian di Kuala Lumpur  dan Pulau Pinang dihujani panggilan telefon dari penduduk Perak untuk  megesahkan khabar.

Dan pada keesokannya, sambutan Hari Raya di  hampir seluruh tempat di Perak adalah muram dan sepi. Ada yang  meneruskan puasa kerana tidak mengetahui perintah tersebut. Ada yang  menerima berita selepas pukul 12 malam dan awal pagi dan dengan itu  tidak mempunyai masa untuk membuat persiapan juadah. Ada juga yang  berhati-hati untuk meraikan raya untuk tidak menyinggung perasaan mereka  yang masih berpuasa. Turut melucukan, ada yang tidak dapat membuat  keputusan kerana rumahnya terletak betul-betul di garis sempadan Perak  dan Pulau Pinang.

Suasana di masjid Hutan Melintang contohnya  tidak meriah kerana ramai tidak datang ke masjid dan meneruskan puasa.  Sembahyang sunat tidak diadakan di Sitiawan dan mereka yang datang ke  masjid terkejut kerana tidak ada umat Islam yang datang. Mereka terpaksa  bersembahyang di Masjid Lumut. Suasana yang sama juga kelihatan di  beberapa daerah lain. Beratus pegawai kerajaan datang ke pejabat tetapi  mendapati pejabat terkunci.

Bagaimana pun, seramai 1,000 orang  bersembahyang di Masjid Negeri Perak di Ipoh. Kehadiran mereka adalah  secara beransur-ansur setelah menerima perkhabaran pada sebelah pagi.  Sultan Idris sendiri menunaikan sembahyang di Masjid Ubudiah bersama  kerabat, kepimpinan negeri serta 600 orang jemaah lain.
Utusan  turut melaporkan di beberapa tempat di negeri lain, raya awal turut  berlangsung. Di Kampung Terentang, Jasin, 100 orang menunaikan  sembahyang raya di masjid pada hari Khamis. Di Besut pula, 40 orang  telah mengadakan sembahyang di masjid Kampung Tok Dor. Tidak dijelaskan  bagaimana perkara ini boleh berlaku.

Bertolak dari kontroversi  tersebut, Sultan Idris kemudiannya membuat satu kertas kerja dan  dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 13-14 Oktober 1982.  Kertas yang sama juga telah diedarkan pada Jawatankuasa Fatwa yang  bermesyuarat 10 hari sebelum itu. Kerana tidak ada sebarang pindaan atau  teguran dari kedua-dua pihak, maka Almarhum beranggapan yang kertas  kerja itu menerima persetujuan.

Dan Sultan Idris kemudiannya  sekali lagi mengambil keputusan berasingan dengan mengisytiharkan hari  pertama puasa di Perak bagi tahun 1983 jatuh pada 12 Jun dan bukannya 13  Jun seperti negeri-negeri lain. Kali ini, Johor yang ketika itu dibawah  pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar juga mengambil ketetapan yang  sama iaitu berpuasa sehari lebih awal berdasarkan kiraan falak.

Ia  menyebabkan tercetusnya perang mulut yang lebih tegang antara kedua-dua  Sultan dan juga pihak birokrat agama persekutuan. Kedua-dua negeri  bagaimana pun merayakan hari raya puasa 1983 serentak bersama  negeri-negeri lain.
Al-Fatihah untuk Almarhum Sultan Idris dan juga Almarhum Sultan Iskandar.




Kredit dan Adaptasi Daripada: Utusan Malaysia & Berita Harian sekitar Julai 1982 dan Jun 1983



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 03:07 AM GMT+8 , Processed in 0.077437 second(s), 31 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list