CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 388|Reply: 0

Si kecil alami alahan

[Copy link]
Post time 20-7-2022 09:06 PM | Show all posts |Read mode
Si kecil alami alahan


BAYI lebih berisiko kepada alahan susu lembu dan telur. - FOTO Google


'TERSALAH makan' mungkin istilah yang biasa didengari kebanyakan orang apabila berdepan dengan komplikasi akibat pengambilan makanan tertentu.

Dalam kebanyakan keadaan, individu yang berdepan alahan makanan mengalami bintik-bintik merah pada kulit disusuli rasa gatal, bengkak, mata merah dan sakit perut.

Gejala itu menandakan mereka menghidapi alahan terhadap alergen makanan. Alergen adalah bahan asing yang mencetuskan tindak balas atau kesan sampingan akibat interaksi terhadap bahan alergen.

Isu alahan yang sering berlaku kepada kanak-kanak, tindak balas terhadap makanan antara kes 'klasik' dan lebih ketara apabila mereka sudah berada pada tahap perkembangan menerima makanan pejal.

Menurut Pakar Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Chiew Xin Yee, kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah mempunyai alahan terhadap jenis makanan hampir sama dalam kebanyakan kes.

Kata pakar itu, kanak-kanak di Malaysia dan di Asia seawal usia bayi, alahan makanan bermula dengan pengambilan susu lembu, kemudian telur, soya dan kacang tanah pada peringkat usia seterusnya apabila makanan pejal diperkenalkan.

"Masalah alahan sering dihadapi kanak-kanak tempatan biasanya membabitkan alahan terhadap makanan berbanding alahan lain termasuk ubat dan bahan di persekitaran.

"Ibu bapa perlu peka dengan anak yang tidak boleh toleransi dengan sumber makanan tertentu dan contoh paling popular serta terawal adalah susu lembu.

"Mereka boleh lihat gejala pada anak seperti kulit menjadi merah dan bengkak selain sakit perut serta muntah bagi kes ringan.


EPIPEN atau suntikan epiferin antara rawatan segera untuk alahan serius. - FOTO Google


"Namun dalam sesetengah kes, gejala itu boleh menjadi lebih serius seperti sesak nafas sehingga boleh mengakibatkan maut," katanya.

Merujuk satu kes pernah dikendalikan pakar berkenaan katanya, ada kanak-kanak berusia sekitar tiga tahun dikejarkan ke unit kecemasan kerana masalah alahan susu lembu.

"Meskipun ramai beranggapan alahan ini adalah sesuatu masalah biasa, namun untuk sesetengah keadaan boleh menjadi serius apabila terdedah kepada alergen.

"Saya pernah merawat pesakit kanak-kanak berusia tiga tahun yang mengalami sesak nafas kerana termakan makanan mengandungi susu lembu.

"Sesak nafas, pening, muntah, pengsan dan tekanan darah rendah tanda alahan mula menjadi serius atau dikenali sebagai anafilaksi. Pada tahap itu risiko kehilangan nyawa lebih tinggi.

"Rawatan kecemasan diperlukan adalah suntikan epineferin atau epipen," katanya.

Bagi gejala ringan, kata Dr Chiew, ia dirawat menggunakan ubat anti-histamin dalam membantu menangani kesan alahan.

"Rawatan adalah bergantung kepada tahap alahan kanak-kanal terhadap alergen masing-masing.

"Bagi kanak-kanak, ibu bapa perlu memperkenalkan makanan secara berperingkat dan saiz hidangan kecil untuk makanan baru bagi mengesan alergen.

"Setiap anak ada ketahanan masing-masing kerana sesetengah kes, alahan makanan tertentu beransur hilang pada usia kanak-kanak meningkat dewasa

(bagi sesetengah kes ada alahan kekal sampai dewasa)," katanya.




SOYA dan kacang tanah adalah antara makanan yang boleh menyebabkan alahan. - FOTO Google


IBU bapa perlu meneliti label makanan. - FOTO Google


Mengenal pasti risiko anak untuk memiliki masalah alahan, kaedah lain boleh digunakan termasuk merujuk sejarah penyakit itu dalam keluarga.

Kata Dr Chiew, kanak-kanak yang lahir dalam keluarga memiliki sejarah penyakit itu berisiko mempunyai masalah alahan yang sama.

"Berdasarkan maklumat portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kanak-kanak lahir daripada kedua ibu bapa memiliki masalah alahan berisiko tinggi menghidapi isu sama dengan kadar peratusan 40 hingga 60 peratus dan boleh mendadak meningkat apabila kedua-dua ibu bapa memiliki alahan pada bahan sama.

"Begitu juga jika salah seorang, sama ada ibu atau bapa memiliki alahan terhadap sesuatu bahan, kemungkinan anak untuk menghidapi alahan 20 hingga 40 peratus.

"Sementara kes alahan membabitkan saudara kandung risiko antara 15 hingga 30 peratus untuk mengalami alahan," katanya.

Pihaknya menyarankan saringan bagi kanak-kanak disyaki mempunyai ahli keluarga memiliki alahan terhadap bahan tertentu.

"Ujian untuk kenal pasti alahan terhadap bahan tertentu boleh dilakukan menerusi dua saringan. Ia ujian in-vitro iaitu ujian pengambilan darah untuk melihat spesifik IgE.

"Saringan kedua adalah ujian in-vico menerusi 'skin prick test'," katanya.

Saranan beliau, bagi ibu bapa yang mengetahui anak mempunyai alahan terhadap sesuatu makanan ialah amalkan membaca label makanan dengan teliti.

"Pencegahan daripada kanak-kanak mengalami alahan, ibu bapa kena lebih teliti membaca label makanan.

"Pemakaian gelang khas yang memiliki kod atau maklumat berkaitan alahan dihadapi kanak-kanak boleh mencegah masalah berkenaan," katanya.


Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/2022/07/861684/si-kecil-alami-alahan

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 10:44 AM GMT+8 , Processed in 0.057652 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list