Kuala Lumpur: Penerbit drama Perempuan Itu, Erma Fatima berharap hukuman yang dikenakan terhadap pelakon utama drama terbabit, Zul Ariffin dijadikan pengajaran buat semua.
Erma ketika dihubungi berkata, dia menganggap isu yang berlaku itu sebagai pesanan daripada Tuhan supaya lebih berhati-hati.
"Bagi saya ini adalah pengajaran kepada semua orang, bukan saja untuk Zul tapi untuk diri saya, pengarah dan artis-artis lain.
"Saya percaya apa yang berlaku ini ada hikmah di sebaliknya. Mungkin ini juga pesan daripada Allah kepada kita semua," katanya.
Menurut Erma, walaupun drama terbabit berdepan kontroversi, namun drama arahan Ain Sharif akan tetap ditayangkan dan sedang melalui proses penyuntingan.
Ditanya adakah adegan sumbang yang dimuat naik Zul di media sosial akan ditayangkan, Erma berkata, babak terbabit tidak akan dimasukkan.
"Memang tidak akan boleh keluar. Babak itu tak perlu kita hantar kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) atau stesen TV sebab kita sudah tahu jawapannya," katanya.
Terdahulu, pelakon, Zul Ariffin atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini, atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial pada 18 Mac lalu.
Zul membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.
Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 18 Mac, Zul memuat naik babak ghairah dalam drama lakonannya berjudul Perempuan Itu di Instagram.