CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 884|Reply: 0

Wanita berhijab pertama dari Malaysia bakal sertai Akademi Tentera Udara AS

[Copy link]
Post time 12-6-2023 04:53 PM | Show all posts |Read mode
Wanita berhijab pertama dari Malaysia bakal sertai Akademi Tentera Udara AS


BERNAMA



UMMI Annur Syahmina (kanan) dan Muhammad Faidh Izzuddin melihat surat tawaran kemasukan bagi melanjutkan pelajaran di akademi ketenteraan berprestij di Amerika Syarikat (AS), yang diterima mereka dalam satu majlis di Kedutaan AS. FOTO BERNAMA



Kuala Lumpur: Ummi Annur Syahmina Sohaini, kadet wanita berhijab pertama Malaysia yang diterima masuk ke akademi ketenteraan berprestij di Amerika Syarikat (AS) tahun ini, mahu menjadi contoh terbaik dalam mencapai cita-cita sebagai wanita Islam yang patriotik.

Pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berusia 20 tahun itu, yang bercita-cita menjadi juruterbang jet tempur akan berlepas ke Akademi Tentera Udara AS (USAFA) di Colorado tidak lama lagi untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Penyelidikan Operasi dan Sains Data.

"Saya terkejut apabila mengetahui bahawa saya adalah wanita berhijab pertama dari Malaysia yang terpilih, namun saya sangat percaya ada keperluan untuk menunjukkan contoh terbaik sebagai seorang wanita Muslim yang muda dan patriotik.

"Ini adalah laluan yang saya sudah jangka dan pilih dan saya bersedia untuk memulakan pengembaraan dengan sepenuh hati.

"Saya benar-benar berbangga untuk menghadiahkan negara dengan apa yang telah saya capai dan pelajari dan kini bersedia untuk menyumbang dengan minat yang tinggi dan berkat (doa) daripada banyak pihak," katanya.

Ummi Annur Syahmina berkata demikian kepada Bernama selepas majlis meraikan kemasukannya ke akademi itu bersama rakan senegara Muhammad Faidh Izzuddin Mat Sahari yang akan menyertai Akademi Tentera AS di West Point di New York, yang diadakan di kediaman Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, baru-baru ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada akademi ketenteraan AS yang meluluskan penampilan saya dengan hijab untuk berada di sana, dan ini telah meningkatkan minat saya untuk berusaha yang terbaik.

"Saya mungkin mengalami sedikit kejutan budaya, tetapi saya berazam untuk cepat menyesuaikan diri dengan situasi dengan bimbingan dan sokongan serta doa daripada ahli keluarga dan rakan tersayang," katanya yang juga individu pertama dalam keluarganya berkhidmat dalam tentera.

Bercakap secara khusus mengenai minatnya untuk melanjutkan pengajian dalam Sains Data sebagai subjek terasnya di akademi, Ummi berkata, ia adalah kemahiran dan pengetahuan yang mendapat permintaan tinggi di dunia masa kini.

"Saya amat menyukai mata pelajaran Matematik dan Teknologi Maklumat (IT). Apabila ditawarkan pengajian Sains Data, saya secara peribadi merasakan adalah satu kemestian bagi saya untuk mempelajarinya dengan lebih baik dan lebih hebat daripada akademi untuk meningkatkan pengetahuan saya.

"Sekurang-kurangnya pemilihan saya ke akademi AS menunjukkan laluan kepada ramai anak muda dan pelajar di luar sana bahawa kajian lapangan Sains Data adalah luas dan mempunyai peluang pekerjaan lebih tinggi.

"Dengan permintaan semakin meningkat walaupun dalam persekitaran tentera, saya yakin subjek teras ini akan membantu saya ke arah menjadi juruterbang jet tempur dengan Tentera Udara Diraja Malaysia," kata anak kelahiran Port Dickson itu.

Ummi Annur Syahmina dan Muhammad Faidh dipilih selepas melalui proses pemilihan ketat yang menilai potensi kepimpinan, kecergasan fizikal dan pencapaian akademik mereka.

Menurut laman sesawang rasmi Kedutaan AS di Malaysia, ribuan belia lelaki dan wanita bersaing untuk memasuki Akademi Ketenteraan AS di seluruh dunia dan hanya 10 peratus dipilih.

Tahun ini, sebanyak 89 negara dijemput untuk meletakkan calon dengan matlamat mendaftarkan 15 pelajar asing di setiap akademi ketenteraan.

Ketika ini, terdapat lapan kadet dari Malaysia di Akademi Ketenteraan AS - dua di Akademi Tentera AS (West Point, New York), tiga di Akademi Tentera Laut AS (USNA) dan tiga lagi di USAFA.

Ummi Annur Syahmina dan Muhammad Faidh akan menamatkan pengajian di akademi masing-masing pada 2027.



Disiarkan pada: Jun 12, 2023 @ 3:30pm












Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

1-5-2024 07:02 PM GMT+8 , Processed in 0.061220 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list