CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 133|Reply: 0

[Politik] Polis siasat Guan Eng bawah Akta Hasutan, Komunikasi

[Copy link]
Post time 10-7-2023 12:36 PM | Show all posts |Read mode
Polis siasat Guan Eng bawah Akta Hasutan, Komunikasi
Diterbitkan:  Jul 9, 2023 9:55 PM



Polis mengesahkan menerima beberapa laporan polis dan telah memulakan siasatan terhadap pengerusi DAP Lim Guan Eng berhubung dakwaan menyentuh isu 3R - agama, raja dan kaum.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, G Suresh Kumar berkata, Ahli Parlimen Bagan itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Seksyen 4 (1) Akta Hasutan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Lim juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Suresh berkata, polis telah menerima beberapa laporan polis berhubung perkara itu.

“Kenyataan tersebut dipercayai diucapkan oleh beliau semasa berucap dalam program 'Tain Fu Gong Bai Long Wang Singapore-Malaysia tour 2023" di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang, pada 7 Julai 2023 yang lalu.

“Pada 8 Julai 2023, portal berita MalaysiaNow turut menyiarkan artikel berhubung kenyataan pengerusi DAP tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, polis akan memanggil Lim dalam masa terdekat berhubung ucapannya.

“Kita sedang siasat dan beliau akan dipanggil dalam masa terdekat ini,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

‘Laporan polis di seluruh negara’

Terdahulu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari hari ini mengarahkan jentera Pemuda PN membuat laporan polis di seluruh negara sebagai protes terhadap kenyataan Lim yang mendakwa PN akan memusnahkan tokong Buddha atau Cina di Pulau Pinang.



Susulan itu Lim mencabar Fadhli membuat sendiri laporan polis terhadapnya dan bukan mengarahkan anak-anak buahnya berbuat demikian.

Bekas menteri kewangan itu berulang kali menafikan dia membuat dakwaan itu dan menjelaskan bahawa ucapannya merujuk kepada kes tempat sembahyang Hindu di Kedah yang dirobohkan pada Julai 2020.

China Press juga telah mengeluarkan penjelasan yang mengatakan MalaysiaNow telah salah menterjemah petikan Lim.

“Terjemahan laman web itu tidak betul; baik tajuk mahupun kandungan berita tidak menyebut kuil Buddha atau kuil Cina," kata artikel itu.

Artikel itu menyatakan laporan asal memetik Lim sebagai berkata bahawa 'Gelombang Hijau' akan mengakibatkan kuil kaum lain dimusnahkan, tetapi selagi Pulau Pinang kekal (tidak ditadbir PN), kebebasan beragama akan dipertahankan.

Artikel itu juga menyiarkan transkrip "verbatim", di mana Lim dilaporkan berkata "gelombang hijau" akan mengakibatkan kuil yang didapati "menyakitkan mata" - terutamanya Hindu - mungkin dirobohkan.

Pantau isu 3R

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan meneliti dan memantau isu membabitkan 3R secara berterusan.



“Kementerian Komunikasi dan Digital serta SKMM meneliti dan menjejaki isu 3R yang dibangkitkan,” katanya dipetik Bernama.

Sebelum ini beberapa pemimpin Perikatan Nasional seperti Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad disiasat kerana didakwa membangkitkan isu mengenai 3R.

Pada April lalu kertas siasatan ke atas kedua-dua mereka dilaporkan telah disiapkan dan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

Ia juga dilaporkan pada Jun lalu bahawa kertas siasatan yang dibuka terhadap bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad kerana didakwa menghina institusi diraja juga akan dirujuk kepada AGC.

Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada pemimpin berkenaan didakwa setakat ini.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-5-2024 05:44 AM GMT+8 , Processed in 0.906338 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list