Edited by pengecattaik at 15-7-2023 10:50 AM
Menteri Besar sementara Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memohon ampun dan maaf kepada Sultan Selangor berhubung kenyataannya baru-baru ini yang didakwa menghina baginda.
Pemimpin PAS itu bagaimanapun mendakwa kenyataannya diputarbelitkan oleh musuh politiknya.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasminya, Sanusi berkata permohonan maaf itu disampaikan melalui warkah yang dihantar kepada istana Selangor dan dibaca oleh baginda semalam.
"Sebaik mengetahui ucapan saya telah dispin (diputar belit untuk menimbulkan kefahaman yang salah) oleh ejen-ejen Pakatan Harapan /Barisan Nasional (PH/BN), saya telah mengutuskan warkah ke hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Selangor, untuk menjelaskan konteks, maksud sebenar dan medan yang tercangkup daripada ucapan yang telah sengaja diputar belit itu.
"Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan baginda Tuanku Sultan bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu,” kata Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PNSanusi baru-baru ini didakwa menghina Sultan Selangor dalam isu pemilihan menteri besar negeri itu.
Menerusi video ucapan yang tular di media sosial, Sanusi dilihat membandingkan Sultan Kedah dan Sultan Selangor, yang didakwanya telah memilih menteri besar yang "cokia".
"Bukan koman-koman (lekeh), sultan setara itu hangpa bayang dan tengok menteri besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam itu tak akan pilih menteri besar cokia macam Amir (Amirudin). Inci pun tak berapa cukup," katanya.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain pada Khamis lalu berkata pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap Sanusi.
Razarudin memberitahu pemberita bahawa kes Sanusi disiasat oleh pasukan petugas khas yang mengendalikan kes 3R (Agama, Raja dan Kaum).
https://www.malaysiakini.com/news/672033
|