SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kekalahan UMNO pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri merupakan satu tamparan hebat buat parti dan ahli pimpinan tertinggi supaya segera lakukan ‘sesuatu’ untuk mendapatkan semula kepercayaan pengundi. Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, UMNO berhadapan kekalahan yang begitu teruk kerana hanya memenangi sebanyak 19 kerusi daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. “Kita perlu berbuat sesuatu, jika tidak UMNO akan terus kalah dan pupus menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). “Saya dan akar umbi telah berusaha sedaya upaya di bawah. Kini kepimpinan perlu membuat pertimbangan semula dan membuat keputusan,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada Ahad.
Berdasarkan PRN yang berlangsung pada 12 Ogos, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan daripada 245 kerusi DUN yang dipertandingkan, sebanyak 146 kerusi berjaya dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN) manakala Pakatan Harapan (80 kerusi) dan Barisan Nasional (BN) sebanyak 19 kerusi. Daripada jumlah kerusi yang dimenangi BN, Negeri Sembilan mencatatkan bilangan tertinggi iaitu dengan 14 kerusi, seterusnya diikuti Selangor (dua), Pulau Pinang (dua) dan Kelantan (satu). Mengulas lanjut, Isham memberitahu sewaktu berlangsungnya tempoh berkempen, rata-rata akar umbi parti memaklumkan tiga perkara yang menjadi keutamaan iaitu DAP, presiden dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. “Berkenaan DAP, saya telah kata sebelum ini bahawa perkara ini amat sensitif kepada akar umbi kita. Jika kita paksa akar umbi undi DAP, mereka akan bantah.
|