CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9956|Reply: 0

[Terengganu] Sedaya upaya ikhtiar, Tuhan lebih sayangkan Rania

  [Copy link]
Post time 1-10-2023 04:44 PM | Show all posts |Read mode
DUNGUN: "Saya sedaya upaya ikhtiar termasuk memberi bantuan pernafasan (CPR) namun Tuhan lebih menyayangi dia."

Demikian Mohd Rafi Ibrahim, 39, yang anaknya, Nur Rania Faizah, disahkan meninggal dunia akibat lemas selepas tergelincir ke dalam sebuah kolam memancing ikan di Bukit Besi, semalam.

Pada kejadian jam 5.15 petang, Nur Rania Faizah yang berusia dua tahun lima bulan, disahkan meninggal jam 8 malam ketika dirawat di Hospital Dungun.

Mohd Rafi, 39, berkata, dia bersama isterinya, Fatinhanani Ali, 31, membawa Nur Rania Faizah serta dua lagi anak mereka, Muhammad Alim Solihim, 5, serta Muhammad Irfan Hakim, dua bulan, pergi memancing di kolam terbabit, jam 5 petang.



"Sebelum kejadian, saya sedang memancing di situ, isteri sedang menyusukan anak bongsu di sebuah tempat berteduh sementara Nur Rania Faizah bermain-main dengan Muhammad Alim Solihim tidak jauh dari saya.

"Kurang 15 minit, saya dapati Muhammad Alim Solihin menghampiri saya, bila saya tanya mana adik, Muhammad Solihin menjawab dia tidak tahu," katanya.

Katanya, dia yang cemas terus mencari Nur Rania Faizah selain meminta bantuan penjaga kolam berkenaan turut membantu mencari anaknya itu.

"Kira-kira 15 minit kemudian, remuk hati saya selepas melihat Nur Rania Faizah terapung di kolam, kira-kira 50 meter dari tempat saya memancing, sebelum penjaga kolam terjun untuk mendapatkannya.

"Saya cuba sedaya upaya cuba menyelamatkan anak. Ketika itu banyak air keluar dari mulutnya dan dia kelihatan sudah tidak bermaya," katanya.

Dia kemudiannya mengejarkan anaknya itu ke Klinik Kesihatan Bukit Besi sebelum dibawa ke Hospital Dungun.

Namun, dia dimaklumkan pegawai perubatan yang Nur Rania Faizah gagal diselamatkan.

Sementara itu, Fatinhanani berkata, dia teringin untuk makan ikan patin sebelum suaminya bersetuju membawa anak-anak memancing di kolam itu.

Menurutnya, apabila sedar Nur Rania Faizah hilang, dia menjerit beberapa kali memanggil nama anaknya itu.

"Bila dia tidak menyahut, hati saya mula gelisah sebelum dimaklumkan suami yang Nur Rania Faiza terjatuh ke dalam kolam.

"Saya tidak menyangka kunjungan kami ke sini, berakhir dengan kedukaan," katanya.

Menurutnya, sepanjang hari itu, Nur Rania Faizah sangat manja dengannya seolah-olah tidak mahu berpisah.

"Kelmarin (Jumaat), Nur Rania Faizah minta datuknya membawa dia ke kubur kerana dia mendakwa rindu untuk menziarah neneknya yang meninggal dunia tiga bulan lalu.

"Nur Rania Faizah turut berdoa selain menyiram kubur arwah neneknya itu," katanya.

Fatinhanani berkata, pada pagi kejadian, datuk Nur Rania Faizah membeli kuih bakar kegemaran anaknya itu namun kanak-kanak berkenaan tidak memakannya sebaliknya menyuapkan kuih itu ke mulutnya.

Jenazah Nur Rania Faizah dituntut keluarganya jam 2.30 petang sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran rumah keluarganya di Kampung Landas Ajil, Hulu Terengganu.


Mohd Rafi menuntut jenazah anaknya, Nur Rania Faizah di Hospital Dungun untuk dikebumikan. Foto kecil ialah Nur Rania Faizah - Foto NSTP/Rosli Ilham

https://www.bharian.com.my/berit ... bih-sayangkan-rania

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

6-5-2024 03:52 AM GMT+8 , Processed in 0.051917 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list