CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7502|Reply: 0

Diabetik retinopati punca buta

[Copy link]
Post time 13-10-2023 07:45 AM | Show all posts |Read mode
Diabetik retinopati punca buta


MATA kemerahan merupakan salah satu gejala diabetik retinopati dan DME. – Gambar hiasan


PENGLIHATAN adalah salah satu pancaindera yang penting bagi setiap manusia.

Melalui penglihatan yang baik, setiap individu dapat melihat sesuatu dengan jelas.

Namun begitu, tidak semua bernasib baik kerana ada yang berhadapan dengan masalah penglihatan sehingga menyebabkan berlaku kebutaan.

Berdasarkan, Bancian Mata Kebangsaan Kedua (2014), kadar kebutaan dalam kalangan masyarakat berumur 50 tahun ke atas di Malaysia adalah sebanyak 1.2 peratus.

Majoriti kes adalah disebabkan masalah katarak sebanyak 58 peratus, diikuti diabetik retinopati sebanyak 10 peratus serta lain-lain penyakit.

Mengulas tentang diabetik retinopati, Pakar Perunding Oftalmologi Columbia Asia Hospital Petaling Jaya, Selangor, Dr. Muhammad Syamil Mohamad Salmi berkata, masalah itu berlaku kerana penyakit diabetes.

Menurutnya, keadaan mata yang terkesan daripada diabetes secara ringkasnya boleh dibahagikan kepada dua keadaan iaitu diabetik retinopati (Diabetic Retinopathy) dan diabetik makula sembab (Diabetic Macula Edema) DME.

“Keadaan ini berpunca daripada impak penyakit diabetes terhadap salur darah pada lapisan retina dalam mata kita.



“Paras gula dalam darah yang tinggi boleh melemah dan merosakkan dinding-dinding salur darah jika ia berlarutan.

“Diabetik retinopati boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat penyakit serta bergantung juga jika struktur makula iaitu pusat peka cahaya terjejas atau tidak dengan DME.

“Pada peringkat awal diabetik retinopati, jika makula tidak terkesan dengan DME, kebiasaannya ketajaman penglihatan pesakit masih terpelihara,” katanya.



DR. SYAMIL


Tambahnya, jika keadaan berlarutan, tahap penglihatan boleh merosot lalu menyebabkan kebutaan.

Dalam pada itu, pada peringkat awal, berkemungkinan tiada gejala yang dialami oleh pesakit.

Namun, Dr. Syamil menegaskan, gejala-gejala seperti ketajaman penglihatan berubah-ubah dan kekeringan serta kemerahan mata boleh muncul jika ia berlarutan.

“Pesakit juga perlu menjalani pemeriksaan segera dengan pakar mata jika mengalami tanda-tanda apungan atau bintik hitam dan melihat kilat cahaya seiring pergerakan pandangan.

“Selain itu, kekaburan pada ruang tengah penglihatan dan ruang legap pada medan penglihatan juga antara tanda-tanda kepada masalah ini,” jelasnya.

Sementara itu, diabetes adalah penyakit kronik yang akan menjejaskan organ-organ dalaman dalam tempoh masa panjang.



PARAS gula dalam darah yang tinggi boleh menjejaskan tahap penglihatan pesakit. – Gambar hiasan


Dr. Syamil menjelaskan, kebiasaannya, organ utama seperti otak dan jantung akan mula terkesan dahulu sebelum organ lain yang lebih kecil, misalnya buah pinggang dan mata.

Menurutnya, masalah itu berlaku kerana salur darah yang membekalkan darah ke organ-organ tersebut mempunyai saiz berbeza.

“Keadaan yang sering berlaku juga adalah apabila pesakit didapati mengalami tahap diabetik retinopati parah.

“Kebiasaannya, fungsi buah pinggang mereka telah pun terjejas pada masa berkenaan. Semua pesakit diabetes berisiko untuk menghidap diabetik retinopati dan DME.

“Ia lebih berisiko kepada mereka yang menghidap kencing manis untuk tempoh lebih lama, paras gula yang tidak terkawal, obesiti, merokok dan sedang hamil,” terangnya.

Tambahnya, pencegahan diabetes adalah langkah terbaik bagi menghindari penyakit-penyakit yang tidak diingini seperti penglihatan.

“Gaya hidup sihat, pemakanan seimbang, serta saringan kesihatan awal adalah kunci kepada kehidupan lebih berkualiti,” ujarnya.

SumbeR:https://www.kosmo.com.my/2023/10 ... inopati-punca-buta/

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 10:48 AM GMT+8 , Processed in 0.057032 second(s), 31 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list