CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6403|Reply: 0

[Negeri Sembilan] Kekal sihat 103 tahun

[Copy link]
Post time 25-2-2024 02:01 PM | Show all posts |Read mode

(Gambar kiri) BAHRUM menunjukkan buku penulisannya berjudul Fenomena Gedung Cinta Kunci Setia. JAAFAR utamakan pembersihan hati.

Lenggeng: Al-Quran dijadikan teman karibnya dan amalan membaca kitab suci itu tiga kali sehari menjadi salah satu petua Bahrum Basar menjangkau usia 103 tahun.

Bahrum berpegang kuat kepada amalan ini dan konsisten dengan rutin membaca kitab suci itu selepas solat Subuh, Asar dan Maghrib.

Hasil amalannya sejak daripada muda, Bahrum berjaya mengkhatam al-Quran hampir 100 kali.

Lebih mengagumkan pada usia itu bapa kepada 11 anak terbabit masih mampu membaca al-Quran dengan lancar tanpa memakai kaca mata.



Bahrum berkata, dia juga mengamalkan puasa sunat pada Isnin dan Khamis serta memperbanyakkan zikir harian.

"Jangan biarkan kehidupan sehari tanpa al-Quran dan hendaklah sentiasa membaca kalam Allah SWT setiap hari.

"Sesibuk mana sekalipun urusan kerja dan aktiviti yang dilakukan dalam sehari, jangan meninggalkan amalan membaca al-Quran.

"Amalan ini menunjukkan kita sentiasa mengingati Allah SWT dan kehidupan lebih berkat," katanya.

Menurutnya, dia juga seorang yang menjaga pemakanan dan mengamalkan konsep berhenti makan sebelum kenyang.

"Untuk sarapan pagi, saya suka makan dua biji telur separuh masak dan roti bersama air teh kosong tanpa gula.

"Selain itu saya turut gemar makan salad, timun, ulam-ulaman dan buah-buahan," katanya.

Katanya, dia masih diberi pinjaman nafas hingga hari ini mungkin atas keberkatan doa yang sering dipohon kepada Allah SWT sejak muda supaya dikurniakan usia panjang.

"Saya bersyukur doa itu dimakbulkan dan hari ini berpeluang melihat wajah 28 cucu dan 11 cicit.

"Ini nikmat (panjang umur) paling besar yang Allah SWT kurniakan kepada saya dan 'rezeki' itu tidak dianugerahkan kepada orang lain," katanya.

Anak keenam Bahrum, Suasanamasra Saubissabriah, 63, berkata, kesihatan bapa sedikit merosot kebelakangan ini dan kini banyak menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Bagaimanapun menurutnya, daya ingatan bapanya masih baik dan masih mampu berbual dan bercerita mengenai sejarah perjuangan, politik dan hal ehwal semasa tanah air.

"Perkara menjadi kesukaan ayah ialah membacakan doa kepada tetamu yang datang ke rumah.

"Setakat ini ayah hanya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi yang didiagnosis pada usianya 90 tahun.

"Masa kami kecil, ayah sentiasa berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh, berani ke hadapan dan membantu orang memerlukan," katanya.

Usia 100 tahun bebas sakit kronik

Kuala Kangsar: Bukan sahaja dikurniakan rezeki umur panjang, bahkan warga emas ini turut dianugerahkan kudrat yang kuat sehingga mampu menoreh getah sehingga usianya hampir 90 tahun.

Bagaimanapun, Jaafar Kulop Kasim, 100, terpaksa meninggalkan pekerjaan itu memandangkan keupayaan diri kian berkurangan bagi meneruskan pekerjaan dilakukan sejak berusia 11 tahun.

Jaafar berkata, dia menoreh getah hingga usia lanjut bagi mengisi masa lapang.

"Di samping itu, pekerjaan menoreh dilakukan dianggap sebagai salah satu 'senaman' untuk kekal sihat pada usia emas.

"Sebelum ini, saya adalah golongan individu yang wajib melakukan aktiviti mengeluarkan peluh setiap hari.

"Mungkin amalan ini membantu saya panjang umur dan masih sihat pada usia 100 tahun.

"Selain ini saya boleh menunggang basikal elektrik ke kedai runcit berhampiran rumah," katanya.

Dia yang mempunyai tujuh cucu dan 15 cicit berkata, ramai menemuinya dan bertanyakan rahsia panjang umur dan sihat.

"Saya tidak mempunyai regim pemakanan khusus kerana makan semua jenis makanan dengan pengambilan secara sederhana.

"Aspek paling penting ialah perlu membersihkan hati dan menyucikan jiwa daripada sifat tercela (mazmumah) seperti takabbur, riyak serta hasad dengki.

"Selain itu sentiasa merendah diri dan memperbanyakkan amalan kebaikan sesama manusia,"katanya.

Jaafar berkata, dia tidak menyangka dikurniakan rezeki umur panjang tanpa menghidap penyakit kronik.

"Rutin harian saya bermula seawal jam 5 pagi dengan melakukan solat sunat dan diteruskan hingga solat Subuh.

"Kini saya banyak menghabiskan masa di rumah dan menonton televisyen untuk mengetahui perkembangan semasa," katanya yang mempunyai pengalaman 37 tahun sebagai ketua kampung sebelum melepaskan jawatan itu pada 2005.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... kal-sihat-103-tahun

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 01:43 PM GMT+8 , Processed in 0.475567 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list