CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9458|Reply: 0

[Kedah] Orang ramai digalak berwakaf melalui potongan gaji

  [Copy link]
Post time 29-2-2024 06:40 PM | Show all posts |Read mode
Orang ramai digalak berwakaf melalui potongan gaji

OlehROSLINDA HASHIM
29 Februari 2024 04:36pm








Sheikh Yahaya




ALOR SETAR - Orang ramai digalakkan melakukan amalan wakaf melalui potongan gaji bulanan untuk meningkatkan dana wakaf tunai di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Datuk Sheikh Yahaya Jusoh berkata, jumlah pewakaf melibatkan kakitangan awam di negeri ini masih terlalu rendah, iaitu 485 orang sementara kakitangan badan berkanun negeri seramai 157 orang.



Menurutnya, dengan adanya skim secara potongan gaji sama ada untuk penjawat awam atau swasta, urusan wakaf kini menjadi lebih mudah dan cepat.

“Saya menyeru seluruh agensi agama di negeri ini untuk laksanakan potongan wakaf tunai secara bulanan.



“MAIK mengalu-alukan individu, syarikat swasta atau korporat untuk sama-sama menyokong amalan berwakaf, sumbangan boleh dilakukan serendah RM1.00 secara ‘one off’ dan RM10.00 secara potongan gaji bulanan,” katanya selepas majlis hi-tea wakaf bersama pegawai-pegawai agensi agama 2024 di sini pada Khamis.

Yahaya berkata, setakat ini terdapat enam agensi agama melaksanakan skim berkenaan, iaitu MAIK, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Jabatan Mufti, Jabatan Kehakiman, Yayasan Islam Negeri Kedah dan Lembaga Maktab Mahmud dengan nilai keseluruhan RM26,930.

“Diharap agensi-agensi agama ini menjadi contoh kepada agensi lain untuk menggalakkan kakitangan mereka untuk turut serta. Bagi yang telah membuat potongan gaji digalakkan membuat penambahan selaras dengan kenaikan gaji tahunan,” ujarnya.

Menurutnya, pelaksanaan Tabung Dana Wakaf Tunai membantu MAIK meningkatkan taraf sosio ekonomi umat Islam di negeri ini selain mengembalikan kegemilangan institusi wakaf serta menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam pengurusan wakaf.




“Wakaf tunai ialah berwakaf dengan memberi wang tunai, kemudahan ini disediakan untuk pewakaf menginfaqkan harta mengikut kemampuan mereka.

“Dana wakaf tunai yang terkumpul disalurkan untuk pembinaan masjid, surau, sekolah agama dan pelbagai manfaat bagi menjaga kepentingan agama Islam, kebajikan dan pembangunan sosio ekonomi ummah,” katanya.




Yahaya memaklumkan, hasil kutipan Dana Wakaf Tunai setakat bulan ini berjumlah RM6,420,712.60 juta.

“Antara sumbangan daripada dana tersebut ialah pelaksanaan projek pertama, membina Masjid Fathul Majid kariah Kampung Hujung Keton, mukim Tekai di Padang Terap yang dijangka siap pada 19 April depan.

“Hasil kutipan tersebut juga telah berjaya menampung baki kos pembinaan Masjid Jami’ul Khair, kariah Tong Pelu, di Padang Terap sebanyak RM700,000 yang dijangka siap 6 Mei depan,” ujarnya lagi.

Menurutnya, terdapat enam projek yang diluluskan oleh MAIK, antaranya, Masjid Al-Ikhlas Taman Tunku Sarina di Bandar Darulaman dengan sasaran kutipan RM14,674,900, yang mana kutipan terkini sebanyak RM500,000.

“Masjid daerah di Taman Perindustrian Kulim Hi Tech, mukim Padang Cina di Kulim menyasarkan kutipan RM42,873,500, (kutipan terkini RM432,198.47).

“Tapak Perkuburan Islam Taman Uda di Alor Malai pula menyasarkan kutipan RM1.7 juta dan kutipan terkini sekitar RM678,727,” jelasnya.

Yahaya berkata, kutipan daripada Dana Wakaf Tunai dan potongan gaji bulanan juga dibangunkan projek kekal seperti menyediakan sistem penapisan air bersih di seluruh sekolah KAFA di negeri ini.

“MAIK juga berhasrat membangunkan tanah-tanah wakaf berpotensi untuk dijadikan ladang tanaman kontan dan sebagainya,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, banyak harta wakaf tidak dijaga dengan baik menyebabkan bebanan kepada masyarakat.

“Nilainya menurun kerana menguruskan harta wakaf perlukan kewangan. Masyarakat memberikan wakaf untuk bina tetapi tidak untuk menyelenggara. Apa salahnya wakafkan untuk kos kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya.

Menurutnya, wakaf perlu direvolusikan semula supaya ia menjadi kitaran yang lengkap.

“Kebanyakan harta yang diwakafkan melibatkan tanah. Aset wakaf perlu cetuskan aset wakaf yang baharu.

“Bukan sekadar dibiayai, diselenggara malah bertambah. Ia perlu tambah aset baharu. Aset wakaf berpotensi dikembangkan dan mencetuskan aset wakaf yang baharu,” katanya.



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 04:58 AM GMT+8 , Processed in 0.059357 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list