CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6770|Reply: 0

[Kedah] Dekorasi jerami tarikan pelancongan desa di Yan

[Copy link]
Post time 2-3-2024 12:37 PM | Show all posts |Read mode

Pesta jerami menarik pengunjung di Kampung Ulu Sedaka, Yan. - Foto ihsan Fathul Amin Mat Desa

YAN: Suasana selepas musim menuai padi di negeri ini diceriakan dengan pesta jerami gulung yang dianjurkan penduduk tempatan bagi menarik pengunjung ke kawasan mereka.

Sesuai dengan cuaca panas ketika ini, hamparan jerami dijadikan pelbagai bentuk dekorasi untuk pengunjung mengabdikan kenangan.

Di Ulu Sedaka Yan, idea seorang pemilik warung di tepi sawah untuk menganjurkan pesta jerami gulung sejak seminggu lalu berjaya menarik pengunjung tempatan termasuk dari Singapura dan Thailand.

Menurut pengusaha warung berkenaan, Mat Desa Abu Hassan, 61, dia bersyukur idea itu berjaya menarik pelancong sekali gus meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.



Katanya, warung miliknya yang dinamakan warung tepi bendang (WATEB) juga tidak henti menerima pelanggan terutama pada waktu petang.

"Saya membelanjakan kira-kira RM2,000 untuk hias dan membeli gulung jerami, terdapat lebih kurang 20 gulung jerami yang didekorasi bagi menarik kehadiran pengunjung terutama pelancong ke Yan yang terkenal sebagai daerah pelancongan desa.

"Kami juga sediakan tujuh tempat bergambar, jerami dibentuk huruf seperti I love Kedah, I love Yan, I love Wateb dan papan tanda Ulu Sedaka Yan Kedah.

"Ada pengunjung dari Terengganu, Pahang dan Johor dan saya paling tak sangka pelancong dari Thailand dan Singapura juga datang dan bergambar dengan dekorasi jerami," katanya.

Mat Desa berkata, disamping bergambar dengan jerami, pengunjung juga boleh menikmati keindahan matahari terbenam di kampung itu berikutan kedudukannya yang berhampiran dengan laut.

"Kanak-kanak juga boleh bermain layang-layang di dalam sawah, mereka boleh naik ke atas jerami untuk bergambar," katanya yang sudah tiga tahun membuka warung di depan rumahnya.

Penghulu Mukim Sungai Daun, Zulkifle Omar, berkata selain pesta jerami pengunjung juga didedahkan mengenai kegunaan sisa tanaman padi yang mampu dijadikan sumber pendapatan.

Katanya, pesta itu juga boleh dijadikan aktiviti tahunan untuk meningkatkan industri pelancongan desa daerah Yan.

"Selalunya pada waktu siang ketika cuaca panas, ramai yang hadkan aktiviti di luar rumah, tapi sekarang selepas Asar, ramai yang berkunjung ke sini sebagai aktiviti riadah mereka.

"Dianggarkan kira-kira 200 pengunjung datang ke sini setiap petang, hujung minggu jumlah pengunjung akan lebih ramai, penduduk mengambil kesempatan untuk berniaga, dapat lah keluarga pesawah menambah pendapatan sementara menunggu musim menanam April ini," katanya.

Pesawah, Fathol Mubin Sarit, 32, berkata kebanyakan jerami dibakar sebelum ini namun kini ia juga dijadikan makanan alternatif bagi menggantikan makanan lembu seperti palet yang harganya sentiasa meningkat.

"Malah ada juga yang dijadikan jerami sebagai bahan dekorasi untuk menarik pengunjung ke kampung, suasana kampung kini lebih meriah selepas musim menuai," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... ncongan-desa-di-yan

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 07:28 PM GMT+8 , Processed in 0.132056 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list