CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9714|Reply: 0

[Perlis] Pam bergerak disediakan bagi mengairi kawasan pertanian ikut keperluan

[Copy link]
Post time 2-3-2024 04:55 PM | Show all posts |Read mode

Walaupun cuaca panas dan berbahang, orang ramai dari dalam dan luar Perlis tidak melepaskan peluang untuk beriadah menerusi penganjuran Pesta Angin Timur 2024 di Kampung Lat 1,000, Tambun Tulang, Arau. NSTP/Aizat Sharif

KANGAR: Kerajaan negeri Perlis akan menyediakan pam bergerak bagi menyalurkan bekalan air di kawasan pertanian mengikut keperluan.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Awam Negeri Perlis, Izizam Ibrahim, berkata tindakan itu akan dilaksanakan jika diperlukan petani berikutan negeri ini sudah tidak menerima hujan lebih 40 hari.

"Kita sediakan pam bergerak jika ada kawasan pertanian yang masih perlukan bekalan air di mana air ini akan dipam dari sungai terdekat.

"Setakat ini paras takungan air di Empangan Timah Tasoh berada pada paras 27.96 meter (mm) dan berlaku penyusutan paras air sebanyak 0.01mm setiap hari.



"Penyusutan itu bagaimanapun tidak mengganggu bekalan air domestik di negeri ini kerana tempoh takungan air di empangan ini mampu bertahan selama sembilan bulan lagi," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, kemarau yang melanda Perlis disebabkan Fenomena El Nino bagaimanapun tidak menghalang orang ramai untuk keluar berekreasi bersama keluarga pada hujung minggu dengan mengunjungi tempat menarik di negeri itu.

Tinjauan di acara Pesta Angin Timur (PAT) di Kampung Lat 1000, Tambun Tulang, Arau mendapati orang ramai dari seluruh negara tidak melepaskan peluang untuk keluar menjamu selera di samping menonton acara menarik yang dijalankan di pesta berkenaan.

Walaupun cuaca panas dan berbahang, pengunjung dilihat terus berpusu-pusu mengunjungi pesta itu yang dianjurkan sejak semalam hingga esok.

Seorang pengunjung, Hazlan Abdul Rahim, 41, dari Kepala Batas, Pulau Pinang, berkata dia bersama ahli keluarganya mengambil kesempatan cuti sekolah untuk bercuti di Perlis.

"Saya tidak pernah ke Perlis dan saya tahu Perlis sedang dilanda cuaca panas tetapi ini tidak bermakna tempat lain juga tidak mengalami cuaca yang sama," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mastura Othman, 29, dari Padang Besar berkata, dia bersama rakannya menggunakan payung untuk melindungi diri daripada panas matahari.

"Apa pun kita kena banyak minum air untuk pastikan tidak mengalami strok haba, terutama apabila berkunjung ke tempat seperti ini," katanya.

Perlis antara beberapa negeri yang sedang dilanda cuaca panas ketika ini dan Chuping pernah mencatatkan suhu terpanas dalam sejarah negara dengan 40.1 darjah Celsius pada 1998.
https://www.bharian.com.my/berit ... asan-pertanian-ikut

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 09:35 PM GMT+8 , Processed in 0.190147 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list