Georgetown: Pekerja krematorium di Batu Gantung di sini, cedera di kepala dipercayai akibat dipukul menggunakan kayu oleh ahli keluarga si mati dalam urusan krematorium semalam.
Lelaki berusia 45 tahun itu terpaksa menjalani pembedahan berikutan kecederaan dialami.
Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa dikatakan pengsan selepas dipukul suspek sebelum rakan sekerja membawanya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan.
Difahamkan, lelaki itu dipukul selepas didakwa tidak mengikut arahan keluarga si mati berhubung proses menguruskan abu mayat ibu mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan suspek yang terbabit dalam kes itu sudah ditahan.
"Suspek berusia 40-an itu direman selama tiga hari sehingga 4 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
"Mangsa pula masih menerima rawatan di HPP," katanya.