Nursyawalizan sedang menjahit baju raya yang ditempah oleh pelanggannya.
“Sebenarnya ada lagi tempahan daripada pelanggan tetapi terpaksa ditolak oleh saya kerana bimbang tidak mampu menyiapkan sebelum Aidilfitri.”
Nursyawalizan Julihi
Tukang jahit
Oleh Agnes Tugong
KUCHING: Kurang daripada dua minggu lagi, masyarakat Islam bakal meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam tempoh ini pastinya masyarakat Islam sedang sibuk melakukan persiapan bagi menyambut hari tersebut.
Ketika orang lain sedang sibuk membuat biskut, kek, menghias rumah dan sebagainya, tukang jahit, Nursyawalizan Julihi, 31, sedang sibuk menyiapkan tempahan baju raya daripada pelanggan.
Nursyawalizan berkata, tempahan baju raya dibuka kepada pelanggan pada bulan Januari lepas.
Katanya dia menetapkan sasaran 30 pasang sahaja, bagaimanapun menerima lebih daripada 50 pasang tempahan untuk Aidilfitri kali ini.
“Sebenarnya ada lagi tempahan daripada pelanggan tetapi terpaksa ditolak oleh saya kerana bimbang tidak mampu menyiapkan sebelum Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di premis perniagaannya, Nononess Creation di Pasar Komuniti Stutong di sini hari ini.
Nursyawalizan sedang menyukat kain tempahan baju raya daripada pelanggannya.