CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8316|Reply: 0

[Kedah] Wan lupakan raya, utamakan keperluan isteri koma

[Copy link]
Post time 13-4-2024 11:56 AM | Show all posts |Read mode
Wan lupakan raya, utamakan keperluan isteri koma


Oleh Noorazura Abdul Rahman - April 13, 2024 @ 10:43am bhnews@bh.com.my




Muhammad Shazuan memberikan susu kepada isterinya Nurul Azhani yang sudah koma hampir dua tahun. Gambar kanan, Anak-anak Muhammad Shazuan bersama ibu mereka Nurul Azhani. - Foto ihsan Muhammad Shazuan




SIK: "Sudah hampir dua tahun berlalu, keadaan isteri saya tidak banyak berubah, dia masih tidak sedarkan diri," kata Muhammad Shazuan Md Saad, 38.

Bapa kepada tiga orang anak itu, berkata isterinya, Nurul Azhani Abu Hassan @ Hussain, 37, yang juga guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) kini hanya mampu membuka mata namun masih koma selepas melahirkan anak bongsu mereka menerusi pembedahan pada 6 Julai 2022.

Katanya, anak bongsu mereka terpaksa diserahkan kepada adiknya untuk dijaga agar dapat merasai kasih sayang seorang ibu.

"Raya kali ini saya tidak buat sebarang persiapan, baju raya kami anak beranak pakai apa yang ada saja, duit yang ada saya gunakan untuk membeli keperluan isteri saya seperti susu khas dan lampin pakai buang dan ubat-ubatan.

"Menjadi rutin saya berikan susu kepada isteri saya melalui tiub setiap tiga jam dan membuang kahak secara kerap, selain boleh buka mata isteri saya juga ada pergerakan jari, tapi tidak banyak perubahan yang berlaku," katanya yang tinggal di Kampung Teloi Tua di sini.

Muhammad Shazuan atau lebih dikenali sebagai Wan berkata setiap bulan dia 'bergelut' untuk menyediakan keperluan isterinya terutama susu khas yang berharga antara RM45 hingga RM50 setin.

Ini kerana katanya setiap bulan sebanyak 30 tin susu diperlukan selain dia turut perlu menyimpan duit untuk menyewa ambulans bagi membawa isterinya ke hospital.

"Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ada berikan 16 tin susu setiap bulan dan selebihnya saya akan beli sendiri, isteri saya juga perlu dibawa ke Hospital Sik dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani setiap tiga bulan sekali.

"Kos sewa ambulans ke Hospital Sik pergi balik sebanyak RM250 manakala ke HSAH sebanyak RM500, sekiranya rawatan di hospital lambat sejam, saya perlu tambah RM50 bagi setiap jam sewa ambulans," katanya yang merupakan siak masjid di kampung berkenaan.

Wan berkata dia hanya menggunakan elaun RM700 sebagai siak untuk menyara keluarganya selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM300.

Bagaimanapun ia masih tidak mencukupi bagi menampung keperluan mereka sekeluarga.

"Untuk sebulan paling kurang saya perlu ada RM2,500 untuk isteri dan anak-anak, saya tak dapat cari kerja lain kerana perlu jaga isteri, sebelum isteri saya bersalin saya tampung pendapatan keluarga dengan bekerja sebagai tukang rumah.

"Anak-anak saya juga semakin besar, anak sulung saya Muhammad Syakir Amin kini berusia 13 tahun, Nurul Umairah,11 dan Muhammad Zakwan Adha sudah berusia setahun lapan bulan, saya terpaksa mengharapkan ihsan saudara mara dan kenalan untuk kelangsungan hidup," katanya.

Wan sangat berharap masih ada sinar untuk isterinya kembali sembuh dan bersama anak-anak yang sangat rindukan kasih sayangnya.

Sebelum ini, media melaporkan isteri kepada Muhammad Shazuan koma selepas lahirkan anak menerusi pembedahan di HSAH, Nurul Azhani pengsan dan jantungnya terhenti selama setengah jam sebelum disahkan koma oleh doktor.

Menurut Muhammad Shazuan dia difahamkan doktor bahawa punca isterinya koma adalah disebabkan air ketuban memasuki saluran darah dan kes itu sangat jarang berlaku yang selalunya berakhir dengan kematian.

Bagi orang ramai yang ingin membantu Muhammad Shazuan, dia boleh dihubungi menerusi nombor telefon 0193523308 atau menerusi akaun nombor BSN (0211541000051668).







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

9-5-2024 07:16 AM GMT+8 , Processed in 0.049998 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list