CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2174|Reply: 0

[Sarawak] Penduduk Ulu Baram tagih jalan raya selamat digunakan

[Copy link]
Post time 14-4-2024 07:33 PM | Show all posts |Read mode


USAT

MIRI: Penduduk Ulu Baram terutama di kawasan Mulu yang bergantung sepenuhnya kepada jalan pembalakan, merayu kerajaan persekutuan dan negeri untuk memberi perhatian terhadap keperluan laluan itu yang semakin banyak rosak dan mengancam nyawa.

Ketua Pergerakan Pemuda PBB N.78 Mulu Usat Bilong berkata, beliau mewakili rakyat Baram mendedahkan bahawa keadaan jalan pembalakan dan jambatan sementara yang digunakan oleh penduduk selama ini sudah tidak lagi diselenggarakan kebelakangan ini kerana tidak ada lagi kegiatan pembalakan di situ.

Justeru katanya, kerosakan yang berlaku di sepanjang laluan jalan pembalakan dari Lapok ke Long San, seterusnya ke Long Banga dan Bario, serta ke kawasan Tinjar dan Apoh-Lellang dan Seridan, menjadikan jalan terbabit sangat tidak selamat kepada pengguna.

"Jalan pembalakan ini adalah satu-satunya penghubung utama ke kawasan pedalaman terutamanya kawasan Baram dan merupakan periuk nasi untuk semua.

"Ini terutamanya penduduk kampung yang berada di sepanjang laluan jalan serta pengusaha pengangkutan yang melaluinya setiap hari untuk menghantar barang-barang keperluan," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Borneo di sini, hari ini.


Beberapa bahagian jalan di laluan Long Banga-Metapa dan Lio Mato yang rosak teruk dan mengancam keselamatan dan nyawa penduduk.

Oleh yang demikian, menurut Usat, jalan ini sangat penting untuk memastikan segala hasil pertanian dapat dibawa ke bandar untuk dijual, selain menjadi laluan untuk membawa pelancong ke pusat inap desa di pedalaman, sekali gus memberikan pendapatan kepada penduduk, selain menjadi jalan penghubung untuk pelajar turun ke sekolah dan penduduk pergi ke klinik-klinik desa berhampiran.

"Kami mohon dan merayu supaya agensi dan kementerian berkaitan di peringkat pusat dan negeri, melakukan sesuatu dengan kadar segera bagi memastikan jalan utama ini diperbaiki, khususnya di laluan kira-kira KM180 hingga KM200, dari jalan KM10 ke Long San, Pelutan, Lio Mato dan terus ke Long Banga dan Bario.

"Perbaiki dahulu laluan ini kerana keadaan yang amat tidak selamat untuk pengguna dan boleh mengancam nyawa, selain merupakan penghubung penting.

Kemudian laluan lain boleh diperbaiki secara berperingkat," katanya.

Usat memberitahu lagi, laluan jalan dari KM10 dan ke bawah, hingga ke pekan Lapok, tidak mempunyai masalah kerana masih dijaga dan diselenggarakan oleh syarikat pembalakan yang beroperasi di situ.  

Menurut Usat masih banyak yang perlu diperhatikan dan diberi tumpuan oleh pemimpin atasan supaya kemudahan asas terutamanya jalan raya atau laluan ke kawasan pedalaman diberi perhatian khusus.


Keadaan Jambatan Metapa yang menghubungkan salah satu laluan utama di hulu Baram, yang menunggu masa untuk runtuh.

"Kami hanya mahu jalan raya yang selamat digunakan dan tidak membebankan rakyat dan kami juga ingin menikmati kemudahan yang selesa dan selamat untuk pengguna.

"Kawasan kami di Ulu Baram sememangnya sangat mundur dan jauh ketinggalan dari segi kemudahan infrastrukur asas seperti jalan utama, jambatan, bekalan air bersih dan sebagainya, dan sangat-sangat mengharapkan perhatian daripada kepimpinan di peringkat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

"Kami yakin dengan kepimpinan Kerajaan MADANI dan GPS di peringkat negeri yang berwibawa akan dapat merealisasikan impian kami yang selama ini sentiasa menjadi mimpi buruk kami, terutama apabila menanti kepulangan orang tersayang sampai dengan selamat dengan tiada halangan," tambah beliau.

Menurut Usat, malah ada yang terlibat dalam kemalangan serius dan ada juga kes kemalangan menyebabkan kematian beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kami juga sangat menyokong segala usaha wakil rakyat GPS di kawasan Baram (DUN Mulu dan Telang Usan) yang sentiasa memastikan keluhan rakyat Baram ini diselesaikan tetapi apakan daya ia hanya sementara kerana keadaan jalan yang tidak kukuh.

"Maka dengan itu kami mohon supaya suara wakil rakyat kami yang bersuara di Parlimen yang mana sudah tiga penggal menyuarakan perkara ini dan juga di peringkat DUN, perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh kepimpinan atasan atau kementerian yang bertanggung jawab," ujar Usat.

Beliau berharap suara mereka akan didengar senada dan seiring dengan permohonan wakil rakyat kami, keluhan kami kali ini menunjukkan bahawa perkara ini harus disegerakan dan diambil tindakan sewajarnya demi keselamatan pengguna dan kemakmuran bersama.

Usat yakin dengan adanya jaringan jalan raya yang baik akan meningkatkan lagi sosioekonomi di luar bandar dan sekali gus mengurangkan jurang kemiskinan di kawasan luar bandar dan menurunkan tahap kadar kemiskinan di Sarawak.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-5-2024 01:35 AM GMT+8 , Processed in 0.050058 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list