CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4966|Reply: 0

[Pulau Pinang] 'Anggaran bekalan air hanya cukup untuk 30 hari mengelirukan' - PBAPP

[Copy link]
Post time 16-4-2024 12:46 PM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 16-4-2024 12:47 PM

'Anggaran bekalan air hanya cukup untuk 30 hari mengelirukan' - PBAPP



Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - April 16, 2024 @ 12:31pm bhnews@bh.com.my




(Gambar fail) Empangan Air Itam - FOTO BERNAMA




GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan, kapasiti efektif Empangan Air Itam yang merekodkan kadar 30.3 peratus ketika ini bukan bermaksud ia hanya mencukupi untuk bekalan selama 30 hari.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, K Pathmanathan tidak menafikan kadar kapasiti efektif itu adalah rendah, namun memaklumkan bahawa PBAPP masih aktif mempertahankan simpanan air yang ada menerusi Pelan Tindakan Empangan Air Itam (AIDAP) 2024.

"Sebelum ini, purata pelepasan biasa ialah 44 juta liter sehari (JLH) dan kawalan ketika cuaca kering ialah 22JLH, dengan PBAPP mengepam air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke kawasan perkhidmatan Air Itam untuk mengganti kekurangan 33JLH dalam pelepasan harian dari empangan itu.

"Melalui pelaksanaan AIDAP 2024, PBAPP telah mengurangkan purata pengeluaran air mentah hariannya dengan pelepasan 11JLH dari Empangan Air Itam sejak Februari lalu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sepanjang tempoh pelaksanaan AIDAP 2024, Pathmanathan berkata, kapasiti efektif Empangan Air Itam menurun sebanyak 2.5 peratus dalam tempoh 70 hari atau purata 0.036 peratus sehari dalam situasi Pulau Pinang menyambut dua musim perayaan utama ketika cuaca panas dan kering.

"Terdapat spekulasi bahawa 30.3 peratus kapasiti efektif di Empangan Air Itam bermakna 30 hari bekalan air di Air Itam.

"Anggaran ini mengelirukan kerana terdapat kelayakan penting (untuk tempoh masa berkenaan) iaitu 'tanpa hujan'. Apabila ada hujan di Kawasan Tadahan Air Itam, bilangan hari akan berubah," katanya.

Beliau berpandangan, keputusan AIDAP 2024 dalam tempoh 70 hari lalu harus meyakinkan pengguna air di Air Itam bahawa kapasiti efektif empangan pada kadar 30.3 peratus bukanlah sebab untuk panik.

Namun, beliau mengulangi gesaan supaya penggunaan air dijimatkan sebanyak 10 peratus, terutama pada April, Mei dan Jun depan bagi memastikan bekalan air mencukupi di negeri ini.

"PBAPP turut mempunyai pilihan mengetatkan lagi kawalan bekalan air bagi mempertahankan baki simpanan empangan untuk jangka masa lebih lama.

"Bagaimanapun, pelaksanaan kawalan (yang lebih ketat itu) boleh menyebabkan beberapa kesulitan kepada sesetengah pengguna di kawasan perkhidmatan Air Itam," katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan bekalan air masih normal di kawasan perkhidmatan Air Itam meskipun pihaknya tidak mengetahui berapa lama lagi musim panas dan kering ketika ini akan berakhir.

"Menurut laporan cuaca antarabangsa, akan berlaku peralihan daripada fenomena El Nino panas dan kering kepada fenomena La Nina basah dan hujan, tidak lama lagi.

"Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pula meramalkan taburan hujan lebih tinggi di Pulau Pinang pada April hingga Julai 2024, dengan ketibaan musim peralihan monsun," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan paras Empangan Air Itam hampir mencapai tahap kritikal ketiga dengan kapasiti efektif mencatat kadar 30.8 peratus yang dijangka dapat bertahan selama 30 hari.

Paras kritikal yang pertama ialah apabila air empangan mencapai 50 peratus, 40 peratus (kedua) dan 30 peratus (ketiga).

Empangan Air Itam membekalkan air kepada kira-kira 170,000 penduduk meliputi kawasan Air Itam, Paya Terubong dan Jalan Masjid Negeri di bahagian pulau.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

4-5-2024 07:26 PM GMT+8 , Processed in 0.050874 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list