CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3802|Reply: 0

[Kedah] Anak tak sangka bapa maut terbabit nahas selepas beli ubi

[Copy link]
Post time 17-4-2024 08:43 PM | Show all posts |Read mode
Anak tak sangka bapa maut terbabit nahas selepas beli ubi


Oleh Zuliaty Zulkiffli - April 17, 2024 @ 5:37pm bhnews@bh.com.my




Radzi Abdul Mutalib (kiri) ketika menunggu jenazah bapanya, Abdul Mutalib Abdullah, 73, yang meninggal dunia akibat digilis treler di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah




ALOR SETAR: "Saya sangkakan ayah hanya kemalangan biasa kerana nampak hanya gambar ambulans yang dihantar dalam WhatsApp kumpulan keluarga.

"Namun tak sangka pula ayah sudah tiada," kata Syeikh Radzi Abdul Mutalib, 51.

Radzi yang juga Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), berkata pada mulanya dia pergi ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk buat semakan tetapi dimaklumkan nama mangsa kemalangan iaitu bapanya, Abdul Mutalib Abdullah, 73, tiada di situ.

Katanya, dia kemudian pergi pula ke Hospital Lama Alor Setar kerana menyangka mungkin bapanya dihantar ke situ namun tiada menyebabkan dia terus ke lokasi kejadian di Jalan Gangsa, Mergong untuk melihat apa yang berlaku.

"Sebaik sampai di sana, saya menerima banyak kiriman WhatsApp kumpulan rakan sekolah yang mengucapkan salam takziah dan ketika itulah baru saya tahu ayah sudah meninggal dunia.

"Saya tahu ayah kemalangan pada jam 10.45 pagi iaitu hampir sejam selepas kemalangan berlaku dan ketika itu saya di tempat kerja tidak jauh dari lokasi kemalangan," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini hari ini.


Anggota bomba dan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah tayar treler

Radzi berkata, bapanya dipercayai keluar membeli ubi di pasar Jalan Gangsa, Mergong kerana ibunya yang berniaga kuih di hadapan rumah mereka di Kampung Kubang Teduh, Mukim Gunong, dekat sini.

Katanya, ketika itu bapanya keluar seorang diri menunggang motosikal Honda EX-5 dari rumah mereka dan sempat membeli ubi berkenaan.

"Saya dimaklumkan ayah dah beli ubi tu tapi mungkin dia tinggalkan dulu di pasar berkenaan kerana hendak ke masjid tidak jauh dari lokasi kejadian untuk belajar mengaji.

"Ayah selalu pergi ke masjid berbeza setiap hari dan tak sangka arwah terbabit dalam kemalangan hari ini dan pergi buat selama-lamanya pada 8 Syawal hari ini," katanya.

Radzi yang juga anak sulung dari tujuh beradik berkata, kali terakhir dia bertemu dengan arwah semalam ketika singgah di rumah bapanya itu di Kampung Kubang Teduh pada waktu tengahari sementara menunggu solat Zohor.

Katanya, tempat kerjanya di Mergong tidak jauh dari rumah dan sempat membeli pasembur kegemaran bapanya pada waktu rehat.

"Tiada langsung perubahan pada arwah semalam dan kami berbual seperti biasa.

"Malah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu lalu, arwah kelihatan gembira menyambut kepulangan tujuh anak beraya ke kampung bersama lebih 20 cucu.

"Namun tak sangka ini kali terakhir kami menyambut Hari Raya bersama sebelum dia pergi buat selama-lamanya," katanya.

Menurutnya, jenazah bapanya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kubang Teduh selepas solat Isyak malam ini selepas selesai urusan di Jabatan Forensik HSB.

Katanya, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Allah walaupun kehilangan bapa tersayang.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki warga emas maut digilis sebuah treler selepas terjatuh dari motosikalnya di Jalan Gangsa, Mergong, di sini hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian badan dan tersepit di bawah lori di bahagian tayar hadapan sebelum mayatnya dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar menggunakan peralatan khas.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

2-5-2024 05:09 PM GMT+8 , Processed in 0.051887 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list