Agak lama juga kita tak dengar mengenai Siti Mastura Muhammad sejak Ahli Parlimen Kepala Batas itu cetus kontroversi apabila didakwa memfitnah beberapa pemimpin DAP mempunyai pertalian darah dengan pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng dan bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew tahun lalu. Diam tak diam, timbalan ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang itu terheret dalam satu lagi keributan – sekali lagi kerana menimbulkan maklumat yang tidak dikemas kini dan dipastikan kesahihannya.
Dalam kontroversi terbarunya, Siti Mastura mahu dirujukkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen oleh Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng kerana hujahnya yang didakwa berniat jahat dan mahu mengganggu keharmonian berkait dakwaannya bahawa kira-kira 1.2 juta rakyat China masih terus menetap di Malaysia secara tidak sah meskipun sudah ada penjelasan sebelum ini bahawa fakta itu satu kesilapan.
Sebagai rujukan, Gobind Singh Deo ketika menjadi Ahli Parlimen Puchong pernah digantung keahliannya selama setahun melalui satu usul dikemukakan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz kepada Dewan Rakyat menurut Perintah Tetap 80(1) pada 16 Mac 2009 kerana mengeluarkan kenyataan yang mendakwa timbalan perdana menteri ketika itu Najib Razak terbabit dalam kes pembunuhan dan juga menghina timbalan speaker Dewan Rakyat.
Gobind kemudian membawa kesnya ke mahkamah yang berkesudahan dengan Mahkamah Persekutuan pada 3 Nov 2014 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan Parlimen Malaysia membayar semula gaji dan imbuhan Ahli Parlimen Puchong itu yang disekat ekoran penggantungannya selama setahun pada 2009.
Kadang-kadang timbul juga persoalan apakah wakil rakyat berusia 34 tahun berkelulusan doktor falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu cemerkap – menurut Kamus Dewan bermaksud tidak cermat atau lalai dalam melakukan sesuatu pekerjaan – atau sengaja berbuat demikian untuk menagih perhatian ramai. Yang kedua itu tak mungkin kut.
Sebagai rujukan, Gobind Singh Deo ketika menjadi Ahli Parlimen Puchong pernah digantung keahliannya selama setahun melalui satu usul dikemukakan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz kepada Dewan Rakyat menurut Perintah Tetap 80(1) pada 16 Mac 2009 kerana mengeluarkan kenyataan yang mendakwa timbalan perdana menteri ketika itu Najib Razak terbabit dalam kes pembunuhan dan juga menghina timbalan speaker Dewan Rakyat.
Gobind kemudian membawa kesnya ke mahkamah yang berkesudahan dengan Mahkamah Persekutuan pada 3 Nov 2014 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan Parlimen Malaysia membayar semula gaji dan imbuhan Ahli Parlimen Puchong itu yang disekat ekoran penggantungannya selama setahun pada 2009.
Pada 6 Feb lalu, Guan Eng dan pemimpin parti itu berhujah bahawa Siti Mastura tidak sepatutnya bergantung kepada sumber yang disangkal berhubung dakwaan mereka mempunyai pertalian darah dengan komunis dan bekas perdana menteri Singapura. Dalam jawapan terhadap pembelaan Siti Mastura terhadap saman fitnah mereka, Guan Eng, Kit Siang dan Kok mempertikaikan sumber yang didakwa daripada risalah bahan kempen Barisan Nasional (BN).
Ketiga-tiga plaintif menegaskan bahawa defendan tidak boleh bergantung kepada risalah itu sebagai pembelaan kerana ia telah pun disangkal oleh Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan dan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil. Selaku seorang Ahli Parlimen berkelulusan PhD, Siti
Mastura, kata mereka, sepatutnya melakukan usaha semakan sewajarnya.
“Adalah kewajipan tokoh akademik atau pengkaji sepertinya yang terlatih dengan teknik dan protokol, sebagai peraturan, melakukan usaha wajar dan sedar bahawa hanya bahan yang antara lain, tulen, berwibawa dan boleh dipercayai untuk disandar dan bukannya bahan lain. Jika gagal, mana-mana rujukan kepada penerbitan BN Comms yang tidak sahih, tidak berwibawa dan tidak boleh dipercayai, yang kewujudannya telah dinafikan oleh BN sendiri, boleh disifatkan sebagai antara lain, sangat tidak bertanggungjawab, melulu dan sangat cuai.
Oleh itu, kajian yang didakwa oleh defendan mengenai perkara itu adalah tidak masuk akal dan tidak wajar bagi seorang ahli politik dan lebih-lebih lagi seorang pemegang ijazah kedoktoran,” kata ketiga-tiga plaintif.
Pada 29 Mac lalu, FMT melaporkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas itu telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Jika Siti Mastura perlukan satu nasihat, segeralah dapatkan seorang pegawai penyelidik. Di sebalik ia memerlukan sedikit biaya daripada Ahli Parlimen Kepala Batas itu, bantuan sedemikian akan dapat menghindarkannya daripada masalah berulang pada masa depan.
*Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
|