CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 12874|Reply: 0

[Sarawak] Ops Samseng Jalanan: 380 saman dikeluarkan, 19 kenderaan disita di Bintulu

[Copy link]
Post time 30-4-2024 11:37 PM | Show all posts |Read mode


Antara motosikal yang disita sepanjang operasi samseng jalanan dijalankan sekitar Bintulu. - Gambar polis

BINTULU: Polis telah mengeluarkan 380 saman termasuk menyita 18 buah motosikal dan sebuah kereta dalam Operasi Samseng Jalanan/Motosikal selama 16 hari yang berakhir pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixon Joshua Ali berkata dalam operasi bermula 12 hingga 28 April itu melibatkan pasukan dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.

"Operasi ini bertujuan untuk membuat penguatkuasaan undang-undang terhadap kesalahan trafik dan aktiviti lumba haram," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam tempoh operasi itu katanya, seramai 335 orang termasuk lapan wanita, selain 222 buah kenderaan iaitu 212 buah motosikal dan 10 buah kereta telah diperiksa.

"Sebanyak 380 keping saman telah dikeluarkan terhadap individu yang telah menyalahi peraturan dan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya lagi.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan sepanjang operasi dijalankan seperti tak ada lesen memandu, tidak mempamerkan plat nombor pendaftaran, plat nombor pendaftaran tak ikut peraturan, ubah suai ekzos, ubah suai struktur kenderaan, kenderaan tak ada perlindungan insurans, tidak ada cermin pandang belakang dan Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh.

Dalam tempoh sama katanya, terdapat 19 buah kenderaan iaitu 18 buah motosikal dan sebuah kereta turut disita bawah Seksyen 60 APJ 1987 kerana pengubahsuaian dan kelengkapan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

"Selain itu, ibu bapa atau pemilik kenderaan juga dikenakan tindakan kerana membenarkan seseorang individu di bawah umur memandu atau menunggang sesebuah kenderaan," jelas beliau.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya memandu atau menunggang kenderaan mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan demi kesejahteraan awam dan keselamatan komuniti.

Setiap ibu bapa atau penjaga juga dinasihatkan supaya selalu memantau pergerakan anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam gejala samseng jalanan dan mat rempit.

"Operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan atau mat rempit yang boleh memudaratkan pengguna jalan raya yang lain," tegasnya lagi.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-5-2024 12:50 AM GMT+8 , Processed in 0.401157 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list