|
Impian pelakon jelita, Scha Al-Yahya,28 untuk menamatkan zaman bujangnya bersama kekasih hati, Awal Ashaari,30 pada tahun ini, nampaknya terpaksa ditangguhkan berikutan kesibukan tuntutan kerja mereka masing-masing.
Malah, Scha Al-Yahya yang sudah mengikat kontrak sebagai Wajah Eksklusif Astro sejak tahun lalu berkata, dia kini sedang sibuk dengan beberapa program TV dan drama untuk stesen televisyen tersebut dan perlu menyelelesaikannya sehingga pertengahan tahun hadapan.
"Memang sebelum ini kami ada memberitahu yang kami mahu berkahwin pada tahun ini. Tapi nak buat macam mana, mungkin inilah yang dikatakan manusia hanya merancang tapi Tuhan yang menentukannya.
"Terus-terang, setakat ini kami belum lagi merancang secara sempurna untuk perkahwinan kami. Lagipun ibu bapa kami belum lagi berjumpa dan berbincang mengenai hal ini.
"Apa boleh buat, Awal pun semakin sibuk dengan bidang pengacaraan dan juga tuntutan berlakonnya. Saya juga pula perlu berlakon dan hosting bagi menghabiskan 50 jam untuk bersiaran di Astro setelah mengikat kontrak bersama stesen televiseyen berkenaan," kata Scha Al-Yahya.
Scha yang kini sedang menjalani pengambaran Papadom 2 bakal mengacarakan program Impian Bapa untuk saluran Astro Ceria pada Jun ini.
Sementara itu, Scha tidak menafikan dia juga agak risau akan persepsi orang ramai bila melihat dia menjalinkan hubungan cinta yang terlalu lama bersama pasangannya, Awal.
"Sudah dua tahun bercinta, sudah tentu kami mahu cepat kahwin dan tak mahu masyarakat berpandangan tidak elok bila kelihatan kami bersama.
"Cuma apa yang boleh saya katakan, kini kami sedang mencari masa yang sesuai untuk merancang bila masanya. Tapi saya rasa paling cepat pun pada tahun hadapan.
"Apa-apa pun saya mahu ianya berjalan mengikut seperti apa yang dirancang. Paling penting kami akan ikut adat Melayu yang mana kami bakal mengikat tali pertunangan terlebih dahulu," jelasnya kepada murai.com.my. |
|