SELAMA ini Dafi dan Ana Raffali sering beraksi di pentas untuk menghiburkan para peminat dengan lagu-lagu mereka. Bagaimanapun kali ini kedua-dua penyanyi muda itu, menampilkan sisi seni mereka yang berbeza iaitu beraksi di pentas sebagai pelakon menerusi teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa...60an (KMJ). Ternyata Dafi dan Ana mempunyai bakat yang boleh diperkembangkan untuk dijadikan barisan pelakon pelapis walaupun tumpuan utama mereka adalah nyanyian.
Dafi yang pernah muncul dalam drama Hotel Mania dan Kau Dan Aku, berjaya menjiwai watak sebagai Rahman atau Rey, tahun 60-an yang menjalin hubungan dengan Rosnani atau Rose, lakonan Ana Raffali.
Menurut Dafi, beliau berpuas hati dengan persembahannya (malam prebiu) dan berharap mampu memberi komitmen yang sama sehingga selesai persembahan. "Secara peribadi saya gembira kerana dapat memberikan persembahan yang terbaik untuk tontonan semua. KMJ merupakan teater pertama lakonan saya dan berharap mendapat sokongan daripada orang ramai," katanya pada sidang akhbar malam prebiu untuk wartawan, Rabu lalu. Sementara itu, Ana yang popular dengan lagu Tolong Ingatkan Aku dilihat begitu menjiwai watak Rose untuk era 60-an. Sifat gedik yang ditonjolkan Ana menerusi watak Rose begitu menyerlah dan ia amat menghiburkan tatkala Rose berinteraksi dengan kumpulan pelajar nakal yang diketuai oleh Munir lakonan Arja Lee. "Saya tidak dapat gambarkan bagaimana perasaan ketika ini. Bagi saya ini adalah satu pengalaman indah kerana berpeluang melakukan sesuatu yang baru. "Sepanjang bersama produksi teater ini saya banyak belajar daripada pengarah dan barisan pelakon lain. Teater ini juga mengajar saya dunia lakonan dan tarian," katanya. Selain itu, pujian juga perlu diberi kepada Arja yang membawa watak Munir setelah Gambit Saifullah digugurkan daripada produksi yang diterbitkan oleh Belbis Sdn. Bhd. Gelagat Munir bersama rakan-rakannya,Sham( Zulfahmi Marzuki), Joe (Azrul Raja Lawak), Bob (Jamal Mohamad Equash ) dan Tahir (Ahmad Rafiandi Awang ) yang berlagak sebagai samseng kolej amat melucukan. |