KHABAR menarik yang disampaikan satu sumber kepada SS baru-baru ini adalah produser terkenal, Datuk Yusof Haslam dilihat berkunjung ke pejabat produser popular, David Teo.
Apa agaknya yang dilakukan oleh orang kuat Skop Productions dan CEO Metrowealth Pictures itu? Apakah Yusof dan David masih membincangkan isu Pekida? Malah, adakah mereka berdua berbincang untuk menentukan 'kawasan jajahan' mereka? Maklumlah, sebelum ini filem terbitan David mencatat sejarah tertinggi kutipan bermula dengan Jangan Pandang Belakang kemudian Adnan Sempit, Ngangkung dan terbaru, Kongsi.
Bagaimanapun, rekod tertinggi kini sudah dicantas filem Yusof apabila KL Gangster mencatat kutipan hampir RM11 juta. Apakah David tidak dapat menerima hakikat itu hingga menimbulkan rasa tidak puas hati kepada Yusof? Lalu risik punya risik, rupa-rupanya rombongan Yusof datang secara baik untuk melamar Lisa Surihani dan Shaheizy Sam. Oh gitu ceritanya? SS dengar, kedua-duanya mahu digandingkan dalam filem terbaru Skop Productions yang akan diarahkan seorang lagi anak Yusof iaitu Syafiq, adik kepada Syamsul.
Setahu SS, Lisa dan Shaheizy yang akan muncul dalam filem Sekali Lagi mulai 30 Jun ini adalah artis di bawah pengurusan MIG Talent. SS juga dengar, mereka berdua adalah bintang paling mahal di MIG, jadi sudah tentu David akan meletakkan harga yang tinggi. Mampukah Yusof membayar harga ditawarkan David itu? Dengarnya kalau hendak ambil Sam, kalau tidak ada RM100,000 jangan haraplah manakala Lisa juga hampir mencecah angka itu. Bagaimanapun, itu hanya khabar angin yang mungkin betul mungkin tidak. Apa yang lebih menarik, dua pelakon ini akan bekerja di bawah Syafiq yang baru berusia 19 tahun! Amboi kalau jadi, itu pengarah filem termuda kiranya.
SS difahamkan, Syafiq masih belajar dan sedang bercuti, jadi peluang itu akan diambilnya untuk berkarya melalui filem sulungnya dengan bantuan ayah dan abangnya. Menariknya, Syafiq bukan bermula dengan dada kosong kerana sebelum ini mula menimba pengalaman mengarahkan drama Skop Productions seperti Gerak Khas untuk lima episod dan ayahnya melihat Syafiq ada kelebihan dalam penggunaan teknik imej janaan komputer (CGI).
Kalau KRU Studios menggandingkan tenaga tiga beradik, Norman, Yusry dan Edry, nampaknya Skop diterajui anak-anak bujang Yusof. SS tunggu perkembangan menarik ini.
KREDIT: METRO HARI INI