Soseh Soseh: Pelakon kontroversi hangat bercinta
SEDANG SS melayan kebosanan yang melanda diri, SS dikejutkan dengan cerita mengenai rakan media yang menulis dalam facebooknya mengatakan pelakon bertahi lalat di pipi itu sedang hangat bercinta dengan jejaka pilihan wanita Malaya.SS yakin, berita ini pasti akan meluluhkan hati sesiapa saja yang memasang angan-angan sama ada untuk menjadi teman lelaki pelakon wanita itu ataupun teman wanita kepada si jejaka.
Tanpa membuang masa, SS terus menghubungi rakan SS untuk bertanyakan hal itu lebih lanjut. Mendengar cerita teman itu membuat SS tersenyum sendirian. Kata teman SS, dia melihat dua artis itu di satu kompleks beli-belah di Damansara.
Ketika mereka berselisih, kedua-dua artis itu hanya jalan beriringan saja menuju ke tempat letak kereta selepas menonton wayang bersama. Namun tidak puas hati, teman SS itu menoleh ke belakang untuk melihat mereka.
Ketika itulah dia terlihat si wanita dan jejaka berpegang tangan sambil artis yang pernah mencetuskan kontroversi ini melentokkan kepalanya di bahu si jejaka bertubuh sasa itu.
Setakat yang SS tahu, sejak akhir-akhir ini pelakon wanita yang manis itu terpalit dengan kontroversi menjadi orang ketiga dalam hubungan cinta.
Nampaknya aktor lelaki ini tidak menghiraukan perkara itu malah memilihnya untuk membintangi filem arahannya kerana wajahnya ada x-factor. Kiranya untuk melariskan filemlah.
Setakat ini masih tidak ada kenyataan yang keluar dari mulut kedua-dua pihak mengenai status terbaru mereka. Mungkin juga cinta mereka berputik kerana sering berjumpa di set penggambaran. SS tidak kisahlah mengenai perbezaan umur yang sangat jauh, yang penting kedua-dua mereka selesa antara satu sama lain.
Walaupun wanita itu masih setahun jagung, pada pemerhatian SS, dia jauh lebih matang daripada usia sebenar. Salah satu kriteria wanita yang disukai jejaka itu.
SS tertanya-tanya juga, bagaimana pula dengan kisah cinta wanita itu dengan kekasih lama? Mungkinkah kerana bekas teman lelakinya sudah mempunyai teman wanita maka dia pun mengorak langkah mencari pengganti? Apapun, jika benar mereka bercinta, SS doakan yang terbaik untuk mereka.
tak tercapai akalku.klu nmpk mcm clear sgt.
|