JAKARTA: Ayu Ting Ting, meminta jawatankuasa Sukan SEA 2011, menunda perlawanan akhir bola sepak antara pasukan Malaysia dan Indonesia bawah 23, bagi membolehkan dia menonton aksi ‘Garuda Muda’ kesayangannya.
“Saya memang berniat untuk menonton perlawanan itu secara langsung tetapi tak boleh kerana saya ada kerja. Jadi, kalau perlawanan itu ditunda dulu,” katanya ketika dihubungi melalui telefon, semalam.
Walaupun tidak pernah mengikuti perkembangan bola sepak kebangsaan, penyanyi lagu ‘Alamat Palsu’ itu teringin untuk menyaksikan pasukan ‘Garuda Muda’ mengalahkan Malaysia.
“Semoga pasukan Indonesia menang ddengan menyumbat banyak gol,” katanya.
Sementara itu, Kiki Amelia pula berharap pasukan Indonesia mengkaji permainan mereka.
Kiki tidak mahu pasukan ‘Garuda Muda’, pasukan pemain harapan bola sepak Indonesia itu besar kepala.
“Kalau boleh, ‘Garuda muda’ mengambil iktibar daripada pemain senior mereka di piala AFF (Kejohanan Bola Sepak Asean) dahulu. Jangan besar kepala, sombong dan terlalu mendedahkan diri, sebab itu kalah,” kata Kiki Amelia yang bercakap melalui telefon.
Artis yang suaminya seorang penjaga gol, Markus Horison ini, meminta pemain pasukan Indonesia bawah 23 tahun memberi tumpuan penuh untuk menang.