CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: novelloverzz

Peristiwa Dunia, Mitos & Sejarah

  [Copy link]
Post time 10-9-2016 03:45 PM | Show all posts
Edited by luna.millieu at 10-9-2016 03:48 PM

10 September, 1945
Mike dipenggal kepalanya, tetapi masih hidup!


Mike (20 April, 1945 - 17 March, 1947)

Mike ialah seekor ayam belaan Lloyd Olsen dan isterinya Clara di Fruita, Colorado. Pada 10 September 1945, Lloyd dan Clara telah merancang untuk menjamu ibu Clara makan malam. Lloyd tahu ibu mertuanya sukakan leher ayam panggang. Mengingatkan hal itu Lloyd cuba untuk menyelamatkan kebanyakan leher Mike semasa memenggal kepala Mike, seekor ayam belaannya yang berisi, berumur 5 tahun.

Tetapi dalam berbuat demikian, Lloyd tidak sengaja membuat kapaknya tersalah sasaran dan urat leher Mike, sebelah telinganya dan sebahagian besar stem otak Mike terselamat. Sejurus selepas itu, seperti mana-mana ayam yang baru sahaja dipenggal kepala, Mike hilang imbangan dan terhuyung hayang sebentar tetapi kemudian tenang kembali seperti biasa. Sangat tenang sehinggakan Mike mula mematuk tanah untuk makan dengan tunggul lehernya yang baru ditetak dan cuba membersihkan bulunya seperti biasa, tidak sedar kepalanya sudah tiada. Kokokan Mike bertukar menjadi bunyi kumuran yang serak.


Mike mencakar


Lloyd dan Clara Olsen

Lloyd yang bingung, meninggalkan Mike di rebannya. Keesokan harinya, Lloyd mendapati Mike yang sedang tidur telah cuba untuk memasukkannya kepalanya di bawah sayapnya seperti biasa. Lloyd mula berfikir bagaimana untuk memberi makan kepada ayam yang pelik ini. Apa yang Lloyd perlu lakukan ialah menjatuhkan makanan dan air ke dalam esofagus Mike yang terdedah menggunakan penitis air (eyedropper). Kadang-kadang  Lloyd membelanja Mike dengan bijiran jagung yang kecil-kecil.


Memberi Mike makan menggunakan penitis air

Bila Lloyd ke bandar untuk menjual daging ayam, dia membawa Mike bersama. Ketika itu dia masih menggunakan kuda dan wagon kecil. Di bandar, Lloyd mula bertaruh beer atau barang lain dengan orang yang tidak percaya boleh melihat ayam hidup tanpa kepala.

Berita mula tersebar di Fruita mengenai burung tanpa kepala yang ajaib. Akhbar tempatan telah menghantar wartawan untuk menemubual Lloyd dan 2 minggu kemudian, penganjur pertunjukan kecil bernama Hope Wade mengembara hampir 300 batu dari Salt Lake City, Utah untuk bertemu Lloyd dan Mike. Dia mempunyai cadangan yang mudah : bawa Mike ke pertunjukan-pertunjukan kecil untuk membuat sedikit wang. Pada tahun 1940an pada masa itu, Lloyd cuma mempunyai ladang yang kecil dan tidak kaya, jadi Lloyd tidak kisah dan bersetuju.


Mike di ladang


Mike berdiri penuh gaya

Mula-mula mereka ke Salt Lake City dan Universiti Utah dimana Mike melalui berbagai ujian dan pemeriksaan. Didapati bahawa semasa memenggal kepala Mike, kapak terlepas urat leher dan darah beku telah menghalang Mike dari mati akibat pendarahan. Memandangkan fungsi asas (pernafasan, kadar jantung, dan lain-lain) dan juga kebanyakan tindakan refleks ayam dikawal oleh stem otak, Mike dapat kekal agak sihat.


Mike dan kepalanya di dalam botol awet

Semasa mereka di sini Life Magazine datang untuk mengagumi kisah 'Miracle Mike the Headless Chicken', nama baru Mike yang telah dijenamakan oleh Hope Wade, pengurus Mike ketika ini. Kemudian Lloyd, Clara dan Mike bertolak untuk pertunjukan ke seluruh Amerika Syarikat. Orang ramai akan membayar 25 sen untuk melihat Mike berjalan-jalan tanpa apa-apa kerisauan. Pada satu ketika, Mike telah berpendapatan $4,500 sebulan dan bernilai $10,000, pastinya ayam yang kaya dari ayam-ayam biasa!


Mike dan Hope Wade


Mike berjalan-jalan tanpa risau

Pada bulan Mac 1947, semasa dalam perjalanan balik dari pertunjukan, mereka singgah di sebuah hotel di Phoenix. Malam itu mereka telah dibangunkan dengan bunyi burung tercekik. Mereka kelam kabut mencari picagari yang selalu digunakan untuk membersihkan lendir dari esofagus Mike tapi tidak jumpa. Baru mereka sedar yang mereka telah tertinggal picagari itu di pertunjukan sebelumnya. Sebelum mereka boleh mencari alternatif, Mike lemas dan mati.

Selepas kematian Mike, Lloyd pulang ke ladangnya dan meneruskan hidup sebagai peladang dan penternak, menyara kehidupan keluarganya dengan berbakti kepada tanah.


Kit makanan Mike


Sajak Mike, 1945

Dalam tempoh 18 bulan Mike hidup tanpa kepalanya, Mike membesar dari hanya 2.5 paun (1.13 kg) hingga hampir 8 paun (3.6 kg). Dalam satu temu bual selepas kematian Mike, Lloyd berkata Mike adalah "ayam yang mantap; spesimen ayam yang sangat baik, kecuali dia tidak mempunyai kepala".

Meraikan keajaiban Mike, sebuah tugu peringatan telah dibina di Fruita. Penduduk Fruita sangat menyayangi Mike, mereka mengadakan larian "Mike the Headless Chicken Run" setiap tahun pada hujung minggu ke-3 setiap bulan Mei bermula dari tahun 1999. Aktiviti lain yang turut diadakan ialah lambungan telur, larian "5K Run Like a Headless Chicken Race", "Pin the Head on the Chicken", "Chicken Cluck-Off" dan "Chicken Bingo".


Tugu peringatan Mike di Fruita


Poster Mike the Headless Chicken Festival di Fruita tahun ini (2016)

Sebuah kumpulan muzik komedi punk The Radioactive Chicken Heads telah diinspirasikan oleh kisah Mike dan mencipta lagu bertajuk Headless Mike.

Video lagu Headless Mike oleh The Radioactive Chicken Heads :


Cucu Lloyd bercerita tentang pengembaraan Mike dan datuknya :


Sumber :
http://blogs.scientificamerican.com/running-ponies/meet-miracle-mike-the-chicken-who-lived-for-18-months-without-his-head/#

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 10-9-2016 04:05 PM | Show all posts
Edited by luna.millieu at 10-9-2016 04:13 PM

10 September, 1993
The X-Files ditayangkan buat pertama kali



The X-Files, siri drama televisyen yang hit dalam tahun 1990an telah ke udara buat pertama kali dengan episod pertamanya 'Pilot' pada jam 09:00 malam Jumaat 10 September 1993. Ia telah ditayangkan melalui saluran Fox dari September 10 1993 hingga 19 Mei 2002, merangkumi 9 musim, 202 episod dan 2 filem; The X-Files (1998) dan I Want to Believe (2008). Musim ke-10 dengan 6 episod baru telah ditayangkan bermula Januari ke Februari 2016.

Drama sains fiksyen seram ini dicipta oleh Chris Carter.


Chris Carter (13 Oktober 1957 -)

Trailer untuk episod "Pilot" :



The X-Files (1998)


I Want to Believe (2008)

Penghasilan The X-Files dan watak-watak utama :
Pada awal tahun 1990an, Chris Carter telah diberi peluang untuk menghasilkan rancangan baru untuk rangkaian Fox. Bosan dengan genre komedi selama bekerja dengan Walt Disney Pictures, laporan bahawa 3.7 juta rakyat Amerika mungkin telah diculik oleh orang asing, skandal Watergate dan siri seram 1970-an Kolchak: The Night Stalker, telah mencetuskan idea untuk The X -Files. Pada tahun 1992, Carter menulis episod pertama The X -Files.

Cadangan awal Carter untuk The X-Files ditolak oleh eksekutif Fox. Dia mengukuhkan lagi konsep dan kembali beberapa minggu kemudian, dimana Fox akhirnya mengarahkan penghasilan episod pertama siri ini.

Carter turut diinspirasikan oleh kenangannya menonton The Twilight Zone dan The Silence of the Lambs, yang memberi dorongan untuk merangka siri disekitar ejen-ejen FBI, supaya watak-watak mempunyai alasan yang munasabah untuk terlibat dalam setiap kes.

Bercakap tentang penciptaan watak Mulder dan Scully, Carter berkata, "Mulder dan Scully terus keluar dari kepala saya. Sebuah kontra. Mereka adalah keinginan saya untuk percaya kepada sesuatu dan ketidakupayaan saya untuk mempercayai sesuatu dalam bahagian yang sama banyak. Keraguan saya dan kepercayaan saya. Dan penulisan karakter menjadi mudah untuk saya. Saya mahu, seperti ramai orang, untuk mempunyai pengalaman menyaksikan fenomena paranormal. Pada masa yang sama, saya ingin untuk tidak menerimanya, tetapi untuk mempersoalkannya. Saya rasa watak-watak dan suara-suara mereka keluar dari dualiti tersebut."

Carter bertekad untuk mengekalkan hubungan platonik antara kedua-dua watak utama, menjadikan interaksi watak-watak Emma Peel dan John Steed dalam siri The Avengers sebagai dasar rujukan.

Pemilihan pelakon watak-watak utama :

David Duchovny sebagai Fox Mulder



Duchovny telah bekerja di Los Angeles selama 3 tahun sebelum The X-Files; pada mulanya dia mahu memberi tumpuan kepada lakonan filem. Pada tahun 1993, pengurusnya Melanie Green, telah memberinya skrip untuk episod "Pilot" The X-Files. Green dan Duchovny berdua yakin ia adalah skrip yang baik, jadi Duchovny menyertai ujibakat untuk watak utama.

Sesi ujibakat Duchovny berjalan lancar, walaupun dia bercakap agak perlahan. Walaupun pengarah pengambilan pelakon memberikan maklum balas positif terhadap Duchovny, Carter merasakan Duchovny tidak berapa cerdik. Dia bertanya Duchovny jika dia boleh "tolonglah" membayangkan dirinya sebagai seorang ejen FBI dalam episod "akan datang". Duchovny bagaimanapun ternyata menjadi salah seorang yang paling baik bacaan skripnya yang Carter pernah kenali.

Gillian Anderson sebagai Dana Scully



Anderson ke ujibakat untuk watak Scully pada tahun 1993.
"Saya tidak boleh berhenti membaca skrip itu", kata Gillian mengenangkan semula kisah ujibakatnya. Rangkaian Fox mahukan seorang pelakon yang lebih terkenal, atau seorang yang "tinggi, berkaki panjang, lebih blonde dan berbuah dada besar" untuk watak Scully berbanding Anderson ketika itu berusia 24 tahun, seorang veteran teater dengan pengalaman filem yang sedikit.

Selepas ujibakat, Carter merasakan Gillian adalah satu-satunya pilihan untuk watak Scully. Carter bertegas bahawa Anderson mempunyai jenis integriti 'jangan main-main' yang watak Scully perlukan. Anderson memenangi pelbagai anugerah hasil lakonannya sebagai Scully: Anugerah Screen Actors Guild pada tahun 1996 dan 1997, Anugerah Emmy pada tahun 1997, dan Anugerah Golden Globe 1997.

Duchovny dan Scully bercerita tentang bila mereka berjumpa pertama kali untuk ujibakat:


Mitch Pileggi sebagai Walter Skinner



Mitch Pileggi telah pun menghadiri sesi ujibakat untuk 2 atau 3 watak lain dalam The X-Files sebelum dipanggil ke sesi ujibakat untuk watak tetap. Kecewa dengan kegagalannya untuk mendapat watak-watak sebelum ini, dia telah ke sesi ujibakat ini dalam mood marah-marah.

Mood garang ini sangat sesuai dengan watak Skinner menyebabkan Carter menyangka Pileggi hanya berpura-pura menjadi pemarah. Pileggi kemudian menyedari dia telah bernasib baik kerana dia tidak mendapat watak yang dari sesi-sesi ujibakat yang lebih awal. Kerana jika dia berjaya ini bermakna dia cuma akan muncul sekali sahaja dan akan terlepas peluang untuk muncul setiap minggu dengan watak tetap Skinner.

William B. Davis sebagai Cigarette-Smoking Man



Cigarette-Smoking Man atau juga dikenali sebagai Cancer Man atau the Smoking Man, dilakonkan oleh seorang pelakon Canada, William B. Davis. Semasa Davis mula-mula menerima watak ini, ianya ditulis sebagai watak tambahan untuk episod episod pertama. Watak itu tampil semula dalam musim-musim berikutnya, semakin lama semakin kerap dan prominen dan akhirnya menjadi musuh utama kepada watak Mulder. TV Guide telah menyeranaikan watak Cigarette-Smoking Man ke dalam senarai mereka "2013 The 60 nastiest Villains of All Time".

Sebelum menyertai barisan pelakon The X-Files, Davis telah berhenti merokok selama 20 tahun. Dalam 2 episod pertama The X-Files, dia telah menghisap rokok tembakau tetapi kemudian menukar kepada rokok herba dengan alasan ia adalah merbahaya untuk kesihatannya.

Bercakap mengenai watak Cigarette-Smoking Man, Davis berkata, "Saya cuba untuk meletakkan diri saya dalam kasut watak itu dan melihat dunia dari sudut pandangannya. Lagipun, penjahat tidak fikir mereka adalah penjahat".

Penggambaran :
Pada peringkat awal pengeluaran, Carter mula merancang penggambaran di sekitar Los Angeles untuk episod pertama The X-Files. Walau bagaimanapun, kerana tidak dapat mencari lokasi yang sesuai untuk banyak adegan, Carter mengambil keputusan untuk "pergi ke hutan-hutan yang bagus" dan memindahkan lokasi penggambarannya ke Vancouver. Penggambaran kekal di Vancouver untuk 5 musim pertama; sebelum beralih semula ke Los Angeles bermula dengan musim ke-6.

Walaupun penggambaran musim ke-6 sehingga ke-9 difilemkan di Los Angeles, filem kedua siri ini, The X-Files: I Want to Believe (2008), telah difilemkan di Vancouver, sama seperti episod-episod musim ke-10 (2016).


Episod penutup musim ke-5 "The Finale" yang telah difilemkan di Vancouver


Penggambaran The X-Files di Vancouver

Muzik tema :
Muzik ini digubah oleh Mark Snow, yang terlibat dengan The X-Files melalui persahabatannya dengan penerbit eksekutif Robert Goodwin. Pada mulanya Carter tidak mempunyai calon. Lebih sedozen orang telah dipertimbangkan, tetapi Goodwin terus menekan untuk mengambil Snow yang telah pun menjalani uji bakat lebih kurang 3 kali dengan tiada apa-apa tanda dari kakitangan pengeluaran sama ada mereka mahukan dia atau tidak. Satu hari ejen Snow memanggilnya dan mula bercakap tentang episod "Pilot" dan memberi klu yang Snow telah dipilih sebagai penggubah lagu episod itu.


Mark Snow (26 Ogos 1946 -)

Muzik tema siri ini yang juga diberi tajuk "The X-Files", telah menggunakan lebih banyak seksyen instrumental daripada kebanyakan drama. Selepas mendengar efek siulan dalam muzik tema, Carter telah terkejut dan berkata ia "It's going to be good".

Kesan gema dalam muzik ini telah dimasukkan secara tidak sengaja oleh Snow. Selepas beberapa versi, Snow merasakan sesuatu masih tidak betul. Apabila Carter keluar dari bilik, Snow meletakkan tangan dan lengan di atas keyboardnya dalam kekecewaan. Secara tidak sengaja dia telah mengaktifkan kesan gema yang menggembirakan Carter.

Lagu tema The X-Files :


Susunan visual pembukaan :
Susunan visual pembukaan telah dibuat pada tahun 1993 untuk musim pertama dan kekal tidak berubah sehingga Duchovny meninggalkan The X-Files. Carter mahu tajuk siri ini dibuka dengan "pembukaan yang berkesan" dengan "imej-imej pelik". Susunan visual ini secara ketara menggunakan split-screen yang menunjukkan benih bercambah dan wajah ketakutan yang semakin lama semakin senget.
Susunan visual ini adalah sangat popular dan telah memenangi Anugerah Emmy pertamanya, dalam kategori Outstanding Graphic Design and Title Sequences.

Susunan visual ini berakhir dengan tagline "The Truth Is Out There", yang digunakan untuk majoriti episod. Dalam beberapa episod lain tagline ini ditukar. Antara tagline lain yang digunakan ialah : "Deny Everything" dalam episod "Ascension", "Everything Dies" dalam episod "Herrenvolk", "Believe to Understand" dalam episod "Closure","They're Watching"  dalam episod "Trust No 1" dan lain-lain lagi.


Beberapa imej daripada visual pembukaan The X-Files

Video pembukaan siri The X-Files :


Penayangan dam sambutan :
Episod pertama "Pilot" ditayangkan pada 10 September 1993, dan mencapai 12 juta penonton. Semakin lama kedalam musim tayangan, rating mula meningkat dan episod penutup musim pertama meraih 14 juta penonton. Dalam musim 1993-1994 televisyen, musim pertama The X-Files mendapat kedudukan ke-105 daripada 128 rancangan yang disiarkan. Rating musim ke-2 meningkat lagi, dan menjadi satu trend yang berterusan selama 3 musim berikutnya; merangkul kedudukan ke-63 daripada 141 rancangan. Tidak lama kemudian The X-Files menjadi rancangan top rangkaian Fox, diminati oleh dikalangan penonton berumur 19-49 tahun.

Melalui kenaikan dan penurunan rating sepanjang penyiarannya The X-Files akhirnya mengumumkan musim yang ke-9 sebagai yang terakhir bagi X-Files pada Mei 2002. Walau begitu peminat-peminat setia meminta supaya Carter menerbitkan sebuah lagi filem X-Files untuk menjawab persoalan-persoalan yang tergantung. Menjawab permintaan ini Carter telah bersetuju untuk menerbitkan 6 episod untuk musim ke-10 dengan barisan pelakon asal. Episod pertama musim ini yang bertajuk "My Struggle" telah ditayangkan pada 24 Januari 2016 di Amerika.

Trailer untuk musim ke-10 :



Kulit DVD untuk The X-Files, musim ke-10


Mulder dan Scully, 2016


Scully dan Mulder, 1993

Sumber :





Reply

Use magic Report

Post time 11-9-2016 03:22 PM | Show all posts
Edited by luna.millieu at 11-9-2016 03:24 PM

11 September, 1697
Pertempuran Zenta
(Battle of Zenta)
Uthmaniyyah vs Kingdom of Hungary yang dibantu oleh Holy Roman Empire


Battle of Zenta (cetakan kayu abad ke-18)

Pertempuran Zenta yang tercetus di kawasan sungai Tisa, Zenta di Serbia pada 11 September 1697, ialah pertempuran di antara kerajaan Uthmaniyyah dan kerajaan Hungary (sebahagian dari kerajaan Habsburg pada masa itu) yang dibantu oleh Holy Roman Empire. Pertempuran ini telah membuahkan kemenangan ketenteraan yang besar bagi pihak Holy Roman Empire dan Kerajaan Hungary lalu menaikkan Austria sebagai kuasa terbesar di Eropah Tengah. Pertempuran Zenta adalah salah satu pertempuran yang tercetus dalam Perang Besar Turki atau Great Turkish War (1683-1699).

Dalam serangan mengejut, tentera Habsburg Imperial telah menjejaki tentera Uthmaniyyah yang menyeberangi sungai Tisa. Dengan jumlah anggota tentera yang kecil tentera Habsburg telah menyebabkan kematian dan kecederaan kepada 30,000 orang tentera Uthmaniyyah, menyebabkan baki tentera Uthmaniah yang lain lari dan membolehkan mereka merampas harta kerajaan Uthmaniyyah.


Perbandingan data

Akibat kekalahan ini, Empayar Uthmaniyyah telah kehilangan kuasanya ke atas Banat secara serta-merta, manakala dalam jangka masa panjang, kemenangan Habsburg di Zenta adalah langkah tegas yang terakhir untuk memaksa Empayar Uthmaniyyah mempersetujui Perjanjian Karlowitz (1699), sebuah perjanjian yang mengakhirkan kuasa Uthmaniyyah keatas bahagian-bahagian besar Eropah Tengah.

Latarbelakang :
Pada tahun 1690, Belgrade dibawah kuasa Austria telah ditawan semula oleh Empayar Turki Uthmaniyyah dalam pertempuran Siege of Belgrade. Siege of Belgrade juga adalah salah satu pertempuran yang tercetus dalam Perang Besar Turki. Selepas penawanan semula Belgrade, tentera Uthmaniyyah yang diketuai oleh Sultan Mustafa II telah memenangi 3 kemenangan berturut-turut dalam Pertempuran Lugos (1695), Pertempuran Ulaş (1696), dan Pertempuran Cenei (1696).


Peta kerajaan Uthmaniyyah

Apabila berita sampai bahawa Sultan Mustafa II dan tenteranya berada di Belgrade sekitar Julai 1697, Prince Eugene of Savoy, seorang jeneral dalam tentera Holy Roman Empire (Imperial Army) telah memilih untuk mengumpulkan semua tenteranya daripada Upper Hungary dan Transylvania dan mula bergerak ke arah Petrovaradin di utara Serbia.


Sultan Mustafa II (6 Februari, 1664 - 29/30 Disember, 1703)


Prince Eugene of Savoy (18 Oktober 1663 - 21 April 1736)

Selepas semua tentera yang dipanggil berkumpul, Eugene mempunyai anggota Imperial Army seramai 50,000 hingga 55,000 orang dibawah arahannya untuk menghadapi Uthmaniyyah. Pada 18 Julai, di kampung Kolut, Eugene mengkaji semula kuasa ketenteraannya sebelum meninggalkan kampung Kolut bersama-sama tenteranya untuk ke Petrovaradin melalui Sombor.

Sepanjang bulan Ogos, Eugene cuba untuk bertempur dengan pihak Uthmaniyyah di kawasan benteng Petrovaradin, tetapi Uthmaniyyah yang sedang cuba untuk memulakan penawanan baru, enggan melibatkan diri dalam pertempuran yang ditawarkan oleh Eugene. Pada bulan September tentera Uthmaniyyah bergerak ke utara dalam usaha untuk menawan benteng Szeged di selatan Hungary. Semasa ini Imperial Army mengekori mereka.

Selepas penawanan Cafer Pasha (Djafer Pasha) oleh pasukan berkuda empayar, rancangan bagi penawanan Szeged dibatalkan dan Sultan Mustafa II memutuskan untuk kembali ke kawasan perkhemahan musim sejuk berhampiran Timişoara di barat Romania. Apabila Eugene mengetahui tentang pergerakan ini, dia mengambil keputusan untuk memaksa Sultan Mustafa II bertempur.

Pertempuran :
Pada 11 September 1697, tentera Uthmaniyyah mula menyeberangi kawasan cetek sungai Tisa berhampiran Zenta tanpa menyedari bahawa Imperial Army dari kerajaan Hungary ada berdekatan. Eugene melancarkan serangan mengejut sedang tentera Uthmaniyyah berada dalam proses menyeberangi sungai.


Serangan di sungai Tisa


Peta serangan Battle of Zenta dari abad ke-17


Lukisan semula peta serangan Battle of Zenta

Selepas pengeboman meriam yang intensif, banyak rejimen dari pasukan berkuda Imperial turun menuju ke parit yang mengelilingi kem Uthmaniyyah lalu menyerang ahli-ahli kem itu. Dalam kekeliruan, tentera Uthmaniyyah yang berada di belakang perparitan berundur ke arah jambatan yang kini penuh sesak. Meriam Austria disasarkan ke arah tentera Uthmaniyyah itu lansung mengorbankan mereka.


Prince Eugene of Savoy di Battle of Zenta lukisan Ferenc Eisenhut, 1895


Tentera Uthmaniyyah diserang

Sayap kiri tentera Imperial mula menyerang, menembusi kawasan antara sayap kiri Uthmaniyyah dan jambatan lalu membantutkan pengunduran Uthmaniyyah. Pada masa yang sama, tentera Imperial turut menyerang dari depan dan selepas pertempuran jarak dekat yang ganas dan sengit, tentera Imperial berjaya merempuh parit yang mengelilingi kem Uthmaniyyah.

Di dalam kem itu, pembunuhan berlaku dengan amat dahsyat. Tentera Imperial menekan serangan tanpa henti. Tidak sampai 1,000 orang tentera Uthmaniyyah berjaya melarikan diri. Lebih 10,000 tentera Uthmaniyyah mati lemas dalam sungai Tisa. Seramai 20,000 tentera Uthmaniyyah telah mati di medan perang.


Keadaan Battle of Zenta


Kem tentera Uthmaniyyah diserang


Kekalahan tentera Uthmaniyyah (cetakan oleh Arnold van Westerhout, abad ke-17)


Kemenangan Eugene of Savoy di Battle of Zenta (lukisan Engerth A, 1895)

Kesan :
Pertempuran itu menyebabkan kemenangan yang menakjubkan untuk Austria; pada kos 500 orang tentera mereka telah menyebabkan kehilangan 30,000 anggota tentera Uthmaniyyah. Mereka juga berjaya menawan ahli keluarga wanita Sultan, 87 meriam, peti harta diraja dan jata negara Empayar Uthmaniyyah. Dilaporkan juga bahawa tentera dari Austria ini berjaya menangkap sekumpulan unta hasil kemenangan pertempuran ini.


Penceritaan semula Battle of Zenta (lukisan kontenporari 1698)

Dengan syarat-syarat Perjanjian Karlowitz pada tahun 1699, Austria telah memaksa Sultan Mustafa II untuk berdamai dengan Maharaja Habsburg, dan menyerahkan Transylvania serta kawasan dibawah pentadbiran (eyalet) Uthmaniyyah: Egri, Varat dan Kanije, serta sebahagian besar kawasan Uthmaniyyah di Budin, dan beberapa bahagian kawasan Uthmaniyyah di Temeşvar dan Bosnia.

Wilayah-wilayah ini kemudiannya diubah atau dimasukkan ke dalam wilayah Habsburg yang dikenali sebagai Principality of Transylvania, Kingdom of Hungary, Kerajaan of Slavonia, dan Military Frontier. Ini secara langsung telah meluaskan kawasan jajahan Habsburg Kingdom of Hungary dan menjadi titik permulaan kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah di Eropah Tengah dan Eropah Tenggara.


Perundingan Perjanjian Karlowitz


Kerajaan Uthmaniyyah sebelum dan selepas Perjanjian Karlowitz


Dokumen Perjanjian Karlowitz


Monumen peringatan Battle of Zenta di Zenta, Serbia


Sungai Tisza (Tisa) di Szeged hari ini

Video menunjukkan The Battle of Zenta Memorial Look-Out Tower :


Video menunjukkan Zenta hari ini :


Sumber :


Reply

Use magic Report

Post time 11-9-2016 03:48 PM | Show all posts
Edited by luna.millieu at 11-9-2016 03:55 PM

11 September, 1816
Carl Zeiss dilahirkan

Para pengguna kamera pastinya pernah melihat nama ini di lensa kamera mereka.





Carl Zeiss yang dilahirkan pada 11 September 1816, adalah pembuat instrumen optik Jerman yang terkenal kerana syarikat yang diasaskannya, Carl Zeiss Jena (kini Carl Zeiss AG) dan seterusnya Carl-Zeiss-Stiftung (Carl Zeiss Foudation).

Zeiss telah memberi sumbangan kepada pembuatan lensa yang telah membantu pengeluaran lensa secara moden. Dibesarkan di Weimar, Jerman, dia membuka bengkel kanta membuat dalam tahun 1840-an di bandar Jena. Pada mulanya kantanya hanya digunakan dalam pengeluaran mikroskop, tetapi apabila kamera dicipta, syarikatnya mula mengeluarkan lensa berkualiti tinggi untuk kamera.


Carl Zeiss (11 September 1816 - 3 December 1888)

Kehidupan awal :
Zeiss memulakan hidupnya dalam era pra-imperial Jerman di mana dia pergi ke sekolah tatabahasa, dan kemudian menyertai program pelatih di bawah Dr. Friedrich Körner, seorang mekanik dan pembekal kepada mahkamah. Zeiss kemudian menghadiri kuliah dalam matematik, fizik eksperimen, antropologi, mineralogi dan optik di Universiti Jena. Selepas 7 tahun dia membuka sebuah bengkel kecil dengan hampir tiada alat. Dia membuat banyak kanta tetapi tidak diberi banyak pengiktirafan sehinggalah dia mula mengupah pelatih kedua dan ketiga pada tahun 1847.


Bengkel pertama Carl Zeiss (kanan) di pusat bandar Jena, 1847

Perkembangan pengeluaran lensa :
Carl Zeiss membuka bengkel optik di Jena pada tahun 1846.
Menjelang 1847 dia telah membuat mikroskop sepenuh masa.
Inovasi pertamanya adalah sejenis mikroskop mudah berkanta satu yang digunakan untuk kerja-kerja pembedahan kecil (dissection). Dia berjaya menjual 23 buah mikroskop itu pada tahun pertama pengeluaran. Zeiss memutuskan dia memerlukan cabaran baru, jadi dia mula membuat mikroskop kompaun. Dia mereka mikroskop Stand I yang telah dipasarkan pada tahun 1857.


Mikroskop mudah Carl Zeiss, dikeluarkan dari tahun 1847


Mikroskop kompaun Carl Zeiss, 1879


Perbezaan antara mikroskop mudah dan mikroskop kompaun

Pada tahun 1861 Zeiss telah dianugerahkan pingat emas di Pameran Perindustrian Thuringian untuk rekaannya. Mikroskop buatan Zeiss dianggap sebagai antara instrumen saintifik terbaik di Jerman. Pada masa ini, dia mempunyai kira-kira 20 orang bekerja dibawahnya dan perniagaannya sedang berkembang. Pada tahun 1866 bengkel Zeiss telah menjual mikroskopnya yang ke-1000.


Mikroskop kompaun Carl Zeiss dengan jenamanya jelas kelihatan

Pada tahun 1872 ahli fizik Ernst Abbe menyertai Zeiss dan bersama-sama dengan Otto Schott, seorang ahli kimia. Bertiga mereka telah mencipta lensa yang bertambah baik lagi bagi instrumen optik yang mereka hasilkan.


Ernst Karl Abbe (23 January 1840 - 14 January 1905)


Friedrich Otto Schott (17 December 1851 - 27 August 1935)


Mikroskop kompaun Carl Zeiss, 1905

Anak Zeiss telah menyertai perniagaan dengan ayahnya, tetapi bersara tidak lama selepas kematian Zeiss kerana sebab semulajadi pada 3 Disember 1888. Perniagaan ini telah diperbadanankan sebagai Carl-Zeiss-Stiftung pada tahun 1889.

Penguasaan Zeiss dalam inovasi lensa fotografi adalah disebabkan oleh Dr Paul Rudolph yang telah menyertai perniagaan Carl Zeiss. Pada tahun 1890, Rudolph telah mereka lensa tidak simetri dengan kumpulan tersusun pada setiap sisi diafragma dinamakan "Anastigmat".


Paul Rudolph (14 November 1858 - 8 March 1935)

Dia telah mereka berbagai jenis lensa sejak itu dan menjelang Perang Dunia I, Zeiss merupakan lokasi terbesar di dunia bagi pengeluaran kamera. Kamera Zeiss Ikon mewakili sebahagian besar pengeluaran bersama-sama dengan berpuluh-puluh jenama dan kilang-kilang lain.


Carl Zeiss Jena 1910


Kamera Zeiss Ikon Nettar 515


Kamera Zeiss Ikon 2004

Dengan inovasi lensa zaman-berzaman nama Carl Zeiss telah mendapat reputasi antarabangsa dalam pengeluaran semua jenis instrumen optik, dan perniagaannya kekal hingga ke hari ini. Pada 28 Jun 2013, Carl Zeiss AG mengumumkan secara rasmi rancangannya untuk menamakan semula jenamanya daripada "Carl Zeiss" kepada hanya "Zeiss". Semua produk akan diselaraskan di bawah jenama Zeiss itu.


Evolusi logo jenama (Carl) Zeiss


Cawangan pejabat Zeiss (Carl Zeiss AG) di Göttingen, Jerman hari ini

Pengasas jenama hebat ini, Carl Zeiss telah dikebumikan di Jena.
Dan tahun ini (2016) merupakan ulangtahun ke-200 sejak Carl Zeiss dilahirkan


Kubur Carl Zeiss di Jena, jerman

Mengenang sumbangan Carl Zeiss dalam bidang optik :


Video lawatan ke bengkel Carl Zeiss di Jena :


125 tahun sejarah Carl Zeiss Foundation :


Sumber :




Reply

Use magic Report

Post time 12-9-2016 11:23 AM | Show all posts
12 September, 1857
Kapal SS Central America tenggelam

SS Central America, yang juga dikenali sebagai Ship of Gold, adalah kapal stim berkincir tepi sepanjang 280 kaki (85 m) yang beroperasi di antara Amerika Tengah dan pantai timur Amerika Syarikat pada tahun 1850an. Ia pada asalnya dinamakan SS George Law, sempena nama seorang pengurus wang, George Law dari New York.

Kapal SS Central America ini tenggelam dalam taufan pada 12 September 1857, bersama-sama dengan lebih daripada 420 penumpang berserta anak kapal, dan 30,000 pound (14,000 kg) emas.


SS Central America yang juga dikenali sebagai Ship of Gold, lukisan 1852


SS Central America, lukisan 1852 ditindih dengan plan kapal

Rentetan kejadian :
Pada 3 September 1857, 477 penumpang dan 101 anak kapal meninggalkan pelabuhan Colón di Panama untuk pelayaran ke New York City di bawah pimpinan William Lewis Herndon. Kapal itu sarat dengan 9.1 tan emas galian yang diperolehi semasa California Gold Rush. Selepas singgah di Havana, SS Central America meneruskan pelayarannya ke arah utara.


William Lewis Herndon (25 Oktober 1813 - 12 September 1857)


SS Central America

Pada 9 September 1857, kapal itu telah terperangkap dalam taufan kategori 2 semasa berada di luar pantai Carolinas. Menjelang 11 September, angin kencang selaju 165 km/h dan laut yang bergelora telah mengoyakkan layarnya. SS Central America dimasukil air, dan dandang apinya (boiler) hampir rosak.

Satu kebocoran di salah satu pateri (seal) diantara batang roda pendayung dan sisi kapal telah menentukan nasib kapal itu. Menjelang tengahari 11 September, dandang api SS Central America sudah tidak dapat membakar api. Tekanan stim menurun, menutup kedua-dua pam yang telah mengelakkan air dari masuk dan mengekalkan arah roda pendayung supaya menunjuk ke dalam angin sementara kapal dikendalikan dengan stern. Penumpang dan anak kapal menterbalikkan bendera kapal (tanda kecemasan di Amerika Syarikat) untuk cuba untuk memberi isyarat mana-mana kapal yang lalu. Malangnya tiada siapa yang datang.


Peta menunjukkan laluan dan kekuatan ribut taufan yang melanda SS Central America
mengikut pengukur angin Saffir-Simpson.

Sebuah pasukan membaldi air telah dibuat dan sepanjang malam penumpang bersama-sama anak kapal berusaha untuk membaldi air yang semakin naik keluar dari kapal. Semasa taufan tenang, mereka cuba untuk menyalakan dandang api semula, tetapi gagal. Ribut datang kembali dan SS Central America kini sedang menunggu masa untuk karam. Tanpa kuasa, SS Central America dihanyutkan ribut, menjadikannya sentiasa berada dalam angin kencang yang tidak berhenti.


Gambaran SS Central America dilanda ribut taufan

Keesokan harinya, pada 12 September 1857, 2 kapal termasuk sebuah kapal bernama "Marine" menemui SS Central America yang sedang berada dalam bahaya. 153 orang penumpang, terutamanya wanita dan kanak-kanak, berjaya menaiki bot penyelamat.


Wanita-wanita yang diselamatkan oleh kapal Marine

Walau bagaimanapun, kapal itu kekal di kawasan angin kuat dan laut bergelora yang menarik kapal dan orang-orang di dalamnya dari para penyelamat. SS Central America akhirnya karam pada pukul 8:00 malam itu.


Gambaran SS Central America ketika karam

Kesan :
425 orang telah terbunuh dalam kejadian ini.
Selain daripada 153 orang wanita dan kanak-kanak yang terselamat, sebuah kapal barque bernama "Ellen" dari Norway telah menyelamatkan 50 orang lagi dari air. 3 orang lagi berjaya diselamatkan lebih seminggu kemudian dengan bot penyelamat. William Lewis Herndon yang bertugas sebagai kapten tidak meninggalkan kapalnya dan karam bersama-sama SS Central America.

Sejurus selepas kejadian ini, perhatian besar telah diberikan kepada kehilangan nyawa yang digambarkan sebagai "mengerikan" dan "tiada tandingan" dalam bencana-bencana yang pernah melanda navigasi Amerika. Untuk beberapa minggu kisah bencana SS Central America dan kisah-kisah penumpang yang berjaya diselamatkan telah disiarkan di akhbar-akhbar.


Laporan surat khabar Frank Leslie’s Illustrated Newspaper, 26 September 1857


Laporan surat khabar Harper's Weekly, 3 Oktober 1857


Laporan surat khabar Frank Leslie’s Illustrated Newspaper, 17 Oktober 1857


Laporan surat khabar The New York Times, 2 Disember 1857

Pencarian semula :
Pada masa ia tenggelam, SS Central America sedang membawa emas yang bernilai kira-kira US $2,000,000 (bersamaan dengan $50,792,857 hari ini). Kerugian yang besar ini menggoncang keyakinan orang ramai terhadap ekonomi yang lalu menjadi salah satu sebab yang menyumbang kepada kejadian Panic 1857 (panik kewangan di AS berikutan ekonomi antarabangsa yang merudum dan perluasan ekonomi yang melamapau secara domestik).


Peta perjalanan emas yang dibawa oleh SS Central America

Bangkai SS Central America telah dijumpai dengan menggunakan teori carian Bayesian dan kenderaan kawalan jauh (remotely operated vehicle, ROV) yang dikendalikan oleh Columbus-Amerika Discovery Group of Ohio, yang diturunkan pada 11 September 1988.

Tommy Thompson telah mengetuai kumpulan pencarian ini tetapi sekarang merengkok di dalam penjara akibat disaman oleh pelbagai pihak yang telah membiayai ekspedisi pencarian ini.


Ilustrasi kedudukan bangkai SS Central America


Penemuan emas yang dibawa oleh SS Central America


Tommy Thompson dengan kepingan emas yang dijumpainya

Sejumlah besar emas dan artifak telah ditemui dan dibawa ke permukaan dengan ROV lain yang dibina khusus untuk pencarian. Jumlah nilai emas yang dijumpai dianggarkan pada $100-150 juta. Sebuah jongkong emas dijumpai seberat 36 kg telah dijual dengan harga rekod $8 juta dan telah diiktiraf sebagai matawang yang paling berharga di dunia pada masa itu.


Syiling emas, jongkong emas Harris Marchand No. 6526 dan Kellog & Humbert No. 947 dari SS Central America


Jongkong-jongkong dan syiling-syiling emas dari SS Central America


Model kapal SS Central America

Sejarah ringkas mengenai SS Central America dan pencarian emasnya :


Pameran syiling dan jongkong emas SS Central America :


Tommy Thompson diburu polis berkenaan skandal ekspedisi SS Central America :

Sumber :


Reply

Use magic Report

Post time 12-9-2016 11:47 AM | Show all posts
Edited by luna.millieu at 12-9-2016 11:54 AM

12 September, 2011
September 11 Memorial dibuka kepada awam


10 tahun selepas kejadian serangan pengganas ke atas World Trade Center (WTC) di New York, National September 11 Memorial telah dibuka kepada orang awam pada 12 September 2011.



Memorial ini terletak di tapak WTC, dibekas lokasi Twin Towers yang telah musnah semasa serangan 11 September. Ia dikendalikan oleh sebuah syarikat non-profit yang misinya adalah untuk mengumpul dana bagi program, pemilikan dan pengendalian memorial dan muzium.

Misi Memorial ini adalah:
1. Untuk memngingati dan menghormati beribu-ribu lelaki, wanita, dan kanak-kanak tidak berdosa yang telah dibunuh oleh pengganas dalam serangan ngeri 26 Februari 1993 dan September 11, 2001.
2. Menghormati tempat ini yang telah disucikan melalui kehilangan tragis.
3. Mengiktiraf ketabahan mereka yang terselamat, keberanian mereka yang mempertaruhkan nyawa mereka untuk menyelamatkan orang lain, dan perikemanusiaan semua yang menyokong kami dalam masa kegelapan.
4. Semoga nyawa yang terkorban diingati, perlakuan-perlakuan baik diiktiraf, dan semangat yang bangun menjadi obor yang kekal, mengesahkan penghormatan kepada setiap nyawa, menguatkan tekad kami untuk memelihara kebebasan, dan memberi inspirasi menamatkan kebencian, kejahilan dan sikap tidak bertoleransi.


Lampu bangunan Empire State dinyalakan biru
sempena menghormati pembukaan memorial pada 12 September 2011

Perancangan :
Pembinaan sebuah memorial telah dirancang sejurus selepas serangan dan kemusnahan WTC untuk mangsa termasuk mereka yang terlibat dalam operasi menyelamat. Pada tahun 2003, Lower Manhattan Development Corporation melancarkan Pertandingan World Trade Center Site Memorial, satu pertandingan antarabangsa untuk merekabentuk sebuah memorial di tapak World Trade Center untuk memperingati mangsa yang terkorban pada 9/11.

Sebuah rekabentuk bertajuk 'Reflecting Absence' yang direka oleh Michael Arad dan Peter Walker, telah dipilih sebagai pemenang pada 6 Januari 2004. Rekabentuk ini menggambarkan sebuah kawasan dipenuhi pokok yang diganggu oleh 2 kolam besar yang merupakan tapak kaki Twin Towers. Taman Memorial ini akan berada sama aras dengan jalan, di atas muzium Memorial.


Peter Walker (kiri) dan Michael Arad (kanan)


Rekabentuk Reflecting Absence

Nama-nama mangsa serangan termasuk dari serangan ke atas Pentagon, American Airlines Flight 77, United Airlines Flight 93, dan pengeboman WTC pada 1993 akan ditulis pada dinding keliling air terjun kolam-kolam besar di kaki Twin Towers.

Pada 14 Januari 2004, rekabentuk akhir untuk tapak memorial WTC diumumkan pada sidang akhbar Dewan Persekutuan.

Pembinaan :
Pada 13 Mac 2006, pekerja-pekerja binaan tiba di lokasi WTC untuk memulakan kerja-kerja rekabentuk Reflecting Absence. Kerana muzium akan berada pada aras bawah tanah, kerja-kerja pembinaan muzium perlu dilakukan dahulu sebelum kerja-kerja pembinaan memorial boleh dimulakan. Pada 2 September 2008 tiang memorial yang pertama seberat 3,500kg telah didirikan di kawasan berhampiran tapak North Tower. Sebanyak 8,300 tan keluli telah digunakan dan dipasang di tapak pembinaan memorial.


Gambar satelit menunjukkan kawasan WTC pada 30 June 2001, 15 September 2001 dan 8 Jun 2002


Kawasan pembinaan pada 10 September 2007


Para pelawat memerhatikan kawasan pembinaan

Pada April 2010, rangka kolam-kolam selesai dipasang sepenuhnya dengan keluli dan 85% daripada konkrit telah selesai dicurah. Menjelang 22 April, pemasangan lapisan granit untuk kolam dimulakan. Menjelang Jun lapisan granit North Pool siap dan pekerja memulakan pemasangan granit di South Pool.

Pada bulan Julai, penghantaran tanah pertama tiba di tapak pembinaan, dan pada bulan Ogos pekerja mula menanam pokok-pokok di plaza memorial. Pokok-pokok oak putih yang ditanam boleh mencapai 60 hingga 80 kaki (18 hingga 24m) apabila matang, dan hidup selama 300-350 tahun. Pada musim luruh daun-daun mereka akan berwarna emas.


Pokok-pokok ditanam dikawasan taman


Pembinaan kolam, 27 Ogos 2010

The "Survivor Tree" sebatang pokok pear yang terselamat dari musnah pada 11 September telah disimpan untuk penanaman semula. Pada bulan September, 2 besi serampang yang diselamatkan dari Twin Towers telah dipasang.


Survivor Tree ditanam semula di taman memorial


Survivor Tree hidup subur

Pada bulan November 2010, pekerja mula menguji air terjun North Pool. Pembinaan berjalan dengan lancar hingga awal 2011. Mac 2011, pemasangan panel kaca pada bahagian hadapan bangunan muzium bermula, dan pada Mei pekerja mula menguji air terjun South Pool. 2 September 2011, 243 pokok telah ditanam di taman memorial ini.


Pembinaan pada Disember 2010


North Pool pada September 2011


Nama-nama mangsa tragedi pada dinding kolam South Pool

Pembinaan muzium dirancang bakal berakhir setahun kemudiannya, tetapi kebanyakan pembinaan memorial telah selesai tepat pada masanya sempena sambutan ulang tahun ke-10 serangan 11 September. Awal dari tarikh pembukaan yang dirancang, September 11 Museum telah dibuka pada 15 Mei 2011.

Pembukaan kepada orang awam :
Pada September 12 2011, sehari selepas ulang tahun ke-10 serangan 11 September, memorial ini telah dibuka kepada orang ramai. Buat kali pertama sejak serangan pengganas ke atas WTC, orang awam telah dibenarkan kembali ke kawasan ini. Keluarga mangsa telah dibenarkan melawat memorial sehari sebelumnya semasa upacara penghormatan nyawa-nyawa yang terkorban, pada 11 September 2011.


Hari peringatan tragedi pada 11 September 2011


Robert Peraza yang kehilangan anaknya Robert David Peraza dalam tragedi 11 September
di kolam North Pool pada ulang tahun ke-10 tragedi, 11 September 2011

Di hari perasmian memorial, Datuk Bandar New York Michael Bloomberg, ahli-ahli majlis perbandaran dan beberapa ahli keluarga mangsa 9/11 telah menyambut dan mengalu-alukan pengunjung pertama ke plaza memorial yang telah dibuka mengikut jadual.


Michael Bloomberg menyambut pengunjung pertama ke memorial


Bunga matahari dan bendera Amerika diletakkan pada nama-nama mangsa yang terkorban

Video laporan berita pembukaan September 11 Memorial :


Pembinaan September 11 Memorial Museum dalam bentuk timelapse (2004-2014) :


Video ringkas mengenai September 11 Memorial :


Sumber :


Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 13-9-2016 11:58 AM | Show all posts
Edited by luna.millieu at 13-9-2016 12:02 PM

13 September, 1850
Piz Bernina berjaya didaki buat kali pertama

Hari ini pada tahun 1850, Piz Bernina (4,048.6m), gunung tertinggi di Alps Timur yang juga merupakan titik tertinggi Banjaran Bernina dan puncak tertinggi dalam Rhaetian Alps, telah berjaya didaki oleh Johann Coaz yang dipandu oleh Jon dan Lorenz Raguth Tscharner. Coaz adalah orang yang menamakan Piz Bernina.


Piz Bernina dengan laluan Biancograt di sebelah kanan



Johann Coaz (31 Mei 1822 - 18 Ogos 1918)

Piz Bernina terletak di selatan Pontresina dan dekat dengan St.Moritz, tempat peranginan utama Alpine di lembah Engadin. Mana-mana gunung dengan nama 'Piz' bermaksud ia terletak di tenggara Switzerland.


Kedudukan Piz Bernina


Laluan ke Piz Bernina melalui Piz Bianco (Biancograt)

Pendakian Johann Coax :
Tidak lama selepas jam 06:00 pagi 13 September 1850, Johann Wilhelm Coaz, seorang ahli topografi yang berumur 28 tahun ketika itu dan para pembantunya, adik-beradik Jon dan Lorenz Ragut Tscharner telah meninggalkan Bernina Inn yang terletak pada ketinggian 2,050 meter. Mereka membawa bersama alat-alat pengukur mereka menuju ke rabung timur (east ridge).


Coaz dan para pembantunya

Mereka melalui kawasan yang dipanggil The Labyrinth (di Morteratsch Glacier) dan menuju ke Fuorcla Crast'Agüzza, sebuah lembah antara Crast' Agüzza dan Piz Bernina.


Morteratsch Glacier


Fuorcla Crast'Agüzza


Crast' Agüzza

Selepas lebih kurang 12 jam pendakian, mereka sampai ke puncak Piz Bernina pada kira-kira jam 18:00 petang hari itu.

Coaz menulis dalam diarinya:
"Pada 6:00 petang kami berdiri di atas puncak yang tinggi, di atas tanah yang tidak ada manusia pernah jejaki, pada titik tertinggi 4052 meter di atas paras laut. Kami terpukau dengan detik-detik buah fikiran yang serius.

Mata-mata yang tamak meninjau tanah sehingga horizon yang jauh, dan beribu-ribu dan beribu-ribu lagi puncak gunung mengelilingi kami, seolah-olah batu-batu yang timbul berdiri dari laut ais yang berkilauan.

Kagum dan terpesona kami merenung ke seluruh pemandangan gunung yang megah ini."


Coaz dan para pembantunya di puncak Piz Bernina, 13 September 1850

Sebuah patung Coaz diletakkan di luar rumah persinggahan Boval Hut di utara timur Piz Morteratsch pada tahun 1922 sempena ulang tahun ke-100 kelahirannya.


Boval Hut (Boval Hütte) berdekatan Piz Morteratsch

Sebuah lagi rumah persinggahan Coaz Hut (2610 m) di sebelah barat Piz Roseg di Banjaran Bernina dinamakan sempena nama Johann Coaz. Direka oleh Jakob Echenmoser, ia adalah sebuah bangunan yang menggantikan struktur yang lebih awal dan telah dibuka pada tahun 1964.


Coaz Hut (Coaz Hütte) di Banjaran Bernina

Mendaki Piz Bernina melalui Biancograt :


Keadaan salji dan angin semasa mendaki :



Sumber :




Reply

Use magic Report

Post time 13-9-2016 12:24 PM | Show all posts
13 September, 1916
Roald Dahl dilahirkan



Roald Dahl adalah seorang penulis novel dan cerpen, penyair, penulis skrip, dan juruterbang pejuang British. Dia paling dikenali sebagai penulis buku kanak-kanak dan buku-bukunya telah terjual sebanyak lebih 250 juta salinan di seluruh dunia. Dahl pernah dirujuk sebagai "salah seorang pencerita kisah kanak-kanak yang terbaik di abad ke-20". The Times, sebuah akhbar British telah meletakkan Dahl ditempat ke-16 dalam senarainya yang bertajuk "50 penulis terbaik British sejak 1945".


Roald Dahl (13 September 1916 - 23 November 1990)

Roald Dahl dilahirkan pada 13 September 1916, di Llandaff, South Wales. Ibu bapanya Harald Dahl dan Sofie Magdalene Dahl berdarah Norway. Bapa Dahl telah berhijrah ke UK dari Sarpsborg, Norway, dan mula menetap di Cardiff pada 1880an. Ibunya datang dan berkahwin dengan bapanya pada tahun 1911. Namanya pula diambil daripada nama seorang penjelajah kutub dari Norway bernama Roald Amundsen.


Dahl semasa berumur 8 bulan


Rumah keluarga Dahl di Llandaff

Semasa kanak-kanak dia banyak menghabiskan cuti sekolah musim panasnya melawat datuk dan neneknya di Oslo. Apabila Dahl berusia 4 tahun, bapanya meninggal dunia.


Roald dan ibunya Sofie

Kehidupan awal :
Dahl mendapat pendidikan awalnya di Llandaff Cathedral School. Apabila guru besar memukulnya dengan kuat kerana mengenakan orang, ibu Dahl memutuskan untuk mendaftarkan anaknya yang cepat marah dan nakal ke sekolah St. Peter, sebuah sekolah berasrama penuh British, sepertimana yang telah dihasratkan oleh mendiang suaminya.


Dahl semasa berumur 6 tahun

Dahl kemudian dipindahkan ke Repton, sebuah sekolah swasta yang mempunyai reputasi dalam kecemerlangan akademik. Dia bencikan peraturan di Repton. Semasa di sana, Dahl yang muda, ceria dan imaginatif menjadi resah dan sangat menginginkan pengembaraan.


Bersama adik-beradiknya : Asta, Else, Alfhid dan Roald

Walaupun Dahl tidak berjaya sebagai seorang pelajar, ibunya menawarkan untuk membayar tuisyen Dahl di Oxford atau Cambridge University apabila dia tamat pengajian. Dipetik dari autobiografinya, Dahl menjawab, "Terima kasih sajalah. Selepas persekolahan saya mahu terus pergi bekerja untuk sebuah syarikat yang akan menghantar saya ke tempat-tempat yang jauh dan indah seperti Afrika atau China."

Selepas zaman persekolahan :
Seperti yang dijanjikan kepada ibunya, selepas Dahl lulus dari Repton pada tahun 1932, dia menyertai sebuah ekspedisi ke Newfoundland. Selepas itu, dia diambil bekerja dengan Syarikat Minyak Shell di Tanzania, Afrika di mana dia menetap sehingga 1939.


Dahl semasa muda

Berkeinginan untuk mengembara lagi, pada tahun 1939, Dahl menyertai British Royal Air Force. Selepas latihan di Nairobi, Kenya, dia menjadi seorang juruterbang pejuang Perang Dunia II. Semasa berkhidmat di Mediterranean, Dahl terpaksa membuat pendaratan cemas di Alexandria, Mesir. Pesawatnya terhempas semasa pendaratan itu menyebabkan dia mengalami kecederaan serius pada tengkorak, tulang belakang dan pinggulnya.

Selepas menerima rawatan pemulihan yang termasuk penggantian pinggul dan dua pembedahan tulang belakang, Dahl telah dipindahkan ke Washington DC, di mana dia dilantik menjadi pembantu pegawai tentera udara untuk Kedutaan British di Washington.


Dahl sebagai tentera

Permulaan dalam bidang penulisan :
Semasa di Washington DC, Dahl bertemu dengan penulis C.S. Forrester yang menggalakkan Dahl untuk mula menulis. Menerima saranan itu Dahl menerbitkan cerita pendek pertamanya di Saturday Evening Post. Dia juga menulis cerita-cerita dan artikel untuk majalah lain, termasuk The New Yorker. Dahl menggambarkan kemasukannya ke dalam bidang penulisan sebagai "kebetulan semata-mata". Katanya, "Jika tidak diminta, saya tidak rasa saya akan berfikir untuk melakukannya."

Dahl menulis cerita pertama untuk kanak-kanak 'The Gremlins' pada tahun 1942 untuk Walt Disney. Tetapi cerita ini tidak berapa mendapat sambutan, jadi Dahl kembali untuk menulis cerita menakutkan dan misteri menjurus ke arah pembaca dewasa. Dia terus menulis dalam aliran ini sehingga ke tahun 1950an, menghasilkan koleksi cerita paling laris 'Someone Like You' pada tahun 1953, dan 'Kiss, Kiss' pada tahun 1959.


Someone Like You, 1953


Kiss, Kiss, 1959

Kehidupan peribadi :
Pada tahun 'Someone Like You' diterbitkan, Dahl berkahwin pelakon filem terkenal Patricia O’Neal. Perkahwinan bertahan selama tiga dekad dan mereka dikurniakan 5 orang anak. Salah seorang daripada mereka, Olivia Dahl, meninggal dunia pada tahun 1962.


Roald Dahl bersama Patricia O’Neal pada hari perkahwinan mereka, 1953

Setiap malam Dahl akan bercerita kepada anak-anaknya sebelum tidur. Rutin inilah yang menjadi ilham kepada kerjaya masa depannya sebagai seorang penulis buku kanak-kanak. Cerita-cerita yang menjadi asas kepada beberapa buku kanak-kanaknya yang paling popular adalah hasil daripada anak-anaknya menjadi 'test audience'.

"Kanak-kanak adalah... sangat kritikal. Dan mereka cepat sekali hilang minat," tegasnya dalam sebuah temubual New York Times. "Anda perlu menjaga irama penceritaan. Dan jika anda merasakan kanak-kanak mula bosan, anda perlu memikirkan sesuatu yang mengembalikan kembali keseronokan. Sesuatu yang menggelikan hati. Anda perlu tahu apa yang kanak-kanak suka."


Roald dan Patricia bersama 3 orang anak mereka

Selepas isterinya Neal mengalami beberapa pendarahan otak pada pertengahan 1960an, Dahl tetap disisi isterinya melalui pemulihan yang panjang itu. Pasangan itu akhirnya bercerai pada tahun 1983 kerana Dahl jatuh cinta dengan Felicity Ann Crosland. Tidak lama kemudian Dahl berkahwin Crosland. Perkahwinan mereka bertahan sehingga kematian Dahl pada tahun 1990.


Felicity Ann Crosland bersama Dahl

Buku kanak-kanak :
Dahl mula diiktiraf sebagai seorang penulis buku kanak-kanak pada tahun 1961, apabila dia menerbitkan buku 'James and the Giant Peach'. Buku ini menerima pujian dan kritikan komersil yang meluas. 3 tahun kemudian, Dahl menerbitkan sebuah lagi buku yang hebat, 'Charlie and the Chocolate Factory'. Kedua-dua buku akhirnya diadaptasikan menjadi filem-filem yang popular.


James and the Giant Peach,  1961


Charlie and the Chocolate Factory, 1964

Adaptasi filem Charlie and the Chocolate Factory telah diterbitkan sebagai Willy Wonka and the Chocolate Factory pada tahun 1971, dan filem yang dibuat semula dengan tajuk asal Charlie and the Chocolate Factory telah diterbitkan pada tahun 2005 dengan Johnny Depp sebagai bintang utama. Versi filem James and the Giant Peach telah dikeluarkan pada tahun 1996.


Poster filem Willy Wonka and the Chocolate Factory, 1971


Poster filem James and the Giant Peach, 1996


Poster filem Charlie and the Chocolate Factory, 2005

Selain James and the Giant Peach dan Charlie and the Chocolate Factory, buku kanak-kanak tulisan Dahl yang paling popular juga termasuk Fantastic Fox (1970), The Witches (1983) dan Matilda (1988).


Antara tajuk buku kanak-kanak yang lain hasil tulisan Roald Dahl


Filem The Witches (1990) yang diadaptasikan dari tulisan Roald Dahl


Filem Matilda (1996) yang diadaptasikan dari tulisan Roald Dahl


Filem Fantastic Mr Fox (2009) yang diadaptasikan dari tulisan Roald Dahl


Filem The BFG (2016) yang diadaptasikan dari tulisan Roald Dahl

Kematian:
Selepas mengalami jangkitan yang tidak dapat ditentukan puncanya, Roald Dahl telah dimasukkan ke Hospital John Radcliffe di Oxford, England pada 12 November 1990. Dia meninggal dunia di sana pada 23 November 1990, pada usia 74. Sepanjang kerjaya penulisannya yang berdekad panjang, Dahl telah menulis 19 buku kanak-kanak dan 9 koleksi cerita pendek. Dahl juga menulis beberapa skrip televisyen dan filem.


Kubur Roald Dahl di St Peter and St Paul's Church, Great Missenden, Buckinghamshire

Legasi :
Roald Dahl Museum and Story Centre telah dibuka kepada orang awam pada 11 Jun 2005. Ianya terletak di perkampungan Great Missenden di Buckinghamshire, England dimana Dahl menetap selama 36 tahun sehingga tahun kematiannya pada 1990. Dahl seterusnya dikebumikan di situ.


Roald Dahl Museum and Story Centre

Muzium ini menamakan 13 September setiap tahun sebagai "Roald Dahl's Day".
Tahun ini (2016) merupakan tahun ke-100 sejak Roald Dahl dilahirkan.



Biografi ringkas dan temubual bersama Roald Dahl :


Roald Dahl menceritakan penglibatannya dalam bidang penulisan :


Senarai filem-filem adaptasi buku-buku Roald Dahl :


The BFG official trailer #1, filem terbaru berdasarkan buku tulisan Roald Dahl :

Sumber :


Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 13-9-2016 12:24 PM | Show all posts
Edited by luna.millieu at 13-9-2016 12:30 PM

tripple posting, sorry
Reply

Use magic Report

Post time 13-9-2016 12:24 PM | Show all posts
Edited by luna.millieu at 13-9-2016 12:37 PM

tripple posting, ampunkanlahhhh...
Reply

Use magic Report

Post time 13-9-2016 12:48 PM | Show all posts
Edited by luna.millieu at 26-9-2016 02:34 AM

13 September, 1940
Buckingham Palace dibom semasa King George VI dan Ratu Elizabeth berada di istana


Muka depan akhbar Daily Mirror, 14 September 1940

Semasa serangan udara Blitz ke atas kota London oleh pihak Jerman, King George VI dan Ratu Elizabeth (Queen Mother) hampir-hampir terkorban apabila Buckingham Palace telah dibom pada pagi 13 September 1940, dalam satu serbuan udara yang mengorbankan salah seorang kakitangan istana.

Sebelum pengeboman ini, Buckingham Palace telah pun menerima beberapa serangan bom. Yang pertama ialah pada 8 September 1940 apabila sebuah bom berkuasa tinggi seberat 50kg jatuh di kawasan keliling istana tanpa menyebabkan apa-apa kerosakan. Pada 9 September 1940, bom kedua jatuh berhampiran dengan kolam renang di bahagian barat utara istana, tetapi bom itu ialah jenis ledakan bertangguh yang tidak meledak serta merta. Bom itu dipancing keluar dan meletup kemudiannya, meninggalkan kawah yang besar dan memusnahkan sebahagian kolam renang tersebut. North Wing istana telah rosak dan banyak tingkapnya pecah.



King George VI dan Ratu Elizabeth di Buckingham Palace yang rosak pada 10 September 1940


King George VI dan Ratu Elizabeth memeriksa kerosakan Buckingham Palace pada 10 September 1940


King George VI dan Ratu Elizabeth bersama para pekerja di Buckingham Palace pada 10 September 1940

Tetapi pada pagi 13 September 1940, kira-kira jam 11:00 pagi, sebuah pesawat Jerman telah sengaja menjadikan Buckingham Palace sebagai sasarannya. 5 bom letupan berkuasa tinggi digugurkan ke atas istana. 2 daripadanya mengenai bukaan empat segi di sebelah dalam istana, bom yang ketiga mengenai Royal Chapel di South Wing dan baki dua bom (salah satunya bom ledakan bertangguh) telah jatuh di perkarangan dan di jalan antara pagar Buckingham Palace dan Memorial Victoria.

Letupan bukaan empat segi di sebelah dalam istana telah memecahkan paip air utama dan memusnahkan kebanyakan tingkap di sisi selatan dan barat. Bahagian dalam Royal Chapel musnah. 4 pekerja tercedera dan salah seorang meninggal dunia kemudiannya. Beberapa potret di koridor istana rosak dan permaidani merah istana diselaputi debu.


Muka depan akhbar The New York Times, 14 September 1940


Muka depan akhbar Daily Express, 14 September 1940


Muka depan akhbar The Sun, 14 September 1940

Semasa pengeboman itu King George VI dan Ratu Elizabeth sedang menikmati teh di kediaman mereka. Mereka berjaya menyelamatkan diri tanpa kecederaan. Ucapan tahniah dan syukur di atas keselamatan mereka datang mencurah-curah dari luar negara dan seluruh Empayar British.

Kejadian itu tidak berakhir sehingga jam 8:40 pagi berikutnya, apabila bom ledakan bertangguh dari hari sebelumnya yang terbaring di antara pintu-pintu pagar perkarangan istana dan Memorial Victoria akhirnya meletup. Walaupun skuad penyelamat telah diberikan masa cukup untuk membina dinding guni pasir setinggi 6 kaki (1.8m) di keliling bom, letupan itu memusnahkan sebahagian besar pagar perkarangan sekitar pintu gerbang selatan dan meninggalkan kawah sebesar 30inci x 20inci (76cm x 51cm) sedalam 10inci (25cm).


Kerosakan di pintu pagar istana


Kawah besar di pintu istana akibat ledakan bom

Dalam suratnya kepada ibu mertuanya Queen Mary, Ratu Elizabeth menulis :
"Kami mendengar dengan terang bunyi berdesing-desing pesawat Jerman. Kami berkata: 'ah, seorang Jerman' dan sebelum kami sempat berkata apa-apa lagi, kedengaran bunyi pesawat yang menjunam pada kelajuan tinggi, dan kemudian ledakan bom. Semuanya berlaku dengan pantas, kami hanya mampu untuk melihat satu sama lain seperti orang bodoh semasa bunyi menjerit melepasi kami dan meletup dengan bunyi pelanggaran besar dalam bukaan segi empat itu."

Beberapa jam selepas mengalami kejadian itu, selepas makan tengahari di tempat perlindungan serangan udara, King George VI dan Ratu Elizabeth sudah pun berada di West Ham di East End London untuk melawat mangsa-mangsa Blitz.


King George VI dan Ratu Elizabeth melawat mangsa-mangsa pengeboman di East End London

Buckingham Palace masih lagi menerima serangan bom selepas kejadian ini, tetapi pengeboman pada 13 September ini adalah yang paling teruk dan merbahaya kerana mengancam nyawa kedua kerabat British tersebut.


Peta kawasan Buckingham Palace yang dibom

Video berita menunjukkan kerosakan selepas Buckhingham Palace dibom :


Video berita pengeboman Buckhingham Palace :


Sumber :


Reply

Use magic Report

Post time 14-9-2016 08:25 PM | Show all posts
Edited by luna.millieu at 26-9-2016 02:40 AM

14 September, 1959
Luna 2 menjadi yang pertama tiba di bulan

Pada 14 September 1959, pesawat siasatan angkasa lepas Soviet bernama Lunik II atau Luna 2 seberat 390kg telah sengaja menghempaskan dirinya ke permukaan bulan, menjadikan ia objek buatan manusia yang pertama mencecah bulan. Luna 2 merupakan cubaan kedua daripada program angkasa lepas Luna oleh Soviet Union yang dilancarkan ke bulan.


Pesawat siasatan angkasa lepas Lunik II atau Luna 2

Program angkasa lepas Luna oleh Soviet Union telah melancarkan kapal angkasa Luna 1 ke arah bulan pada 2 Januari 1959, dengan hasrat untuk mencecah permukaan bulan. Ia mendekati sehingga jarak 5,995 kilometer dari bulan sebelum memasuki orbit matahari. Terlepas sasarannya, jurutera Soviet membina Luna 2 yang juga mempunyai rekabentuk sfera seperti Luna 1 dan turut mempunyai banyak instrumen yang sama seperti Luna 1.


Luna 1, replika muzium

Luna 2 telah dilancarkan ke angkasa lepas pada 12 September, 1959. Selepas kira-kira 36 jam perjalanan ia menghempaskan dirinya ke permukaan bulan pada 1959 September 14 pada jam 21:02:24. "Kapal angkasa itu sendiri telah hancur," kata NASA, "tetapi misinya adalah satu kejayaan. Luna 2 dari Soviet Union telah menjadi objek buatan manusia yang pertama mencecah bulan."


Lokasi ‘pendaratan’ Luna 2 (atas kanan)


Akhbar The New York Times, 14 September 1959


Akhbar Los Angeles Times, 14 September 1959

Luna 2 telah membawa 5 instrumen yang berbeza untuk menjalankan pelbagai ujian eksperimen semasa ia sedang dalam perjalanan ke bulan. Antara penemuan saintifik yang didapati dari ekspedisi Luna 2 ini adalah bahawa bulan tidak mempunyai medan magnet (ataupun jika ada, ianya amat lemah) dan kewujudan aliran plasma yang datang dari matahari; apa yang kita kenali hari ini sebagai angin solar. Luna 2  telah menunjukkan kewujudan variasi masa dalam fluks elektron, dan kewujudan spektrum tenaga dalam tali pinggang radiasi Van Allen (Van Allen radiation belt).


Van Allen radiation belt

Seperti Luna 1, Luna 2 juga membawa bola-bola panji kecil Soviet, 2 daripadanya diletakkan di dalam kapal angkasa dan berbentuk sfera, permukaannya yang diliputi oleh kepingan-kepingan logam berbentuk pentagon dengan elemen-elemen Soviet.


Bola panji kecil Soviet Union yang dibawa oleh Luna 2

Di tengah-tengah sfera ini ada bahan letupan yang bakal memperlahankan halaju impak ketika ia menghempaskan diri di bulan. Setiap kepingan keluli tahan karat berbentuk pentagon mempunyai Jata Persenjataan USSR dan tarikh "1959 September" tertulis pada mereka. Hasil dari letupan di tengah-tengah sfera itu, kepingan-kepingan pentagon tersebut akan bertaburan di permukaan bulan di kawasan ia terhempas. Walau bagaimanapun, kemungkinan besar kepingan-kepingan ini telah cair dan menjadi wap semasa letupan itu.

Sangat berbangga dengan pencapaian ini, pada 15 September 1959, Perdana Menteri Soviet Union, Nikita Khrushchev, telah menghadiahkan salinan sfera tersebut kepada Presiden Amerika Dwight D. Eisenhower. Sfera itu kini disimpan di  Eisenhower Presidential Library and Museum di Abilene, Kansas.


Salinan sfera panji Soviet Union dihadiahkan kepada Eisenhower


Sebuah lagi sfera panji Soviet Union yang disimpan di Kansas Cosmosphere di Hutchinson, Kansas

Kejayaan Luna 2 juga mempengaruhi cara NASA mereka kapal angkasa mereka. "Walaupun sukar untuk dipercayai," kata NASA, "tetapi Luna 2 telah memulakan satu trend di dalam bidang angkawasan: pendaratan di bulan dengan menghempaskan pesawat secara sengaja. Berpuluh-puluh kapal angkasa telah melakukannya". Ternyata, NASA kemudiannya telah menghantar 5 kapal angkasa Rangers ke bulan pada tahun 1960, setiap satu telah mendarat di bulan dengan cara menghempaskan pesawat (crash landing).


Replika Luna 2 di sebuah muzium di Moscow

Video berita tentang 'pendaratan' Luna 2 :


Video simulasi penerbangan Luna 2 ke bulan :


Sumber :


Reply

Use magic Report

Post time 14-9-2016 08:43 PM | Show all posts
Edited by luna.millieu at 14-9-2016 09:02 PM

14 September 1985
Jambatan Pulau Pinang dibuka kepada kenderaan awam

Jambatan Pulau Pinang yang merupakan jambatan pertama dan  terpanjang di Malaysia semasa ianya dibuka, adalah jambatan sepanjang 13.5  kilometer yang menghubungkan Pulau Pinang di Lebuhraya Jelutong, Bayan Lepas  dengan tanah besar semenanjung di Seberang Perai.


Jambatan Pulau Pinang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri  Malaysia waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohammad pada 3 Ogos 1985 dan dibuka kepada  kenderaan awam pada 14 September 1985.

Setelah pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah  iaitu Jambatan Pulau Pinang kedua, Jambatan Pulau Pinang merupakan jambatan  kedua terpanjang di Malaysia.

Peta pengangkutan ke Pulau Pinang hari ini

Perbandingan antara Jambatan Pulau Pinang pertama dan kedua

Usaha awal pembinaan :
Sebelum pembukaannya pada tahun 1985, pengangkutan antara  pulau dan tanah besar adalah semata-mata bergantung kepada Perkhidmatan Feri  Pulau Pinang milik kerajaan yang beroperasi antara Butterworth dan George Town.

Feri Pulau Pinang

Menaiki feri Pulau Pinang, 1960

Pada tahun 1950an Ketua Menteri Pulau Pinang kedua, Tun Dr.Lim Chong Eu telah berpendapat sebuah jambatan perlu didirikan bagi  menghubungkan Pulau Pinang dan Butterworth di semenanjung. Tiada tindakan susulan berikutan cadangannya sehinggalah  pada awal 1970an Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ketika itu,  bersama-sama Tun Dr. Lim Chong Eu sekali lagi mencadangkan pembinaan jambatan,  kali ini menghubungkan Seberang Perai dgn Pulau Pinang.

Tun Dr. Lim Chong  Eu (28 Mei 1919 - 24 November 2010)

Tun Abdul Razak  (11 Mac 1922 - 14 Januari 1976)

Pada akhir 1971,kerajaan Malaysia telah melantik Christiani Nielsen A/S dari Denmark untuk melakukan kajian kemungkinan  jambatan sedemikian dibina.

Pada tahun 1976,rancangan pembinaan jambatan ini mengambil tempat semasa penggal ketiga  pemerintahan Perdana Menteri Tun Hussein Onn. Kemudian pada bulan November  tahun yang sama, Howard Needles Tammen & Bergendorf dari Amerika Syarikat  dengan kerjasama Jurutera Konsultant (SEA) Sdn. Bhd. Malaysia telah dilantik  untuk merekabentuk dan menyelia pembinaan jambatan.

Jambatan ini  direka oleh anak jati Pulau Pinang sendiri iaitu Tan Sri Prof Chin  Fung Kee, seorang jurutera geoteknik yang mahsyur, yang juga pernah memangku  jawatan Timbalan Canselor di Universiti Malaya. Beliau berasal dari NibongTebal. Rekaannya menggunakan rekaan seismik bagi menghalang binaan jambatan  daripada runtuh apabila berlaku gempa bumi sekuat 7.5 skala Richter.

Tun Hussein Onn (12  Februari 1922 - 29 Mei 1990)

Pada 23 Julai1981, Menteri Kerja Raya semasa itu, Datuk S Samy Vellu telah membuat pengumuman  bahawa jambatan Pulau Pinang akan dibina menggunakan kaedah pembinaan kabel  penahan galang konkrit (cable-stayed concrete girder) seperti Jambatan San  Fransisco Golden Gate, dan bukan gerbang tambatan keluli (steel-tied arch)  seperti Jambatan Sydney Harbour.

Dato S Samy Vellu

Jambatan San Fransisco Golden Gate

Jambatan Sydney Harbour

Pembinaan :
Kerja pembinaan bermula pada tahun 1982 dan siap pada  tahun 1985 dengan belanja sebanyak RM 850 juta. Jambatan ini  merupakan kebanggaan rakyat Malaysia kerana struktur tengahnya merupakan antara  jambatan kabel-penahan yang terawal di dunia. Jambatan Pulau Pinang telah  dibina oleh Hyundai Engineering and Construction Company (Korea) Ltd dari Korea  Selatan dan United Engineers Malaysia Berhad.

Pada April 1982, Perdana Menteri ke-4 Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah menanam cerucuk pertama jambatan sebagai merasmikan pembinaan jambatan tersebut. Jumlah panjang cerucuk yang telah digunakan bagi pembinaan jambatan ini adalah sepanjang 648 km yang bersamaan jarak dari Butterworth ke Johor Bahru. Untuk memasakkan kaki-kaki Jambatan Pulau Pinang, pulau buatan manusia telah dibina. Pantai Gelugor pula telah ditambak bagi pembinaan simpang Gelugor.
Pembinaan tamat pada bulan Ogos 1985.

Struktur tengah Jambatan Pulau Pinang dalam pembinaan

Jambatan Pulau Pinang sedang dibina

Pembinaan Jambatan Pulau Pinang

Pembinaan Jambatan Pulau Pinang

Perasmian dan pembukaan jambatan :
Pada 3 Ogos 1985, Jambatan Pulau Pinang telah dibuka secara  rasmi oleh Tun Dr. Mahathir. Beliau  telah merentasi Jambatan Pulau Pinang dengan kereta nasional ProtonSaga merah.



Proton Saga merah yang dinaiki Tun Dr. Mahathir semasa perasmian  Jambatan Pulau Pinang

Tun Dr. Mahathir dan  Tun Dr. Siti Hasmah semasa perasmian Jambatan Pulau Pinang

Sebelum jambatan  dibuka kepada kenderaan awam, sebuah majlis makan malam telah diadakan diatas  Jambatan Pulau Pinang. Orang ramai juga telah diberi peluang untuk berjalan  kaki diatas jambatan tersebut beberapa hari sebelum ianya dibuka kepada  kenderaan awam. Beribu-ribu orang telah mengambil peluang tersebut.

Majlis makan  malam diatas Jambatan Pulau Pinang

Orang ramai  berjalan kaki di atas Jambatan Pulau Pinang

Berjalan kaki dan berbasikal di  atas  Jambatan Pulau Pinang, 1985

Sempena pembukaan  Jambatan Pulau Pinang, Pos Malaysia telah mengeluarkan sampul surat dan setem  hari pertama bernilai 20 sen, 40 sen dan RM1 pada 15 September 1985.

Sampul surat hari pertama sempena pembukaan Jambatan Pulau  Pinang

Setem hari pertama sempena pembukaan Jambatan Pulau Pinang

Ciri-ciri Jambatan Pulau Pinang :
Panjang  keseluruhan: 13.5 km
Panjang melintasi  air: 8.4 km
Laluan ke  jambatan dari Pulau Pinang: 1.5 km
Laluan ke  jambatan dari Seberang Prai: 3.6 km
Laluan jalan  kenderaan: 3 laluan setiap arah
Tinggi menara  dari aras air: 101.5 Meter
Tinggi jambatan  dari aras air: 33 Meter
Gantungan utama:225 Meter
Gantungan hujung:107.5 Meter
Had laju: 80 km/j
Kecerunan maksimum : 3%

Kerja-kerja melebarkan jambatan telah diantara Januari 2008  hingga hujung tahun 2009. Kini Jambatan Pulau Pinang dapat menampung kapasiti kenderaan  sebanyak 155,000 sehari berbanding 120,000 sebelum ini.



Video pelebaran jalan Jambatan Pulau Pinang (kurang jelas) :


Video Jambatan Pulau Pinang dari udara :


Sumber :



Reply

Use magic Report

Post time 15-9-2016 02:53 PM | Show all posts
Edited by luna.millieu at 15-9-2016 02:57 PM

15 September, 1830
William Huskisson menjadi mangsa pertama nahas keretapi

William Huskisson, seorang ahli politik, pembiaya, dan Ahli Parlimen British telah terkorban hari ini pada tahun 1830 apabila dilanggar keretapi semasa menghadiri majlis pembukaan laluan Keretapi Liverpool dan Manchester (Liverpool and Manchester Railway, L&MR).


William Huskisson (11 March 1770 - 15 September 1830)

Kronologi kejadian :
Semasa menghadiri majlis pembukaan L&MR, Huskisson telah menaiki keretapi berenjin Northumbrian yang sama dengan Duke of Wellington (setaraf dengan Perdana Menteri pada masa sekarang) yang duduk di gerabak pertama. Di stesen keretapi Parkside, hampir tengah-tengah perjalanan dari Liverpool ke Manchester, seperti yang dijadualkan, lokomotif tersebut singgah untuk mengambil air.


Pembukaan laluan Liverpool & Machester Railway, 15 September 1830


Duke of Wellington, Arthur Wellesley (1 Mei 1769 – 14 September 1852)


Peta laluan L&MR, 1830


Enjin lokomotif Northumbrian


Replika gerabak kelas pertama

Walaupun kakitangan keretapi telah menasihatkan penumpang untuk jangan meninggalkan gerabak sementara lokomotif mengambil air, kira-kira lima puluh orang kenamaan telah turun apabila gerabak khas yang dinaiki Wellington berhenti. Salah seorang darinya ialah William Huskisson, bekas menteri Kabinet dan Ahli Parlimen Liverpool ketika itu.


Lokomotif mengambil air di stesen keretapi Parkside (Henry Pyall, 1831)

Huskisson adalah seorang tokoh yang sangat berpengaruh dalam pembentukan Empayar British dan salah seorang pembentuk doktrin perdagangan bebas, tetapi reputasinya dengan Wellington terjejas pada tahun 1828 disebabkan isu reformasi parlimen. Semasa isu itu Wellington tidak memihak kepada pembaharuan, maka Huskisson meletak jawatan dari kabinet. Berikutan isu itu para penyokong Huskisson berharap dia dapat berdamai dengan Wellington.

Atas jemputan Wellington, Huskisson telah turun dari gerabaknya dan mendekati gerabak keretapi Wellington. Semasa berjabat tangan Huskisson memberi sepenuh perhatian kepada Wellington, sehingga tidak perasan akan lokomotif jenis Rocket sedang datang dengan laju di landasan bersebelahan.


Lukisan kontemporari lokomotif Rocket


Replika lokomotif Rocket

Sebaik sahaja menyedari yang dia dalam bahaya, Huskisson panik dan cuba untuk memanjat ke dalam gerabak Wellington, tetapi pintu gerabak terhayun keluar meninggalkan dia tergantung betul-betul di atas laluan Rocket yang sedang datang. Orang-orang dari dalam gerabak cuba menariknya ke dalam tetapi tidak berjaya. Dia kemudian jatuh ke atas trek di hadapan keretapi.

Dari surat yang ditulis oleh seorang saksi kejadian, Thomas Creevey, dia menyatakan,
"Kaki Huskisson lemah, dan nampak seperti hilang akal, seperti mana nyawanya. Calcraft memberitahu saya bahawa Huskisson duduk lama di dalam Chapel St George semasa pengebumian raja dan membuat sebuah pengaduan yang amat Taylor takutkan, dan aduan itu membuat beberapa pembedahan serius menjadi perlu, yang kesannya adalah, mengikut apa yang Taylor beritahu Calcraft, kelumpuhan, kerana ia melibat sebelah kaki dan pahanya. Ini tidak syak lagi telah menjadi semakin teruk, kalaupun ia tidak menjadi sebab, bahaya yang Huskisson hadapi dan [menyebabkan Huskisson] kehilangan nyawanya."

"Huskisson was feeble in his legs, and appears to have lost his head, as he did his life. Calcraft tells me that Huskisson's long confinement in St George's Chapel at the king's funeral brought on a complaint that Taylor is so afraid of, and that made some severe surgical operation necessary, the effect of which had been, according to what he told Calcraft, to paralyse, as it were one leg and thigh. This, no doubt, must have increased, if it did not create, his danger and [caused him to] lose his life."


Kaki Huskisson remuk dengan kecederaan yang mengerikan akibat digilas Rocket.


Gambaran kemalangan yang meragut nyawa Huskisson

Kematian Huskisson :
Huskisson yang cedera telah dibawa ke Eccles dengan kereta api yang dipandu oleh George Stephenson, jurutera lokomotif yang membina L&MR. Apabila sampai di hospital Huskisson diberikan ubat tahan sakit laudanum dalam dos yang besar. Selepas diberitahu kematiannya tidak dapat dielakkan Huskisson menulis wasiatnya, dan meninggal dunia beberapa jam kemudian.


George Stephenson yang juga dikenali sebagai "Father of Railways"
(9 Jun 1781 - 12 Ogos 1848)


Mukasurat pertama wasiat Huskisson

Cherles Greville seorang penulis diari politik menulis,
"Wilton menyelamatkan nyawanya (Huskisson) selama beberapa jam dengan pengetahuan tentang bagaimana untuk mengikat arteri; pemotongan kaki tidak dapat dilakukan, dan dia meninggal dunia pada jam 10:00 malam itu. Wilton, Lord Granville, dan Littleton ada bersama dengannya sehingga nafas yang terakhir. Puan Huskisson berkelakuan dengan penuh keberanian."

"Wilton saved his life for a few hours by knowing how to tie up the artery; amputation was not possible, and he expired at ten o'clock that night. Wilton, Lord Granville, and Littleton were with him to the last. Mrs. Huskisson behaved with great courage."


Selepas kejadian :
Duke of Wellington berasa sangat terkesan dengan kejadian ini dan merasakan bahawa baki jadual hari itu patut dibatalkan. Dia mencadangkan untuk kembali ke Liverpool. Walau bagaimanapun, orang ramai telah berkumpul di Manchester untuk melihat keretapi tiba dan mula menjadi sukar dikawal. Wellington dipujuk untuk meneruskan perjalanan ke Manchester. Semasa tiba di pinggir Manchester orang ramai sudah pun menjadi ganas dan melimpah ke atas trek keretapi.

Kerana pihak berkuasa tempatan gagal untuk mengosongkan trek, keretapi yang dinaiki oleh Wellington terpaksa meneruskan perjalanan ke arah kumpulan orang ramai yang memenuhi trek itu dengan kelajuan rendah. Keretapi tersebut menggunakan momentumnya sendiri untuk menolak orang keluar dari trek.

Akhirnya mereka tiba di stesen keretapi Liverpool Road di Manchester. Ketibaan mereka telah dinantikan oleh kumpulan orang ramai yang ganas, melambai sepanduk dan bendera terhadap Wellington. Mereka juga melontar sayur-sayuran kearahnya. Wellington enggan untuk turun kereta api dan mengarahkan kereta api kembali ke Liverpool.

Kematian dan pengebumian William Huskisson mendapat liputan yang meluas menyebabkan pembukaan L&MR turut dilaporkan secara meluas. Berikutan laporan ini orang ramai di seluruh dunia menyedari buat kali pertama bahawa pengangkutan jarak jauh yang murah dan pantas kini telah menjadi kenyataan.

Laluan asal L&MR masih lagi beroperasi hari ini sebagai laluan kedua di antara Liverpool dan Manchester.


Laporan akhbar The Spectator, 18 September 1830


Laporan akhbar The Guardian, 18 September 1830


Laporan akhbar Liverpool Courier, 22 September 1830

Balunya Emily Huskisson kekal janda sehingga kematiannya pada April 1856.
Mereka tidak mempunyai anak.

Sebuah memorial untuk memperingati Huskisson telah dibina pada tahun 1931 di tempat dia dilanggar berdekatan dengan bekas tapak stesen keretapi Parkside.


Pembukaan memorial Huskisson, 1931


Tablet yang diletakkan di memorial Huskisson


Memorial Huskisson hari ini

Video ringkas mengenai William Huskisson :


Video tentang hari Huskisson dilanggar keretapi :


Sumber :




Reply

Use magic Report

Post time 15-9-2016 03:20 PM | Show all posts
Edited by luna.millieu at 15-9-2016 03:45 PM

15 September, 1935
Bendera Jerman ditukar kepada bendera Nazi


Bendera swastika Jerman,
digunakan sebagai bendera kebangsaan Jerman 1935-1945

Di perhimpunan tahunan Nuremberg Rally of the Nazi Party (NSDAP) yang diadakan pada 15 September 1935, Undang-undang Bendera Reich (Reich Flag Law, Reichsflaggengesetz) telah diumumkan. Dengan rasminya bendera berswastika yang selama ini digunakan bersama bendera hitam-putih-merah Jerman menjadi satu-satunya bendera kebangsaan yang diterima. Bendera hitam-putih-merah Jerman tidak diterima lagi sebagai bendera kebangsaan.


Bendera lama hitam-putih-merah yang diperkenalkan semula sebagai bendera kebangsaan Jerman (1933-35).
Ia digunakan bersama-sama bendera swastika sehingga dimansuhkan penggunaannya pada 15 September 1935.



Perhimpunan tahunan Nuremberg Rally


Bendera-bendera Nazi berkibar di perhimpunan tahunan Nuremberg Rally


Hitler berucap di Nuremberg Rally


Panji-panji Nazi di perhimpunan tahunan Nuremberg Rally

Bendera Jerman sebelum pentadbiran kerajaan Nazi :
Semasa Jerman berada dibawah pentadbiran Weimar Republic sepanjang tahun 1918 ke tahun 1933, bendera Jerman hitam-merah-emas telah digunakan sebagai bendera kebangsaan sebagaimana tertulis di dalam Perlembagaan Weimar (Weimar Constitution) 1919. Sebagai bendera awam, bendera hitam-putih-merah dikekalkan, dengan syarat bendera kecil hitam-merah-emas yang baru kelihatan di sudut kiri atas.


Bendera kebangsaan Jerman semasa ditadbir oleh Weimar Republic (1919–33)

Bendera ini tidak mendapat sambutan yang baik oleh kebanyakan orang Jerman. Mereka melihat bendera baru ini sebagai simbol penghinaan berikutan kekalahan Jerman dalam Perang Dunia Pertama. Dalam institusi Pertahanan Jerman, Reichswehr (Reich Defence), bendera lama hitam-putih-merah masih lagi digunakan secara meluas.


Bendera Pertahanan Jerman (1919-1935)

Ramai dari pihak konservatif mahukan warna lama hitam-putih-merah dikembalikan, manakala monarkis dan orang-orang sayap kanan jauh lebih vokal dengan bantahan mereka, memanggil bendera baru dengan berbagai-bagai nama yang menghina bendera itu. Sebagai tolak ansur, bendera hitam-putih-merah lama telah diperkenalkan pada tahun 1922 untuk mewakili misi diplomatik Jerman di luar negara.


Poster dari pihak monarkis dan nasionalis (DNVP) menuntut bendera lama dikembalikan, 1932

Sehingga hari ini di Jerman, organisasi-organisasi dan  parti-parti monarkis dan nasionalis bersayap kanan cenderung menggunakan warna hitam-putih-merah yang merupakan lambang kekuatan Imperial Jerman suatu masa dahulu. Sebaliknya sejak tahun 1924 hingga hari ini, bendera hitam-merah-emas menjadi simbol demokrasi Jerman dan simbol penentangan terhadap politik ekstrim (political extremism).
Republic Weimar akhirnya jatuh dengan kebangkitan parti Nazi pada tahun 1933.


Demo kumpulan nasionalis Jerman, PEGIDA menggunakan warna-warna Imperial hitam-putih-merah pada simbol dan sepanduknya

Bendera Jerman semasa kerajaan Nazi mula mentadbir :
Selepas Parti Nazi merampas kuasa pada 30 Januari 1933, bendera hitam-merah-emas dengan pantasnya dimansuhkan; keputusan pada 12 Mac tahun yang sama menguatkuasakan undang-undang 2 bendera kebangsaan : bendera imperial hitam-putih-merah yang diperkenalkan semula digunakan bersama bendera Parti Nazi.


Bendera Parti Nazi



Bendera kebangsaan Jerman (1933-35), digunakan bersama-sama bendera swastika sehingga 15 September 1935

Pengumuman pada 15 September 1935 :
Setahun selepas kematian Presiden Reich, Paul von Hindenburg dan kenaikan Hitler ke jawatan Führer (Ketua, Leader), undang-undang 2 bendera telah dimansuhkan dengan penggunaan eksklusif bendera Nazi sebagai bendera kebangsaan Jerman.

Kemungkinan salah satu sebab penukaran ini ialah 'Insiden Bremen' (Bremen Incident) yang berlaku pada 26 Julai 1935, di mana sekumpulan penunjuk perasaan di bandar New York telah menaiki SS Bremen (sebuah kapal laut binaan Jerman) dan mengoyakkan bendera Parti Nazi dari tiang bendera dan mencampakkannya ke dalam Sungai Hudson. Apabila duta Jerman membantah, pegawai AS menjawab bahawa yang dirosakkan bukannya bendera kebangsaan Jerman tetapi hanya sebuah simbol parti politik.


Laporan akhbar Herald Journal 4 Ogos 1935


SS Bremen pada Julai 1929

Semasa mengumumkan bendera Nazi sebagai bendera kebangsaan Jerman di perhimpunan Nuremberg Rally, Hermann Göring, orang kedua berkuasa selepas Hitler menyatakan bahawa walaupun bendera hitam-putih-merah lama masih dimuliakan, ia adalah simbol zaman yang sudah berlalu dan di bawah ancaman penggunaan oleh orang-orang 'reaksioner' yang suka menimbulkan kekacauan.


Hitler dan Hermann Göring

Bendera Nazi telah diterima pakai oleh Amerika dan telah digunakan sebagai bendera negara Jerman pada Temasya Sukan Olimpik 1936 yang diadakan di Berlin.


Surat berkenaan penerimaan AS terhadap bendera baru Jerman pada tahun 1935


Bendera Nazi di Olimpik 1936

Sejarah rekabentuk bendera Nazi :
Rekabentuk bendera Nazi telah diperkenalkan oleh Hitler sebagai bendera parti pada pertengahan 1920; sebuah bendera dengan latar belakang merah, cakera putih dan swastika hitam di tengah-tengah.

Dalam bukunya Mein Kampf, Hitler menjelaskan proses bagaimana rekabentuk bendera Nazi telah dicipta. Ia perlu menggunakan warna yang sama seperti Imperial Jerman. Hitler berpendapat warna-warna itu adalah "warna-warna yang dihormati, ekspresi penghormatan kami kepada masa lalu yang gilang-gemilang yang pernah membawa begitu banyak penghormatan kepada negara Jerman." Keperluan yang paling penting bagi bendera parti ialah "bendera baru ini... perlu terbukti berkesan sebagai poster yang besar" kerana "dalam beratus-ratus dan beribu-ribu bendera, lambang yang benar-benar menarik berkemungkinan menjadi sebab pertama minat boleh bangkit tentang sesuatu gerakan."


Kulit buku edisi pertama Mein Kampf


Muka surat pembukaan buku Mein Kampf

Propaganda Nazi menjelaskan perlambangan makna dalam benderanya : warna merah mewakilkan sosial, putih melambangkan pemikiran negara bagi parti itu, dan swastika pula melambangkan kemenangan bangsa Aryan ke atas Yahudi. Beberapa rekabentuk oleh beberapa pereka lain telah dipertimbangkan, tetapi yang diguna pakai akhirnya adalah yang telah direkabentuk oleh Hitler sendiri.

Undang-undang Bendera Reich (Reich Flag Law, Reichsflaggengesetz) :


Isi Undang-undang Bendera Reich

Apabila bendera ini digunakan di laut, dimensi bendera adalah 200 x 120. Cakera putih adalah 15 dari atas dan bawah, dan 45 dari tepi kiri dengan diameter cakera sepanjang 90 dan jauh cakera adalah 65 dari hujung kanan. Swastika adalah sepanjang 60 pada setiap sisi, dibahagikan 36, 12 dan 12.


Ukuran spesifikasi untuk bendera yang digunakan di laut

Untuk bendera yang digunakan di darat, dimensi adalah sama kecuali cakera berswastika berada di tengah-tengah. Dalam buku Flaggenbuch 1939 yang menceritakan ciri-ciri tepat bendera ini cuma menunjukkan versi laut.


Buku Undang-undang Bendera, Flaggenbuch 1939 untuk tentera laut Nazi (Kriegsmarine)


Bendera versi laut

Pemansuhan :
Penggunaan bendera ini dimansuhkan pada tahun 1945 setelah kekalahan Jerman dalam Perang Dunia Kedua. Jerman telah menggunakan pelbagai bendera selepas itu sehinggalah tahun 1990, dimana bendera Jerman sekarang telah digunakan secara rasmi selepas Jerman bersatu semula sebagai sebuah negara demokrasi.


Bendera Jerman hari ini (1990-)

Video tentang sejarah bendera Jerman :


Video ringkas tentang kelahiran bendera Nazi :


Sumber :


Reply

Use magic Report

Post time 16-9-2016 06:45 PM | Show all posts
16 September, 1895
Za'ba dilahirkan

Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Za'ba (Zaaba, Za'aba), seorang tokoh sasterawan dan ahli fikir Melayu, telah dilahirkan hari ini pada tahun 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan. Ibunya bernama Intan Awaludin dan bapanya pula bernama Ahmad bin Ibrahim.


Za'ba (16 September 1895 - 23 October 1973)

Pendidikan awal :
Za'ba telah menerima pendidikan awalnya di rumah. Bapa Za'ba terkenal di kampungnya kerana pengetahuan agamanya dan beliau adalah satu-satunya penduduk yang tahu membaca dan menulis huruf Melayu tidak berbaris, iaitu tulisan Jawi. Za'ba mendapat pendidikan Al-Quran dan hukum-hukum sembahyang dan dari bapanya dari usia 5 tahun, hingga beliau pandai membaca dan menulis. 12 tahun pendidikan awal Za'ba telah diperolehi di rumah.

Setelah Sekolah Batu Kikir dibuka di kampungnya, Za'ba memasuki darjah 3 di sekolah tersebut pada bulan Julai 1907. Beberapa bulan kemudian bapanya menghantarnya ke sekolah di Linggi, menduduki darjah 4 dan 5, sepanjang 1907-1909. Di sebelah petang, Za'ba belajar nahu Arab daripada Tuan Guru di Kampong Linggi. Ketika menuntut di Linggi, Za'ba muncul sebagai pelajar sekolah Melayu terbaik dalam peperiksaan darjah 5.

Beliau kemudian menduduki peperiksaan untuk menjadi guru atau memasuki ke sekolah Inggeris. Dari 256 orang calon, Za'ba telah muncul sebagai pelajar terbaik. Za'ba membuat keputusan untuk memasuki Saint Paul's Institution, sebuah sekolah Inggeris di Seremban. Kerana bapanya tidak merestui Za'ba memasuki sekolah Inggeris, di Seremban Za'ba telah mengalami kesukaran dan kesempitan wang. Walaupun begitu, di St. Paul Institution, Za'ba telah diberikan 'double promotion' dari darjah 1 ke darjah 3, dan dari darjah 5 ke 7. Za'ba tamat darjah 9 pada bulan Disember 1915 dan merupakan anak Melayu yang pertama tamat Darjah 9 (Senior Cambridge) di Negeri Sembilan.


Za'ba bersama adiknya Mohd Yusuf dan Encik Awang Ahmad dari Pahang sempena pesta Safar 7 Januari 1916


Poskad lama Saint Paul's Institution

Selepas zaman persekolahan :
Pada bulan Jun 1916, Za'ba mula bertugas sebagai 'Assistant Master' di English College, Johor Bahru. Pada masa tersebut, beliau berpeluang mempelajari nahu Arab daripada Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin. Pada 1918 apabila Sheikh Tahir berhenti untuk berpindah kembali ke tempat isterinya di Kuala Kangsar, secara kebetulan Za'ba juga ditugaskan ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Di MCKK Za'ba bertugas sebagai guru Bahasa Melayu dan penterjemah.


Za'ba di English College Johor Bahru

Za'ba meneruskan pelajarannya dengan Sheikh Tahir sehingga 1920. Semasa belajar dengan Sheikh Tahir, Za'ba mula berkenalan dengan buku-buku nahu Arab yang ditulis oleh orang-orang Inggeris dan kamus Dwibahasa Arab-Inggeris. Disini beliau juga mula berminat dengan bidang penulisan dan mula menulis untuk akhbar dan majalah tempatan dalam bahasa Inggeris terutamanya. Za'ba berkhidmat di MCKK sehingga April 1923.

Beliau kemudian menjadi penterjemah di Pejabat Pengarah Sekolah-sekolah Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Kuala Lumpur dari Mei 1923 ke Mac 1924. Dari April 1924 ke September 1939 Za'ba memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) di Tanjung Malim.


Za'ba di Tanjung Malim pada tahun 1925


Za'ba di pejabat karang mengarang MPSI pada 25 Mac 1933


Maktab Perguruan Sultan Idris, 1963

Za'ba kemudian menjadi penterjemah dan juruhebah di Pejabat Penerangan Singapura serta menjadi penyelenggara buku pendidikan Melayu di Jabatan Pelajaran Singapura dari Oktober 1939 hingga Januari 1941. Ketika ini beliau menulis buku-buku mengenai pendidikan Melayu. Buku paling penting tulisan Za'ba pada masa ini ialah 'Pelita Bahasa Melayu Penggal I' yang diterbitkan pada tahun 1940.

Dari Mac 1942 hingga Julai 1945, iaitu semasa zaman penjajahan Jepun, Za'ba telah berkhidmat sebagai ketua pengarang dan penterjemah berita Radio Jepun selain menyelenggarakan penerbitan buku bagi Jabatan Pelajaran dan Agama, Bunkyoka.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, Za'ba bertugas sebagai penterjemah di Mahkamah Tinggi dalam Pentadbiran Tentera British di Kuala Lumpur dari September 1945 ke Julai 1946. Kemudian beliau kembali ke jawatan lamanya sebagai penterjemah kanan bahasa Melayu dan pengarang buku teks di Pejabat Pelajaran Kuala Lumpur disamping mengarang buku-buku untuk sekolah-sekolah Melayu. Za'ba bertugas di situ dari Ogos 1946 selama setahun. 'Pelita Bahasa Melayu Penggal II' diterbitkan pada tahun 1946.

Pada tahun 1947, Za'ba telah dihantar ke London sebagai pensyarah di London University. Pada tahun 1949 Za'ba menerbitkan 'Pelita Bahasa Melayu Penggal III'. Sekembalinya dari London pada tahun 1953, Za'ba telah dilantik menjadi pensyarah Bahagian Melayu dan pada masa yang sama Ketua Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Singapura. Pada tahun yang sama, di usia 58 tahun Za'ba memperolehi Ijazah Kesarjanaan Kelas Kedua dari London University.


Za'ba bersama adik-beradiknya Siti Hawa dan Mohd. Yusuf di Linggi, Julai 1956

Penulisan :
Selain 'Pelita Bahasa Melayu' Za'ba juga menerbitkan buku 'Ilmu Mengarang Melayu' yang menjadi buku teks bagi sekolah-sekolah selepas Perang Dunia Kedua. Za'ba juga telah menulis rencana dalam Journal of Malayan Branch Royal Asiatic Society (JMBRAS) bagi memperkenalkan kesusasteraan dan kebudayaan Melayu kepada orang-orang asing.

Selain pendidikan linguistik, Za'ba juga menulis mengenai bidang ekonomi, agama dan sikap orang Melayu. Beliau telah menyentuh tentang kemiskinan dan cara-cara mengatasi masalah kemiskinan orang Melayu. Buku-bukunya ada juga yang mendapat tentangan, contohnya 'Falsafah Takdir Penggal Satu' dan 'Pendapat Perbahasan Ulama Berkenaan Kada' dan Kadar' yang telah diharamkan di negeri Perak. Sekitar tahun 1951 ke 1955, Za'ba banyak menulis artikel mengenai bahasa dan agama.


Za'ba bersama P.Ramlee semasa Festival Filem Asia, Mei 1959

Antara buku tatabahasa yang telah dikarang oleh Za'ba adalah: Ilmu Bahasa Melayu (1926), Rahsia Ejaan Jawi (1929), Pelita Mengarang: Ilmu Mengarang Melayu (1934), Daftar Ejaan Melayu: Jawi-Rumi (1938), Pelita Bahasa Melayu Penggal I (1940), Pelita Bahasa Melayu Penggal II (1946), Pelita Bahasa Melayu Penggal III (1949) dan lain-lain.


Pelita Bahasa Melayu Penggal I oleh Za'ba


Ilmu Mengarang Melayu oleh Za'ba


Mukasurat 224 dan 225 dari Ilmu Mengarang Melayu oleh Za'ba

Antara buku agama yang telah dikarang oleh Za'ba adalah: Falsafah Takdir (1932), Pendapatan Perbahasan Ulama pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan Hamba (1934), Asuhan Budi Menerusi Islam (1958) dan lain-lain.

Penghormatan :
Mengenangkan jasanya yang banyak di dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu, Za'ba telah dianugerahkan gelaran 'Pendeta' pada tahun 1956 di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu, Johor Bahru. Pada tahun 1959, beliau telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya sebagai membalas jasa dan baktinya yang amat besar kepada bahasa dan persuratan Melayu.


Za'ba dianugerahkan gelaran 'Pendeta'


Za'ba menangis terharu menerima gelaran 'Pendeta'


Gambar kenangan di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Johor Bahru, September 1956

Pada 1962, Za'ba telah dianugerahkan Bintang Panglima Mangku Negara yang memberikan beliau gelaran Datuk dan kemudiannya Tan Sri. Di Konvokesyen pertama Universiti Kebangsaan Malaysia pada 23 Jun 1973, Za'ba telah sekali lagi dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kerana menghargai perjuangan dan cintanya kepada bahasa dan sastera Melayu. Malangnya Za'ba tidak dapat hadir untuk menerima anugerah ini kerana uzur.


Za'ba menerima Anugerah


Za'ba berucap di Universiti Malaya

Pendeta Za'ba yang telah merevolusikan kesusateraan bahasa Melayu dari zaman penulisan Jawi ke Rumi telah kembali ke rahmatullah pada tanggal 23 Oktober 1973 di Petaling Jaya.



Keratan akhbar menghargai jasa Za'ba


Sebagai penghargaan kepada jasanya nama Za'ba telah diabadikan antara sebagai nama perpustakaan di Universiti Malaya, nama asrama Universiti Kebangsaan Malaysia, kolej di Universiti Putra Malaysia, taman serta lorong di Taman Tun Dr Ismail dan banyak lagi.


Kolej Pendeta Za'ba di UPM


Dewan Pendeta Za'ba di Kampung Bukit Kerdas

Teratak Za'ba juga telah dibuka di Jempol, Negeri Sembilan pada 2001 bagi generasi muda mengenali dan menghayati perjuangan Za'ba sebagai bapa persuratan bahasa Melayu


Teratak Za'ba di Kampung Bukit Kerdas


Pameran di ruang dalam Teratak Za'ba


Mutiara kata di dalam Teratak Za'ba

Video dokumentari Za'ba terbitan FINAS :


Dr Maza mengulas buku Pendita Za'ba terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka :

Sumber :


Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 16-9-2016 07:18 PM | Show all posts
Edited by luna.millieu at 17-9-2016 01:40 PM

16 September, 1920
Pengeboman Wall Street




Sebaik sahaja jam menunjukkan waktu tengahari pada 16 September 1920, satu letupan besar telah menggegarkan Wall Street di Daerah Kewangan Manhattan (Manhattan's Financial District). Letupan itu telah mengorbankan 38 nyawa dan menyebabkan beratus-ratus lagi tercedera, tetapi walaupun selepas bertahun disiasat oleh kerajaan, penjenayah tidak pernah dibawa ke muka pengadilan.

Rentetan kejadian :
Persimpangan Wall Street dan Broad Street dikenali oleh orang tempatan sebagai 'The Corner'. Ia dinamakan demikian kerana koleksi entiti berpengaruh yang berkumpul di kawasan itu. J.P. Morgan & Co pada masa itu adalah institusi kewangan yang paling berkuasa di dunia, mengawal sebahagian besar ekonomi global. Di utara bangunannya ialah pejabat US Assay Office, tempat di mana ketulenan logam berharga diuji dengan banyak tan pada satu-satu masa. Di sudut lain pula ialah ibu pejabat Bursa Saham New York (New York Stock Exchange, NYSE). Bangunan Perbendaharaan Bawah (Sub-Treasury) dan Bank Rizab Persekutuan (Federal Reserve Bank) juga berada di situ, di dalam Dewan Persekutuan (Federal Hall) yang pernah menjadi lokasi bangunan ibu pejabat Amerika Syarikat (US Capitol Building).


Peta tempat pengeboman di 'The Corner', Wall Street, 1920


Bangunan J.P. Morgan & Co, 1920an

Waktu sibuk makan tengahari baru saja bermula ketika seorang lelaki yang tidak dikenali datang memandu sebuah kereta kuda yang lusuh pada 16 September 1920. Dia memberhentikan kuda dan beban keretanya yang berat di hadapan US Assay Office, bertentangan dengan bangunan J.P. Morgan & Co di tengah-tengah Wall Street. Pemandu itu kemudiannya turun dan hilang dengan pantas di celah-celah orang ramai.

Hari itu diramalkan hujan tetapi sebaik sahaja loceng Gereja Trinity yang berdekatan berbunyi pada jam tengahari, 'The Corner' tetap sibuk dipenuhi aktiviti seperti biasa. Sekitar hadapan bangunan-bangunan penuh sesak dengan kerani-kerani bank dan broker-broker saham, dan jalan-jalan juga sesak dengan kereta dan budak-budak utusan. Dalam kesibukan dan kesesakan itu cuma beberapa orang sahaja memberi perhatian kepada kereta kuda lusuh yang diletakkan di hadapan US Assay Office, ataupun kepada pemandu yang tergesa-gesa melepaskan tali kuda sebelum menghilangkan diri.


Lukisan polis, wajah orang yang disyaki memandu kereta kuda

Gema loceng terakhir gereja masih lagi tergantung di udara pada pukul 12:01 apabila 100 paun (45 kg) dinamit dan yang disembunyikan di dalam kereta kuda itu meletup dan memuntahkan serpihan ketulan besi tuang yang merah panas berjumlah 500 paun (227 kg) ke setiap arah tanpa belas kasihan.


Gereja Trinity kelihatan di belakang tempat kejadian, Federal Hall di kanan gambar

Kerugian nyawa dan harta benda :
Letupan itu telah melayangkan sebuah kereta berdekatan ke udara sementara serpihan besi bergerigi yang tidak terkira banyaknya terlempar kuat ke arah orang ramai.

Struktur berdekatan bergegar apabila gelombang kejutan itu merempuh dinding luar mereka dengan daya yang amat kuat, memecahkan tingkap-tingkap. Lobi-lobi dilanda ribut kaca. Banyak awning kain yang melindungi atas jalan terbakar. "Saya lihat letupan itu, tiang asap menembak ke udara dan saya nampak orang-orang di keliling saya tumbang, sebahagian daripada mereka dengan pakaian terbakar," kata seorang saksi kepada akhbar New York Sun.


Keratan akhbar New York Times, 17 September 1920

Dalam setengah batu (0.8 km) radius, beribu-ribu tingkap kaca bangunan-bangunan tinggi bersembur pecah, menaburkan jalan-jalan di Lower Manhattan dengan serpihan kaca tajam. "Ia adalah bunyi yang paling kuat pernah saya dengar dalam hidup saya," kata pekerja J.P. Morgan & Co, Andrew Dunn. "Bunyi itu sahaja sudah cukup untuk membuat anda terpelanting." Bahagian dalam bangungan J.P. Morgan & Co habis dicakar serpihan. Satu serpihan telah mengenai dan menghancurkan tengkorak seorang kerani berusia 24 tahun bernama William Joyce sedang dia duduk di mejanya.


Tingkap-tingkap bangunan yang pecah


Bangkai kereta dan tingkap-tingkap pecah di Wall Street

Letupan itu juga telah mengakibatkan sebuah tram sejauh satu blok dari tempat kejadian tergelincir dan menghantar serpihan-serpihan melambung setinggi tingkat 34 bangunan Equitable yang berdekatan. Serpihan bangkai kuda malang itu telah mendarat beratus-ratus kilometer jauhnya. Broker saham Joseph P. Kennedy, bapa kepada John F. Kennedy, telah terpelanting akibat gegaran, sama seperti ramai orang lain di kawasan berdekatan letupan itu. Mereka yang berada lebih dekat dengan kereta kuda itu semasa ia meletup telah dibaham tiang api atau badan mereka hancur serta merta ditembak oleh beratus-ratus paun serpihan logam yang telah ditimbunkan di atas bom dinamit.


Bangkai kuda yang malang

Udara tepu dengan asap dan habuk daripada letupan dan kebakaran. Jalan diteraburi dengan bangkai kereta yang hilang bentuk, serpihan bangunan dan manusia. Gema letupan pudar perlahan-lahan. Seorang budak utusan yang cedera parah dilihat meminta bantuan. Seorang kerani yang kehilangan mata dan kakinya cuba merangkak dalam keadaan buta untuk mencari tempat yang selamat. Kepala seorang wanita yang terputus dari badannya, dalam keadaan masih memakai topi, tersangkut pada hadapan bangunan J.P. Morgan & Co.


Keratan akhbar New York Times, 17 September 1920

30 orang dan seekor kuda terkorban serta merta. 8 orang lagi telah meninggal dunia kemudiannya akibat kecederaan dari letupan itu. Kira-kira 300 orang yang terdiri dari lelaki, wanita, dan kanak-kanak telah cedera. Ramai orang menuju ke arah Gereja Trinity untuk melarikan diri dari asap yang menyesakkan pernafasan. Kerugian harta benda dianggarkan bernilai sebanyak $2,000,000 pada waktu itu.


Orang ramai datang menyaksikan keadaan selepas letupan


Kerosakan bangunan di Wall Street


Kedai yang rosak akibat letupan

Kesan :
Untuk megelakkan panik, William H. Remick, presiden NYSE telah menghentikan dagangan seminit selepas letupan. Kira-kira 2,000 orang anggota Polis New York (New York Polis Department, NYPD) dan jururawat Palang Merah bergegas ke Wall Street untuk memberikan bantuan. Mereka tiba dalam masa 30 minit selepas kejadian.

Para penyelamat membersihkan jalan untuk ambulans. Mayat-mayat dibariskan di sepanjang kaki lima. Sementara itu pegawai keselamatan yang bersenjata berdiri berjaga-jaga di pejabat US Assay di mana $900 juta dalam bentuk jongkong-jongkong emas sedang disimpan. Sebelum sejam selepas letupan tentera dari Infantri ke-22 tiba, mengawasi Wall Street dengan senapang dan bayonet yang siap sedia untuk sebarang kemungkinan.


Para penyelamat mengalihkan mayat di depan bangunan J.P. Morgan & Co.


Para penyelamat mengumpulkan mayat-mayat mangsa


Mayat-mayat yang dibariskan di tepi jalan


Kereta bomba tiba untuk memadamkan kebakaran

Dalam usaha untuk meredakan kebimbangan kejatuhan pasaran saham, NYSE dibuka semula keesokan harinya dengan perniagaan seperti biasa. Apabila para pekerja tiba di Wall Street, bukti tragedi sehari sebelumnya telah dibungkus dengan kain; dalam suasana muram tersemat semangat patriotisme.


Membersihkan kawasan kejadian

Sambutan Hari Perlembagaan (Constitution Day) yang telah dirancang dari awal untuk diraikan di 'The Corner' pada 17 September dimulakan mengikut jadual bersama patung George Washington yang tidak terjejas oleh letupan. Keraian yang dirancang sebagai satu perhimpunan kecil bertukar menjadi salah satu daripada himpunan orang ramai terbesar dalam sejarah Wall Street. Rakyat berkumpul menyanyikan lagu kebangsaan Amerika "The Star Spangled Banner" dan "America the Beautiful", diikuti dengan ucapan yang penuh semangat dari wira Perang Dunia Pertama, Brig. Jeneral William J. Nicholson.


Keadaan di Wall Street pada Constitution Day, 17 September 1920

Pembukaan semula dagangan NYSE yang pantas menjadikan perdagangan saham dilihat sebagai tindakan membangkang pengganas. Tidak lama kemudian Wall Street menjadi simbol patriotisme di mata rakyat AS.


Mukadepan akhbar Brooklyn Daily Eagle, 16 September 1920


Mukadepan akhbar New York Tribune, 17 September 1920

Penyiasatan :
Walaupun FBI telah memperolehi serpihan maklumat yang cukup untuk menyimpulkan banyak perkara, cuma sedikit petunjuk telah ditinggalkan oleh kuda dan kereta kuda yang telah membawa kemusnahan kepada Wall Street.

Kasut kuda yang didapati daripada kaki kuda yang hangus dan terputus telah membawa polis kepada tukang tempa yang telah memakaikan kasut kuda itu. Tukang tempa itu ingat akan pelanggan yang menempah kasut itu dan menyifatkan orang tersebut sebagai seorang lelaki Sicily berusia 25-30 tahun. Serpihan besi yang telah ditimbunkan di atas letupan dinamit semasa pengeboman itu telah dikenal pasti sebagai besi pemberat yang digunakan pada tulang tingkap, tetapi pihak polis tidak dapat menentukan dari mana asalnya besi-besi itu walaupun setelah melawat beratus-ratus pengeluar dan pengedar.


Serpihan besi yang digunakan dalam pengeboman


Saiz serpihan besi yang digunakan

NYPD juga telah mengumpul serpihan dari jejari roda, tali kulit, ketulan kanvas dan pelindung tayar dari kereta kuda tersebut. Dengan bantuan doktor-doktor haiwan dan pembina-pembina kereta kuda, NYPD telah berjaya menyimpulkan banyak perkara. Tetapi walaupun dengan siasatan selama tiga tahun, mereka yang bertanggungjawab atas serangan itu tidak pernah dikenal pasti secara rasmi. Kes ini ditutup pada tahun 1940.


Apa yang tinggal dari kereta kuda yang membawa bom

Pada tahun 1944, FBI membuka semula kes itu dan membuat kesimpulan bahawa plot ini telah dirancang oleh kumpulan anarkis atau pengganas Itali, contohnya kumpulan Galleanist, kumpulan yang telah melancarkan beberapa siri pengeboman di seluruh Amerika Syarikat pada tahun 1919. Walau bagaimana pun ini cumalah teori dan penjenayah sebenar tidak pernah dikenal pasti ataupun dibawa ke muka pengadilan.

Tugu atau hari peringatan :
Tidak ada sebarang plak atau tugu telah diletakkan untuk menandakan kawasan itu, di mana berlakunya salah satu serangan pengganas yang paling meragut nyawa dalam sejarah Amerika. Yang ada cuma lubang-lubang parut di dinding-dinding bangunan akibat serpihan besi hari September itu. Parut-parut itulah yang menjadi tanda ingatan kepada kehilangan nyawa dan kebebasan Amerika pada tahun 1920.


Parut-parut ledakan bom

Pemilik J.P. Morgan & Co telah berulang kali menyatakan bahawa mereka tidak akan membaiki parut-parut tersebut. "Menggantikan blok-blok besar ini adalah reaksi yang berlebihan dan mahal tanpa keperluan," tegas seorang rakan kongsi J.P. Morgan & Co, "Lagipun, ianya adalah betul dan wajar, parut-parut ini perlu kekal di situ."


Bangunan J.P. Morgan & Co hari ini


Parut ledakan bom sebesar tapak tangan

Pengeboman Wall Street kekal sebagai insiden pengganas paling dahsyat di Amerika sehinggalah kejadian pengeboman Oklahoma City 75 tahun kemudian.

Video ringkas mengenai Wall Street Bombing :


Video menunjukkan lokasi dan kerosakan akibat bom di Wall Street hari ini :


Fakta-fakta mengenai Wall Street Bombing :


Sumber :




Reply

Use magic Report

Post time 17-9-2016 01:30 PM | Show all posts
Edited by luna.millieu at 17-9-2016 01:36 PM

17 September, 1787
Perlembagaan Amerika Syarikat ditandatangani


Perlembagaan Amerika Syarikat (United States Constitution) merupakan undang-undang tertinggi di Amerika Syarikat. Dokumen ini telah disempurnakan dan ditandatangani pada 17 September 1787 pada sesi terakhir Konvensyen Perlembagaan (Constitutional Convention) yang juga dikenali sebagai Konvensyen Philadelphia (Philadelphia Convention).
Kesemua 5 helaian dokumen Perlembagaan Amerika Syarikat telah ditulis di atas kertas kulit.


Helaian Pertama Perlembagaan Amerika Syarikat

Kelemahan Artikel Persekutuan :
Sebelum ini Artikel Persekutuan (Articles of Confederation) merupakan undang-undang tertinggi di Amerika. Di bawah Artikel Persekutuan, kuasa kerajaan pusat adalah agak terhad. Kongres boleh membuat keputusan, tetapi tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan. Perlaksanaan kebanyakan keputusan, termasuk pengubahsuaian kepada Artikel, memerlukan kelulusan sebulat suara kesemua 13 badan perundangan negeri-negeri yang membentuk Amerika Syarikat ketika itu.

Kesan dari ini banyak masalah telah muncul dan yang terbesar sekali, seperti yang dikatakan oleh George Washington, Presiden pertama AS, ialah "tiada wang".  


George Washington (February 22, 1732 - December 14, 1799)

Di peringkat antarabangsa, Artikel Persekutuan tidak banyak meningkatkan keupayaan Amerika Syarikat untuk mempertahankan kedaulatan mereka. Ramai askar tidak dibayar gaji berikutan ketiadaan wang, menyebabkan ramai yang meninggalkan tentera atau memberontak. Lanun-lanun pula mula menawan kapal-kapal dagang Amerika Syarikat.

Secara domestik pula, Artikel Persekutuan telah gagal untuk membawa perpaduan kepada kepelbagaian sentimen dan kepentingan negeri-negerinya. Badan perundangan negeri masing-masing sesuka hati meletakkan embargo, berunding terus dengan kuasa asing, menjana tentera dan berperang, yang mana kesemuanya melanggar undang-undang bertulis dan semangat Artikel Persekutuan.


Mukasurat pertama Artikel Persekutuan

Kongres menjadi lumpuh. Ia tidak berupaya membuat sesuatu yang penting tanpa sokongan 9 negeri. Beberapa undang-undang pula memerlukan kesemua 13 negeri. Apabila sebuah negeri cuma menghantar seorang ahlinya hadir ke perjumpaan, undi negeri itu tidak dikira. Jika delegasi negeri-negeri ini terbahagi sama rata, undian tidak boleh dikira mengikut keperluan 9 kiraan undi.

Konvensyen Perlembagaan :
Pada 21 Februari 1787, Kongres mengadakan sebuah konvensyen perwakilan negeri di Philadelphia untuk mencadangkan rancangan kerajaan. Berbeza dengan cubaan-cubaan sebelum, tujuan perjumpaan ini adalah semata-mata untuk menyemak semula Artikel Persekutuan.


Pennsylvania State House dimana Konvensyen Perlembagaan diadakan, 1752

Oleh kerana kesukaran perjalanan pada abad ke-18, sangat sedikit daripada perwakilan yang dipilih hadir pada hari yang ditetapkan iaitu 14 Mei 1787. Pada 25 Mei barulah korum 7 negeri dapat dipenuhi. George Washington telah dipilih sebulat suara sebagai Presiden Konvensyen, dan telah dipersetujui bahawa segala perbincangan dan undian akan dirahsiakan sehingga tamatnya mesyuarat itu.


George Washington sebagai Presiden Konvensyen Perlembagaan

Para perwakilan secara amnya yakin bahawa Kongres yang lemah perlu digantikan dengan kerajaan pusat yang berkesan dengan pelbagai kuasa penguatkuasaan. Perdebatan hebat pun bermula dengan para perwakilan membentangkan cadangan dan pendapat masing-masing. Pelbagai jawatankuasa diadakan bagi membincangkan pelbagai pelan dan resolusi.

Penyempurnaan Perlembagaan Amerika Syarikat :
Pada 8 September, "Jawatankuasa Gaya dan Penyusunan" ("Committee of Style and Arrangement") yang dianggotai oleh Alexander Hamilton (New York), William Samuel Johnson (Connecticut), Rufus King (Massachusetts), James Madison (Virginia), dan Gouverneur Morris (Pennsylvania) telah dilantik untuk menyuling draf akhir perlembagaan daripada 23 artikel yang telah diluluskan. Draf akhir, yang dipersembahkan kepada Konvensyen pada 12 September, mengandungi 7 artikel, mukadimah dan penutup. Jawatankuasa itu turut menyampaikan surat cadangan untuk mengiringi dokumen perlembagaan itu apabila ianya diserahkan kepada Kongres.


Alexander Hamilton (11 Januari 1755/1757 - 12 Julai 1804)


William Samuel Johnson (7 Oktober 1727 - 14 November 1819)


Rufus King (24 Mac755 - 29 April 1827)


James Madison, Jr. (16 Mac 1751 - 28 June 1836)


Gouverneur Morris I (31 Januari 1752 - 6 November 1816)

Dokumen akhir yang ditulis oleh Jacob Shallus, seorang kerani Perhimpunan Awam Pennsylvnia (Pennsylvania General Assembly), telah dikemukakan pada hari Isnin, September 17, pada sesi terakhir Konvensyen ini. Beberapa perwakilan kecewa dengan dokumen yang dihasilkan itu. Ada yang meninggalkan Konvensyen tersebut sebelum majlis penutup bermula. 3 yang lain enggan menandatangani. Daripada 12 negeri yang diwakili; 74 perwakilan telah dinamakan, 55 menghadiri dan 39 telah menandatangani dokumen tersebut. Rhode Island and Providence Plantations adalah negeri yang tidak menghantar wakil.

Daripada 39 penandatangan, Benjamin Franklin menyimpulkan kepada Konvensyen, "Terdapat beberapa bahagian dalam Perlembagaan ini yang saya tidak setujui pada masa ini, tetapi saya tidak pasti samada saya tidak akan menyetujui bahagian-bahagian tersebut selama-lamanya". Katanya dia akan menerima Perlembagaan, "kerana saya mengharapkan yang lebih baik dan kerana saya tidak menjangkakan yang lebih baik dari ini, dan kerana saya tidak yakin yang ianya bukan yang terbaik".


Perlembagaan ditandatangani

Kandungan Perlembagaan :
Mukadimah Perlembagaan Amerika Syarikat menyatakan,
"Kami rakyat Negeri-Negeri Bersatu, Bagi membentuk Persatuan yang sempurna, mewujudkan Keadilan, menjaminkan Kesejahteraan dalam negara, menyediakan pertahanan awam, menggalakkan Kebajikan awam, dan mendapatkan Restu Kebebasan kepada diri kami dan Generasi depan kami, mentahbiskan dan mewujudkan Perlembagaan ini untuk Persatuan Negeri-negeri Amerika."
"We the People of the United States, in Order to form a more perfect Union, establish Justice, insure domestic Tranquility, provide for the common defense, promote the general Welfare, and secure the Blessings of Liberty to ourselves and our Posterity, do ordain and establish this Constitution for the United States of America. "


Mukadimah Perlembagaan Amerika Syarikat

Tujuan mukadimah ini ialah untuk memberi sebab kepada Perlembagaan ini ditulis. 3 perkataan pertama "We the People" mengesahkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat wujud untuk berkhidmat kepada rakyat.

7 artikel yang dikandungi oleh dokumen ini adalah :
Artikel 1: Legislatif
Artikel 2: Eksekutif
Artikel 3: Kehakiman
Artikel 4: Kuasa dan had kuasa negeri
Artikel 5: Proses pindaan
Artikel 6: Kuasa Federal
Artikel 7: Ratifikasi

Artikel 1, 2 dan 3 mengukuhkan doktrin pengasingan kuasa, di mana kerajaan persekutuan telah dibahagikan kepada 3 cabang: perundangan, yang terdiri daripada Kongres dua dewan; eksekutif, yang terdiri daripada Presiden; dan kehakiman, yang terdiri daripada Mahkamah Agung dan mahkamah persekutuan yang lain.

Artikel 4, 5 dan 6 mengukuhkan konsep federalisme, menerangkan hak dan tanggungjawab kerajaan negeri dan negeri-negeri dalam hubungan dengan kerajaan persekutuan.

Artikel 7 menetapkan prosedur yang kemudiannya digunakan oleh kesemua 13 negeri untuk mengesahkannya.

Pindaan (Amendments) :
Sejak Perlembagaan Amerika Syarikat berkuat kuasa pada tahun 1789, ia telah dipinda sebanyak 27 kali demi memenuhi tuntutan perubahan dalam negaranya.

Secara umum, 10 pindaan pertama dikenali sebagai Rang Undang-Undang Hak Asasi (Bill of Rights). Ia menawarkan perlindungan tertentu ke atas kebebasan individu dan keadilan dan menempatkan sekatan ke atas kuasa-kuasa kerajaan. Majoriti daripada 17 pindaan kemudiannya mengembangkan perlindungan hak-hak sivil individu. Pindaan-pindaan lain menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan pihak berkuasa persekutuan atau mengubah suai proses dan prosedur kerajaan.


Dokumen Rang Undang-Undang Hak Asasi (Bill of Rights)

Legasi :
Dalam lebih daripada 200 tahun sejak perlembagaan ini dicipta, Amerika Syarikat telah berkembang hingga ke hampir seluruh benuanya. Penduduk dan ekonominya telah berkembang mungkin lebih daripada apa yang para perangka dokumen ini pernah bayangkan. Perlembagaan telah mampu bertahan dan disesuaikan dengan semua perubahan ini selain menjadi model untuk perlembagaan bagi banyak negara lain.

Hari ini dalam dokumen asal Perlembagaan Amerika Syarikat disimpan dan dipamerkan di Arkib Negara (National Archives) di Washington, DC


Ruang pameran dokumen-dokumen penting bersejarah di National Archives, termasuk dokumen Perlembagaan Amerika Syarikat


Barisan dokumen-dokumen yang dipamerkan


Meneliti dokumen Perlembagaan di National Archives, Washington, DC

Constitution Day atau Hari Perlembagaan disambut dan diraikan pada 17 September setiap tahun di Amerika.



Video ringkas bagaimana Perlembagaan AS dapat dihasilkan dan dipersetujui semua pihak:


Video meraikan Hari Perlembagaan AS (Constitution Day) :


Sumber :




Reply

Use magic Report

Post time 17-9-2016 02:08 PM | Show all posts
17 September, 1949
Kapal SS Noronic terbakar



SS Noronic telah dilancarkan di zaman kegemilangan kapal persiaran Great Lakes. Pada masa itu kawasan perairan Great Lakes dipenuhi dengan kapal-kapal persiaran mewah yang membawa beratus penumpang melintasi tasik-tasiknya dengan penuh gaya. SS Noronic telah terbakar pada 17 September 1949 setelah lebih seribu pelayaran tanpa insiden. Seramai 118 orang telah terkorban dan ianya menjadi bencana yang paling meragut nyawa dalam sejarah Toronto.


SS Noronic di pelabuhan


Iklan pelayaran Canada Steamship Lines


Peta kawasan Great Lakes di Kanada

Latarbelakang :
Dilancarkan pada 2 Jun 1913 di Port Arthur, Ontario, Kanada, kapal penumpang SS Noronic telah dibina oleh Western Dry Dock dan Shipbuilding Company untuk Northern Navigation Company, satu bahagian operasi syarikat Canada Steamship Lines (CSL). Dengan kepanjangan 362 kaki (110 m) dan berat ukuran kasar 6095 tan, ia boleh memuatkan 600 penumpang dan 200 anak kapal pada kapasiti maksimum. Digelar "The Queen of the Lakes" kerana keindahannya, SS Noronic adalah kapal penumpang terbesar yang beroperasi di perairan Great Lakes pada masa itu.


SS Noronic berlabuh di Toronto, 1930

SS Noronic mempunyai 5 dek. 4 dek teratas, A, B, C dan D adalah dek penumpang. Tangga-tangga keluar kapal (gangway) terletak di dek yang paling rendah, dek E. Terdapat 2 gangway di sebelah port (kiri kapal) dan 2 di sebelah starboard (kanan kapal). Perhiasan dalamannya diperbuat dari kayu, lengkap dengan bilik tarian, perpustakaan, bilik menulis, bilik permainan kanak-kanak, salun kecantikan, bilik muzik dan full orchestra untuk dinikmati oleh para penumpangnya.


Nama-nama sisi sebuah kapal


Lukisan skematik SS Noronic


Dewan makan SS Noronic


Hiasan dalam SS Noronic


Koleksi poskad SS Noronic

Rentetan kejadian kebakaran :
Pada 14 September 1949, SS Noronic berlepas dari Detroit, Michigan dan memulakan pelayaran menikmati Tasik Ontario selama 7 hari. Kapten William Taylor telah mengetuai pelayaran itu yang membawa 524 penumpang dan 171 anak kapal. Pada malam 16 September, SS Noronic berlabuh di Pier 9 pelabuhan Toronto pada jam 7:00 malam. Anak kapal yang bertugas pada malam itu adalah seramai 15 orang.

17 September kira-kira jam 1:30 pagi, seorang penumpang bernama Donald Church perasan akan jerebu aneh di salah satu koridor dalam kapal. Dia yang bekerja sebagai penilai untuk sebuah syarikat insurans kebakaran, sangat tahu apa makna asap jerebu itu lalu mencari puncanya. Dia menjumpai asap berkepul-kepul keluar dari bawah pintu almari linen yang tertutup.

Kerana pintu itu berkunci Church bergegas mencari anak kapal dan melaporkan perkara itu kepada bellboy Earnest O'Neil. O'Neil berlari ke pejabat di dek D untuk mendapatkan kunci tanpa membunyikan penggera kebakaran, mungkin kerana dia tidak pasti jika api itu cukup besar untuk membahayakan kapal. Setibanya di punca asap, O'Neil membuka almari dan api meletup ke dewan koridor dengan serta merta (backdraft). Dalam beberapa saat sahaja hiasan dalaman yang diperbuat dari kayu di dewan koridor itu dimakan api.

Apabila Church dan O'Neil cuba menggunakan hos kebakaran, air tidak keluar. Memburukkan lagi keadaan, panel-panel kayu di dewan koridor itu telah digilap teliti berdekad lamanya dengan minyak lemon, bahan mudah terbakar yang memarakkan api. Laluan-laluan tangga dalam kapal mula bertindak seperti cerobong, menyalurkan oksigen kepada kebakaran. Mereka cuba untuk melawan api dengan alat pemadam api, tetapi terpaksa berundur kerana kepanasan api yang merebak. Church bergegas ke kabinnya di dek D, dan dia bersama keluarganya turun dari kapal untuk menyelamatkan diri.

Kapten telah dikejutkan sekitar jam 2:30 pagi. Jam 2:38 pagi, pegawai pertama (first mate) kapal cuba menggunakan semboyan kapal untuk membunyikan amaran api; 3 tiupan pendek diikuti satu tiupan panjang, tetapi semboyan tersekat. Cuma satu tiupan sahaja yang keluar; tiupan kuat dan panjang tidak berhenti, menusuk gegendang telinga, seolah-olah kapal itu sedang menjerit. Pekikan semboyan tersangat kuat sehingga boleh didengari di seluruh Toronto dan menyukarkan penyelamat untuk berkomunikasi antara satu sama lain.

Kelajuan api :
Sejurus sebelum semboyan berbunyi, pengawal keselamatan jeti bernama Harper, sedang berdiri membelakangkan SS Noronic bila dia perasan ada cahaya oren pada permukaan dinding di hadapannya. Ketika dia berpaling untuk melihat kapal, semboyan memekik tiba-tiba. Waktu pada masa itu ialah jam 2:38 pagi.

Harper yang sedang berdiri di sebelah starboard (kanan kapal) nampak jelas bahawa api telah bermula di sebelah port (kiri kapal) dan sedang merebak dengan laju. Harper terus menelefon bomba. Panggilan kecemasan pertama diterima pada 02:38 pagi dan pasukan bomba dan penyelamat dikerah ke tempat kejadian. Seminit kemudian, Jabatan Bomba Toronto menghubungi kapal bomba supaya bergegas ke Pier 9 untuk memberi bantuan.

Selepas menghubungi bomba, Harper menelefon polis. Sedang dia meletakkan gagang, seorang penumpang dari kapal berlari masuk ke pejabat Harper meminta ambulans. Harper segera memberitahu polis supaya menghantar semua ambulans yang ada dan para medik ke Pier 9. Harper kemudian keluar dan mendapati kereta bomba sudah hampir tiba. Pada masa yang sama Harper melihat setengah daripada dek kapal sudah terbakar. Waktu pada masa itu ialah kira-kira jam 2:41 pagi.


SS Noronic terbakar

Pada jam 02:53 pagi, kira-kira 15 minit selepas Harper menyedari kebakaran, struktur besi SS Noronic jelas kelihatan putih akibat kepanasan yang melampau. Jam 2:58 pagi, 20 minit selepas paggilan kecemasan pertama, dek-dek kapal roboh menimpa satu sama lain kerana besi-besi kapal telah cair.

Cubaan menyelamat :
Secara kebetulan, Donald Williamson seorang bekas kelasi kapal pengangkut di tasik tersebut singgah melihat SS Noronic selepas shif malamnya di kilang tayar Goodyear. Dia tiba di Pier 9 dengan bunyi semboyan kapal sedang memekik. Api merebak dengan pantas dan orang ramai yang sedang panik terjun ke dalam tasik. Menyedari cuma ada 2 gangway berhubung dengan dok, dia melepaskan sebuah rakit pengecat bersaiz besar yang berdekatan dan menolak rakit itu ke kapal untuk membantu mangsa menyelamatkan diri. Dia menarik orang-orang yang terjun dari dalam air ke atas rakit. Williamson adalah penyelamat pertama tiba di tempat kejadian.

Bertugas pada syif tengah malam, Konstabel Ronald Anderson dan Warren Shaddock telah menjawab panggilan dan memusingkan kenderaan mereka ke Queen's Quay tepat pada masa SS Noronic meletupkan api yang menjulang membelah langit. Menjadi pasukan penyelamat yang pertama tiba, Anderson melucutkan pakaian seragamnya dan terjun ke dalam air pelabuhan yang sangat sejuk dan berminyak itu. Dia berenang ke arah mangsa-mangsa yang cedera dan yang sudah mati, menarik mereka ke rakit dan ke dok pelabuhan.

Anggota-anggota polis yang tiba kemudiannya mengangkat mangsa-mangsa ke atas dok dengan tali di mana Shaddock dan lain-lain melakukan pertolongan cemas. Tidak lama kemudian, detektif Cyril Cole menyertai Anderson di dalam air, kedua-dua mereka mengutip mayat-mayat dan mangsa-mangsa dari dalam air. Sejurus kemudian, kapal bomba tiba.

Trak kebakaran pertama tiba pada jam 2:41 pagi. Pasukan penyelamat terpaksa memecahkan tingkap bulat kapal (portholes) untuk mengheret beberapa penumpang keluar dari kabin mereka. Tangga penyelamat yang pertama dinaikkan ke dek B. Ia diserbu oleh penumpang menyebabkan tangga itu patah. Tangga-tangga penyelamat lain dipasang di dek C dan bertahan sepanjang proses menyelamat. Tali juga digunakan untuk menurunkan mangsa-mangsa.


SS Noronic dimakan api


Mangsa-mangsa yang terselamat diberi perlindungan dan makanan percuma oleh Royal York Hotel

Usaha memadam api :
Imej pertama yang dilihat oleh pasukan bomba ialah cahaya jingga di langit dan bayangan kapal dalam nyalaan api. Pemandu kereta bomba, Thomas Benson berkata, "Semasa kami melalui Yonge Street menghala ke Queens Quay, kami nampak kapal itu diselimuti api. Chief Stevens membuat panggilan kecemasan kedua ketika kami masih memandu ke tempat kejadian."

Mereka melihat 3 dek atas SS Noronic sudah terbakar sepenuhnya. Satu-satunya tanda-tanda kehidupan adalah bentuk manusia bergerak-gerak dilatar belakangkan oleh api. Keganasan api menyebabkan Chief Stevens segera membuat panggilan kecemasan yang ketiga.

Usaha habis-habisan telah dibuat untuk memadamkan api tetapi haba yang amat panas mengewapkan air sebelum ia mengenai badan kapal. Pada jam 02:46, kapal bomba yang mengikat dirinya ke bahagaian bow (kepala) SS Noronic mula menyemburkan air menggunakan 2 hos yang lebih kecil dan muncung turet. SS Noronic telah menerima terlalu banyak air sehingga ia mencondong. Anggota bomba terpaksa berundur sehingga kapal itu tegak semula.


Kapal bomba berusaha memadamkan api


SS Noronic condong


Usaha memadamkan api

Malam itu Jabatan Bomba Toronto telah menggunakan 37 hos dan mencurahkan lebih daripada 1.7 juta gelen air ke atas SS Noronic. Api itu akhirnya dapat dikawal pada jam 5:00 pagi, tetapi badan kapal masih lagi putih kepanasan di banyak tempat. Proses mencari terpaksa ditangguh hingga ia sejuk.


Usaha menyejukkan bangkai SS Noronic


Usaha menyejukkan bangkai SS Noronic

SS Noronic musnah dan hancur dari bow ke stern. Kaca dari setiap tingkap kapal cair, begitu juga dengan kelengkapan keluli; meleding dan berpintal, hilang bentuknya. Setiap tangga dalam kapal musnah kecuali 1 yang berhampiran bow.


Keadaan SS Noronic yang musnah


Royal York Hotel dari dalam bangkai kapal


Memeriksa purser's office

Keadaan dalam kapal semasa kebakaran :
Kebanyakan anak kapal telah melarikan diri tanpa membuat sapuan di 4 dek teratas untuk membangunkan penumpang. Ditinggalkan anak kapal, penumpang yang sedang tidur dikejutkan dengan bunyi jeritan dan orang-orang berlari di koridor. Ramai yang mendapati diri mereka terperangkap di dalam bilik. Mereka terkorban di situ, dibakar hidup-hidup di atas katil atau mati lemas tercekik asap.


Keadaan sebuah bilik tidur SS Noronic selepas kebakaran

Peralatan keselamatan tidak berfungsi dan pintu kecemasan tidak cukup. Kebanyakan tangga-tangga di dalam kapal telah terbakar dan cuma beberapa orang penumpang sahaja yang dapat sampai ke dek E untuk melarikan diri melalui tangga-tangga keluar kapal.

Ramai yang mati dalam kegilaan huru-hara dan panik di sekitar dek atas dalam perebutan mencari tempat selamat untuk turun ke dok. Ada yang mati dipijak. Ada yang menjerit kesakitan kerana pakaian mereka terbakar. Ada yang memecahkan tingkap dalam usaha untuk menyelamatkan diri. Wajah mereka dilumuri darah kerana terkena kaca semasa merangkak keluar. Yang terdesak mula terjun, yang bernasib baik masuk ke dalam air di mana penyelamat akan menarik mereka keluar dari tasik. Seorang lemas. Ada yang jatuh ke atas lantai konkrit pelabuhan dan mati. Ada yang tidak dapat melihat dengan jelas lalu jatuh ke dek bawah, menjadikan lantai dek licin dengan darah mereka. Ada yang turun dengan tali.

Dikatakan jeritan mangsa-manga adalah lebih kuat daripada bunyi wisel-wisel dan siren-siren, satu adegan yang paling ngeri dan menakutkan Toronto pernah disaksikan.


Menyelamatkan diri dengan tangga


Menyelamatkan diri dengan tali


Muka depan akhbar Toronto Daily Star, 17 September 1949


Muka depan akhbar Springfield Republican, 18 September 1949


Muka depan akhbar New York Times, 19 September 1949

Proses pencarian dan mengenal pasti mayat :


Keadaan Pier 9 semasa proses pencarian mayat

Proses pencarian mayat bermula pada jam 7:00 pagi. Pasukan pencari menjumpai barisan rangka-rangka hitam di sepanjang dewan koridor. Beberapa rangka ditemui dalam keadaan berpelukan manakala yang lain dijumpai di dalam katil-katil mereka. Ada yang cuma tinggal abu. Dipercayai ramai mangsa yang telah terwap (vaporised). Ahli bomba Tom Benson mengimbas kembali, "Kami memasuki kapal pada siang harinya dan menjumpai mayat di mana-mana. Ada yang terbakar sehingga hanya tengkorak atau tulang belakang sahaja yang tinggal. Keamatan haba adalah ke takat yang membakar tulang-tulang manusia."


Keadaan dalam bangkai SS Noronic

Pada jam 10:00 pagi, anggota bomba mula membawa mayat-mayat hangus keluar dari kapal. Pada mulanya, mayat-mayat di letakkan di atas jeti Pier 9, tetapi disebabkan terlalu banyak akhirnya Bangunan Horticultural telah dijadikan rumah mayat sementara. Mangsa yang terselamat seramai beratus orang dirawat di Hospital St. Michael.


Bangkai kapal semasa mayat dibawa keluar


Mayat dibawa keluar dari bangkai kapal


Suasana di rumah mayat sementara


Memeriksa pakaian untuk mengenal pasti mangsa kebakaran SS Noronic

Tanggungjawab mengenal pasti mayat telah dipikul oleh Medical Identification Committee. Proses ini hampir mustahil kerana tiada siapa tahu angka sebenar orang yang berada di atas kapal. Sebahagiannya adalah penumpang tidak berdaftar seperti tetamu dari Toronto yang datang melawat rakan-rakan penumpang. Apatah lagi malam itu ramai yang kembali dari berseronok di bandar dan membawa 'pasangan' mereka bersama. Ada yang didaftarkan di bawah nama palsu, contohnya penumpang yang sedang menikmati pelayaran romantis dengan seseorang yang bukan pasangannya.

Kesukaran proses ini ditambah lagi dengan kemusnahan kapal yang total. Banyak mayat yang telah terbakar begitu teruk sehingga tidak dapat dikenali. Ini memaksa proses forensik mencuba teknik baru. Buat pertama kalinya teknik pengenalan x-ray melalui rekod pergigian digunakan untuk mengenal pasti mayat. Walau demikian, 14 mangsa tetap gagal dikenal pasti.

Selepas setahun, angka kematian ditambat pada 118 nyawa termasuk 14 yang tidak dapat dikenal pasti walaupun sebenarnya tiada siapa yang pasti adakah bilangan itu tepat atau tidak.


Senarai nama-nama mangsa dari Springfield Republican, 18 September 1949


Senarai nama-nama mangsa dari New York Times, 19 September 1949

Hasil siasatan :
Siasatan Persekutuan membuat kesimpulan bahawa api telah dimulakan oleh rokok yang mungkin dibuang oleh seseorang yang memuatkan almari linen. Namun, tiada sesiapa yang dibawa ke muka pengadilan.

Topik utama siasatan tertumpu kepada bagaimana lebih dari 100 penumpang telah terkorban sedangkan hampir semua anak kapal terselamat. Ketidakcekapan dan sikap pengecut anak-anak kapal dipersalahkan atas jumlah kematian ini. Bilangan anak kapal bertugas terlalu sedikit dan tiada seorang pun cuba untuk membangunkan para penumpang. Juga, ramai anak kapal melarikan diri kapal seawal penggera kecemasan pertama selain tiada anak kapal yang menghubungi bomba semasa kebakaran.

SS Noronic didapati tidak mempunyai pelan yang sistematik untuk mengeluarkan orang dari kapal semasa kecemasan dan penumpang pula tidak dimaklumkan mengenai laluan atau prosedur pemindahan kecemasan. Rekabentuk dan cara pembinaan kapal berusia 36 tahun itu juga dipersalahkan; hiasan dalamannya dipenuhi kayu yang digilap dengan minyak dan bukannya bahan tahan api, jalan keluar hanya terletak di satu dek sahaja (dek E), dan hos kebakaran semuanya rosak.

Penyiasatan Jabatan Pengangkutan Kanada menyalahkan CSL dan Kapten Taylor di atas kegagalan untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang cukup bagi mengelakkan kebakaran, dan kegagalan Taylor untuk menunjukkan daya kepimpinan yang perlu pada masa bencana. Sijil Taylor digantung selama setahun.

Kesan kejadian :
Sebahagian bangkai SS Noronic yang tenggelam di dasar air cetek pelabuhan itu telah dicerai-beraikan di tempat kejadian. Dek-dek tingkat atas telah dipotong, dan badannya diapungkan semula pada 29 November, lebih 2 bulan selepas kebakaran. Ia telah ditarik ke Hamilton, Ontario, di mana ia telah dijadikan besi skrap.


Bangkai SS Noronic yang tenggelam di air cetek pelabuhan Toronto


Bangkai SS Noronic ditarik ke Hamilton

CSL telah membayar $2.15 juta dalam bentuk pampasan kepada mangsa dan keluarga mangsa. Berikutan tragedi itu Taylor tidak lagi berhasrat untuk berkhidmat di atas kapal. Dia mengambil persaraan awal dan menghabiskan tahun-tahun terakhir kehidupannya sebagai seorang kerani sebuah hotel di Sarnia.

Hakim Kelloch membuat kesimpulan dalam laporannya bahawa: bilangan rondaan di SS Noronic, cara-cara mengesan kebakaran, latihan pegawai dan anak kapal tentang tindakan ketika kebakaran, dan persiapan untuk mengeluarkan penumpang dari kapal; semuanya tidak mencukupi. Kelloch menggesa supaya syarat-syarat keselamatan baru yang ketat diperkenalkan. Jabatan Pengangkutan Kanada telah menerima banyak cadangan Kelloch dan peraturan-peraturan yang baru dan ketat telah digubal pada tahun 1950. Bahan-bahan seperti kayu dihadkan dalam pembinaan kapal. Dinding-dinding kalis api, alat pemadam api, penggera automatik, dan sistem pemercik air (sprinkler) diwajibkan.

Buat pertama kalinya, semua kapal yang melayari Great Lakes terpaksa memenuhi peraturan keselamatan yang betul. Tetapi pengubahsuaian ini memakan belanja yang banyak. Kapal-kapal lama mula ditarik daripada perkhidmatan. Tidak lama kemudian industri itu mula runtuh dan zaman kegemilangan pelayaran di Great Lakes pun berakhir.

Walaupun tragedi SS Noronic ini telah menamatkan industri kapal persiaran di Great Lakes, ia juga telah menjadi punca penambahbaikan ciri-ciri keselamatan maritim dan memulakan fasa baru dalam pemeriksaan kapal dan perlindungan terhadap kebakaran. Tragedi kebakaran SS Noronic ini kekal sebagai bencana yang paling meragut nyawa dalam sejarah Toronto sehingga hari ini. Wisel SS Noronic ini sekarang boleh dilihat di muzium nautika di Toronto Waterfront.


Sebuah tugu kecil mengingati kejadian ini didirikan berdekatan kawasan kejadian


Sebuah plak peringatan tragedi SS Noronic di Bay Street, Toronto

Penyelamat awal mengenang kembali tragedi kebakaran SS Noronic :


Video mengenai Herbert dan Ether Cannel, 2 penumpang SS Noronic yang terbakar :

Sumber :


Reply

Use magic Report

Post time 18-9-2016 06:17 PM | Show all posts
Edited by luna.millieu at 18-9-2016 06:19 PM

18 September, 1870
Old Faithful diberi nama

Geyser atau pancutan mata air panas semulajadi yang terkenal di dunia, Old Faithful, telah ditemui dan dinamakan pada hari ini 246 tahun yang lalu. Old Faithful terletak di Taman Negara Yellowstone, Wyoming, Amerika Syarikat.



Penemuan dan penamaan :
Pada petang 18 September 1870, ahli-ahli ekspedisi Washburn-Langford-Doane yang diketuai oleh Henry D. Washburn dan Nathaniel P. Langford telah mengembara menyusuri sungai Firehole dari air terjun Kepler Cascades dan memasuki kawasan Upper Geyser Basin (Lembangan Geyser Atas). Geyser pertama yang mereka lihat adalah Old Faithful tetapi pada masa itu ianya tidak bernama lagi.


Henry D. Washburn (28 Mac 1832 - 26 January 1871)


Nathaniel P. Langford (1832-1911)


Menyusuri sungai Firehole dari Kepler Cascades ke Old Faithful


Berkhemah di Yellowstone, 1871

Dalam artikel mengenai ekspedisi ini yang diterbitkan oleh syarikat percetakan Scribner pada tahun 1871, Nathaniel P. Langford menulis:
"Bayangkan, pada masa itu, betapa terkejutnya kami, semasa kami memasuki lembangan pada tengah hari perjalanan hari kedua kami, dalam cahaya matahari yang jelas, kami nampak dari jarak yang tidak jauh, sejumlah yang amat besar air jernih, berkilauan dipancutkan ke udara dengan ketinggian 125 kaki. "Geyser! Geyser!" jerit salah seorang daripada ahli ekspedisi kami, dan, memacu kuda kami yang letih, kami segera berkumpul di keliling fenomena yang indah ini. Ia sememangnya geyser yang sempurna. Bukaan di mana pancutan disemburkan adalah bujur tidak teratur, tiga kaki tujuh oleh diameternya. Margin mineral kerasnya telah menimbun dengan aneh, dan kerak luarnya dipenuhi dengan rongga kecil penuh dengan air, di dalamnya ada mendapan bulat kecil, ada diantaranya telah berkumpul di sekeliling cebisan kayu dan nukleus lain. Geyser berada di ketinggian tiga puluh kaki di atas paras sekitarnya, dan kawahnya naik lima atau enam kaki di atas bukit kecil itu. Ia menyembur pada jarak waktu berkala sebanyak sembilan kali selama kami berada di situ, tiang-tiang air mendidih dilempar dari sembilan puluh ke seratus dua puluh lima kaki pada setiap pancutan, yang berlaku selama dari lima belas ke dua puluh minit. Kami memberikannya nama 'Old Faithful'."


Artikel yang ditulis oleh Langford diterbitkan di majalah Scribner’s Monthly


Petikan artikel mengenai penemuan dan penamaan Old Faithful


Gambar pertama Old Faithful, 1870 oleh William Henry Jackson


Kawah Old Faithful, 1872 oleh William Henry Jackson

Nama Old Faithful itu diberikan kerana ia 'setia' kepada jadual pancutannya, iaitu sekali setiap 35 ke 120 minit selepas pancutan terakhir. Ini menjadikan Old Faithful salah satu fenomena bumi yang paling dapat diramal dengan ketepatan yang setinggi 90% dengan ralat tidak lebih dari 10 minit. Pada masa sekarang, Old Faithful membuat pancutan kira-kira 20 kali sehari.


Old Faithful, Photochromatic print, 1898

Mengikut Nathaniel P. Langford lagi, pada hari-hari awal Taman Yellowstone, Old Faithful sering kali digunakan sebagai tempat membasuh pakaian:
"Old Faithful kadang-kadang diperlekeh dengan menjadikannya sebuah dobi. Pakaian diletakkan di dalam kawah semasa ia senyap akan ditolak keluar bersih dibasuh apabila letusan berlaku. Orang-orang Jeneral Sheridan, pada tahun 1882, mendapati bahawa linen dan fabrik kapas tidak mengalami kerosakan dengan tindakan air itu, tetapi pakaian bulu koyak menjadi koyak rabak."

Letusan air panas Old Faithful :
Letusan air panas Old Faithful boleh menembak air mendidih sebanyak 14,000 kepada 32,000 liter pada ketinggian 32-56 meter selama 1.5 ke 5 minit. Ketinggian purata letusan Old Faithful ialah 44 meter. Jarak waktu antara letusan boleh berubah antara 35 ke 120 minit antara setiap letusan, dengan nilai purata 66.5 minit pada tahun 1939 yang perlahan-lahan meningkat kepada purata 90 minit hari ini. Ini mungkin disebabkan oleh kejadian-kejadian gempa bumi yang mempengaruhi paras air bawah tanah.


Orang ramai menyaksikan pancutan air panas Old Faithful, 1950an


Orang ramai menyaksikan pancutan air panas Old Faithful kini

Lebih daripada 137,000 letusan telah direkodkan di Old Faithful.
Harry Woodward ialah orang pertama yang menerangkan hubungan matematik antara tempoh masa letusan dan jarak waktu antara letusan Old Faithful pada tahun 1938.

Walaupun Old Faithful adalah geyser yang paling terkenal, ianya bukanlah geyser yang tertinggi mahupun terbesar di Taman Negara Yellowstone. Geyser yang tertinggi dan terbesar di Yellowstone ialah Steamboat Geyser, walaupun letusannya lebih susah diramal berbanding Old Faithful.


Steamboat Geyser, 1984

Kajian mengenai Old Faithful :
Antara tahun 1983 dan 1994, empat instrumen siasatan yang mengandungi alat pengukur suhu dan pengukur tekanan serta peralatan video telah dimasukkan ke dalam Old Faithful.


Lubang bukaan (saluran udara) Old Faithful

Instrumen telah diturunkan sedalam 22 meter. Ukuran suhu air pada kedalaman 118°C, suhu yang sama ketika diukur pada tahun 1942. Peralatan video diturunkan ke kedalaman maksimum 13 meter untuk memerhatikan pembentukan saluran air Old Faithful dan proses yang berlaku di dalamnya. Sebahagian daripada proses yang diperhatikan adalah termasuk: pembentukan kabus disebabkan oleh interaksi udara sejuk dari atas bercampur dengan udara panas dari bawah, proses aliran air memasuki saluran, dan kemasukan stim panas melampau yang bersuhu setinggi 129°C ke dalam saluran itu.

Video keadaan di dalam Old Faithful :


Meramal waktu letusan Old Faithful :


Sumber :



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

3-5-2024 10:24 PM GMT+8 , Processed in 0.250397 second(s), 41 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list