|
TERENGGANU 12 April - Tiga ratus dua pegawai dan anggota polis telah ditugaskan bagi memastikan keselamatan para peserta Festival Mencandat Sotong Antarabangsa 2014 yang bermula semalam.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, polis turut dibantu oleh 105 penguat kuasa dari agensi lain seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Beliau berkata, kesemua petugas keselamatan dari pelbagai agensi itu turut dilengkapi dengan 14 aset keselamatan di darat dan laut bagi memastikan perjalanan festival selama tujuh hari itu berjalan lancar.
"Langkah yang dilakukan ini memberi keyakinan tahap keselamatan kepada kira-kira 250 pengamal media cetak dan elektronik dari dalam dan luar negara sepanjang menyertai festival itu di negeri ini.
"Kita bukan sahaja mengawal keselamatan mereka semasa berada di daratan malah ketika melakukan aktiviti di air seperti mencadat sotong juga diberi kawalan keselamatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Festival Candat Sotong Antarabangsa Terengganu di perairan negeri ini disertai kira-kira 250 petugas media dari 25 buah negara untuk menjadi rakan penyiar dan liputan program sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 selama tujuh hari.
Antara negara yang menyertai festival ini antaranya ialah Australia, Brunei, China, Jerman, Korea Selatan, Hong Kong, India, Indonesia, Perancis, Sepanyol, Singapura, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat. - BERNAMA
|
|