Tahun ini satu lagi lembaran bersejarah tercipta buat produksi tempatan selepas syarikat produksi Global Station Sdn Bhd (GSSB) memeterai perjanjian bersama (MoU) dengan Astro dan TV Azteca memorandum persefahaman projek mega bertaraf antarabangsa. Impian rakyat Malaysia untuk melihat produk tempatan disanjung di peringkat dunia nampak-nya hanya selangkah lagi untuk direa-lisasikan.
Apa yang nyata, peluang menyertai acara Pasaran Program Televisyen Antarabangsa 2014 (MIPTV 2014) di Palais De Festival, Cannes, Perancis perte-ngahan tahun ini membuka jalan positif ke arah usaha sama itu.
Lebih jelas lagi, kolaborasi itu berbentuk Astro sebagai penyiar, GSSB selaku produser eksklusif sementara TV Azteca pula sebagai pemegang format (format holder).
Lanjutan daripada perjanjian itu, berlangsung satu pertemuan khas antara Pengarah Urusan GSSB, Datin Zaiton Muhd Jiwa bersama Pengarah Jualan dan Pembangunan Projek Comarex, Martha Contreras, Ketua Unit Drama Premium Dan Filem Astro, Saniboey Mohd Ismail serta bintang utamanya, Anzalna Nasir, Hisyam Hamid dan Afiq Muiz di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, minggu lalu bagi membincangkan lagi projek mega berkenaan.
GANDINGAN Anzalna bersama Hisyam Hamid.
Difahamkan, sebagai anak syarikat TV Azteca, Comarex bertanggung jawab memasarkan karya ini kelak ke rangkaian stesen TV luar negara.
Mengikut perjanjian itu, projek pertama yang dilaksanakan berupa sebuah telenovela adaptasi daripada cerita Mexico berjudul A Love To Remember atau Kenangan Cinta lakonan ketiga-tiga pelakon popular berkenaan bersama ramai lagi pelakon terkenal tempatan.
“Projek ini satu penghormatan kepada produksi Malaysia untuk meneroka pasaran antarabangsa selepas kita melihat kejayaan Indonesia, Filipina dan Vietnam yang terlebih dahulu mengorak langkah. Setakat ini semua berjalan lancar dan kami baru memulakan penggambaran bagi 148 episod,” kata Zaiton.
MARTHA yakin dengan kualiti produksi tempatan.
Menceritakan lebih lanjut, Martha pula berkata, dia sudah lama bersahabat dengan Zaiton dan sangat berbang-ga dapat menjalinkan usahasama hebat itu.
“Bertahun lamanya saya terbabit dalam industri drama Malaysia bermula dengan membekalkan telenovela kepada stesen TV di sini. Akhirnya penantian untuk mengangkat produksi tempatan tercapai. Penghasilan telenovela itu sendiri memakan beratus episod dan bukan produksi biasa boleh melakukannya.
“Bagaimanapun, mengikuti perkembangan industri seni di sini, saya secara peribadi melihatnya semakin hebat baik daripada produksi sehing-galah jalan cerita yang disajikan. Lantas, saya bersyukur kolaborasi ini terhasil dan saya sangat yakin ia boleh dibawa ke pentas dunia,” katanya.
Bukan saja atas dasar persahabatan semata-mata, Martha juga melihat sendiri kualiti itu pada produksi milik Zaiton yang jelas sangat menitikberatkan kualiti menerusi pelbagai drama termasuklah Adam Dan Hawa. Sekali gus, penghasilan A Love To Remember dilihat sebagai kayu pengukur terhadap kualiti produksi tempatan.
ZAITON gembira impian menembusi pentas global jadi kenyataan.
Sementara itu, bagi Zaiton, bukan saja dimensi baru tercipta buat produksinya, bahkan bagi projek itu beliau sendiri sebenarnya me-ngambil risiko yang cukup besar. Mana tidaknya, beliau melaburkan dana daripada syarikat sendiri untuk produk yang cukup besar sedangkan ia percubaan pertama kali.
“Ini risiko perlu saya ambil demi merealisasikan impian yang sekian lama saya pendam iaitu melihat kualiti produksi kita diiktiraf ke peringkat antarabangsa. Memang sudah lama saya nantikan saat ini dan yakin pelaburan ini tidak sia-sia, apatah lagi setiap sudut sudah kami lihat secara teliti.
“Bagi saya ini bukan kejayaan peribadi kepada diri saya semata-mata kerana ia sebagai pembuka langkah kepada syarikat produksi Malaysia yang lain untuk sama-sama merebut peluang keemasan ini bagi menaikkan taraf drama kita,” katanya.
Anzalna minat lakonan Thalia
Bagi pelakon jelita, Anzalna Nasir, terpilih sebagai watak utama dalam projek sulung telenovela ini pula umpama mimpi jadi kenyataan. Sebelum ini pun dia peminat tegar telenovela dan sering mengidamkan untuk menjayakan siri sebegitu.
Menjadikan aktres jelita Mexico iaitu Thalia sebagai idolanya, Anzalna bagaimanapun berdebar untuk menghidupkan wataknya sebagai Suraya dalam A Love To Remember.
Thalia sebagai Rosalinda
“Terus terang, saya memang sangat suka telenovela sejak daripada dulu dan selalu berangan dapat berlakon dalam siri sebegitu suatu hari nanti. Apalagi sangat meminati Thalia yang popular menerusi telenovela Rosalinda, saya juga suka jalan cerita ditonjolkan mereka walaupun sangat drama.
“Menerusi watak Suraya itu kelak, saya dituntut untuk bermain banyak emosi di mana Suraya adalah mangsa kepada kekejaman ibu saudaranya. Banyak konflik bakal berlaku sebagaimana yang selalu terjadi dalam cerita telenovela dan rasanya tanggungjawab itu sangat berat untuk digalas juga selain penggambarannya cukup panjang,” katanya.
Bagaimanapun, bukan semua pelakon mampu menyahut cabaran untuk menjayakan siri yang menuntut mereka berada di set penggambaran berbulan-bulan. Begitu juga Anzalna risaukan hal berkenaan mulanya kerana menerima tawaran itu bermakna dia perlu komited menghabiskan masa yang lama di lokasi.
“Takut juga pada mulanya memikirkan penggambaran itu adalah sangat lama di mana kami perlu menghabiskan 148 episod. Apapun, banyak sebenarnya hal yang membuatkan saya terpujuk termasuk sangat selesa bekerja dengan GSSB selepas beberapa kali terbabit bersama produksi itu,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ALoveToRemember_Selangkahkeperingkatantarabangsa/Article/index_html
Last edited by RatuDunia94 on 18-9-2014 11:23 AM
|