Edited by babyridz at 23-9-2015 06:01 PM
Thanks : Kosmo
Industri seni sekarang sudah tidak sama seperti dahulu. Kemajuan teknologi menjadikan seseorang artis itu lebih mudah untuk dekat dengan peminat. Jika dahulu, peminat perlu menantikan laporan akhbar dan majalah hiburan untuk mengetahui perkara terbaharu perihal kehidupan selebriti.
Berbeza kini, majoriti artis tempatan agak aktif dalam laman sosial begitu juga Rita Rudaini menerusi akaun laman sosial Instagramnya. Keterbukaan pelakon itu berkongsi perkembangan karier, perniagaan mahupun hal peribadi nampaknya mengundang kata-kata negatif kepada dirinya. Ada yang berpendapat bahawa luahan rasa Rita menerusi akaun Instagramnya seakan wanita itu tidak boleh melupakan kisah lama perkahwinannya sebelum bercerai.
“Ada memberi komen supaya saya melupakan hal silam. Memang saya sudah lama lupakan, tetapi mereka yang sering teringat-ingat cerita silam saya. Jadi siapa sebenarnya yang belum melupakan,” tanya wanita berusia 39 tahun ini.
Rita Rudaini merupakan seorang ibu tunggal kepada dua orang anak iaitu, Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4, hasil perkahwinannya dengan bintang bola sepak Aidil Zafuan Abdul Radzak. Mereka bernikah pada 25 Februari 2008 dan bercerai talak satu pada 5 September 2015 selepas lima tahun berkahwin.
Rita tidak menafikan, terdapat kata-kata negatif yang dilemparkan di ruangan komen akaun Instagramnya tetapi dia lebih selesa untuk tidak melayan komen-komen sedemikian. “Komen-komen negatif memang saya akan buat tidak tahu sahaja. Cuma, sesekali ada juga saya nasihat mereka semula sekadar untuk memberi pengajaran,” jelasnya.
Tambahnya lagi, terdapat juga peminat yang meminta nasihat daripada dirinya, terutamanya melibatkan hal rumah tangga. “Bukan saya tidak mahu nasihat, cuma saya risau jika saya komen, khuatir nasihat saya itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan kehidupan orang lain. Banyak benda perlu dijaga sebab kita bukan kenal secara peribadi pun,” ujarnya. Rita mengaku, dia memang gemar berkongsi mengenai hal yang dilakukan seharian terutamanya jika dia menghadapi sesuatu masalah. “Saya lihat ini daripada sudut positif. Saya berkongsi masalah supaya perkara itu boleh menjadi pengajaran kepada sesetengah pihak. Ia juga mampu meredakan tekanan buat seketika,” ujarnya. Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, Rita kini sedang mempromosikan filem lakonan terbaharunya, Love, Supermoon yang akan ditayangkan pada 22 Oktober depan di seluruh pawagam tanah air. |