KUALA LUMPUR: Pelakon, Den Wahab dan pengarah, Aziz M Osman serta keluarga mereka terkandas di Korea Selatan selepas didakwa ditipu individu yang menyamar sebagai wakil agensi pelancongan.
Den Wahab atau nama sebenarnya Zaharuddin Abdul Wahab, berkata berikutan itu, beliau dan 22 ahli keluarganya serta rombongan di sana menanggung kerugian lebih RM50, 000.
"Saya baharu mengetahui daripada isteri Aziz, Lily Lokman yang turut sama bersama kami ke Korea bahawa rombongan kami ditipu oleh seorang individu, yang menyamar mempunyai agensi pelancongan dan menawarkan pakej pelancongan untuk ke Korea Selatan.
"Kami tiba Ahad lalu dan semuanya lancar sehinggalah hari ini apabila kami diminta untuk mengosongkan bilik penginapan kerana pihak agensi di Korea, Arba Travel & Tours tidak menerima bayaran daripada individu itu," katanya.
Den yang menghubungi BH dari Korea mendakwa, individu itu juga dikatakan telah menipu orang lain sebelum ini, termasuk Datuk Rosyam Nor.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Arba Travel &Tours, Ammar Shahrin ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesan ditipu oleh individu terbabit selepas tiada bayaran dibuat sehinggalah rombongan itu berada di Korea selama tiga hari.
"Kami terpaksa menampung kos keseluruhan rombongan itu sehinggalah mereka pulang pada Khamis ini.
"Kami menegaskan bahawa ini adalah kali pertama syarikat berurusan dengan individu terbabit dan kami tidak pernah melantik dia sebagai wakil agensi kami," katanya.
|