CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4724|Reply: 0

Bahana kecelaruan personaliti

  [Copy link]
Post time 14-3-2023 07:06 AM | Show all posts |Read mode
Bahana kecelaruan personaliti


Baru-baru ini tular di media sosial, seorang wanita meluahkan masalah mengenai penderitaan yang dihadapi apabila pasangannya mempunyai ciri-ciri penghidap kecelaruan personaliti narsistik (NPD).

Menerusi luahannya, di luar suaminya dilihat sebagai seorang yang alim, sopan dan dermawan, namun apabila di rumah perwatakannya berubah 180 darjah.

Selain culas memberi nafkah dan kedekut, lelaki itu memberi layanan buruk terhadap isterinya dengan menghina dan mencerca sehingga memberi kesan terhadap mental serta emosi.

Pensyarah di Jabatan Psikologi, AbdulHamid AbuSulayman, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nur Aini Alegrea Suner berkata, kajian yang dijalankan di Australia pada 2022 terhadap mangsa pasangan NPD menunjukkan luahan hampir sama yang dialami wanita yang terbabit.

Katanya, menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM V), gangguan personaliti disenaraikan sebagai sindrom klinikal yang menjejaskan cara mereka berinteraksi dan mempunyai simptom yang berpanjangan.

"Ciri-ciri NPD yang paling utama ialah menilai diri sendiri terlalu tinggi, (grandiosity) keinginan untuk dikagumi dan kekurangan empati

"Dalam kebanyakan kes, pada luaran, individu yang menepati ciri ciri NPD ini akan kerap merendah-rendahkan orang lain. Namun, hakikatnya, individu itu bertarung dengan perasaan ketidakyakinan diri. Ini selalunya berlaku akibat daripada tidak berupaya untuk menerima sebarang bentuk kritikan atau penolakan," katanya.

Menurutnya, terdapat banyak kajian yang menyatakan bahawa genetik dan faktor alam sekitar berperanan dalam menyebabkan seseorang itu mengalami NPD.



"Beberapa kajian mencadangkan kecenderungan genetik termasuk pengalaman ketika kanak-kanak seperti sering tidak dipedulikan atau ditolak dan ego yang rapuh berkemungkinan menyumbang kepada NPD apabila melangkah ke alam dewasa.

"Kajian lain pula menunjukkan pujian yang berlebihan, termasuk ibu bapa sering menanam idea kepada anak bahawa mereka mempunyai kebolehan yang luar biasa ('istimewa') juga boleh menjadi salah satu punca mengapa kanak-kanak itu akan membesar dalam alam fantasi atau tidak berpijak pada bumi yang nyata," katanya.

Nur Aini yang juga psikologis klinikal berdaftar di bawah Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia (MSCP) berkata, dalam hubungan rumah tangga yang mempunyai pasangan mengalami NPD akan bermasalah kerana mereka mempunyai sifat mementingkan diri sendiri, kurang empati, merasakan mereka berhak disanjung, suka mengeksploitasi orang lain, seronok bermain dengan emosi, tidak setia dan mungkin menggunakan keganasan atau kekerasan dalam perhubungan.

"Narsisis biasanya seorang yang pandai mengambil hati dan menarik sekali gus menjadikan mereka kelihatan hebat dalam perhubungan.

"Bagaimanapun, hubungan itu disifatkan sebagai 'superficial.' Mereka biasanya akan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan hubungan dengan menggunakan pelbagai taktik kerana perhubungan itu mengekalkan harga diri mereka.


NARSISIS akan berang dan menjadi agresif sekiranya mereka berasa terancam atau ditolak.

"Selain itu, narsisis akan berang dan menjadi agresif sekiranya mereka berasa terancam atau ditolak. Mereka suka menyimpan dendam dan akan menghabiskan banyak masa untuk merancang plot yang rumit untuk membalas dendam.

"Akhirnya, pasangan kepada narsisis akan mengalami kemurungan, gangguan emosi, merasa gelisah, menyalahkan diri sendiri, malah menghadapi penyakit berunsur somatik," katanya.

Nur Aini berkata, sekiranya tidak ditangani dengan segera, maka kesihatan mental pasangan dan ahli keluarga akan terjejas termasuk berisiko untuk mengalami kemurungan, menyalahkan diri sendiri dan akhirnya percaya mereka tidak boleh hidup tanpa pasangan mereka.

"Ini secara tidak langsung meningkatkan rasa kebergantungan dan menyukarkan pasangan untuk meninggalkan hubungan sedemikian, walaupun hidup dalam keadaan yang toksik.

"Jika pasangan bertindak untuk meninggalkan hubungan yang toksik itu, pasangan narsisis itu akan cuba pelbagai taktik untuk memujuk dan mendapatkan kembali kepercayaan pasangan mereka. Ini membuatkan pasangan terus hidup dalam cengkaman narsisis.

"Apa yang paling membimbangkan ialah apabila anak terdedah kepada kehidupan yang toksik dalam keluarga, kebarangkalian untuk mereka meniru apa yang mereka lihat di rumah dan menjadi narsisis seperti bapa atau ibu mereka apabila menjangkau alam dewasa, adalah sangat tinggi," katanya.


https://assets.hmetro.com.my/ima ... HNA5_1677884475.jpg
ANAK terdedah kepada kehidupan yang toksik dalam keluarga.
Beliau berkata, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil pasangan yang mengalami NPD termasuk mengetahui tanda-tanda NPD yang akan membantu anda memahami dan bersedia untuk mengharungi sebarang cabaran.

"Selain itu, sekiranya pasangan anda menunjukkan sebarang perilaku agresif atau mula mendera anda secara fizikal atau mental, segeralah minta bantuan termasuk hubungi talian bantuan sokongan dan berjumpa dengan psikologis klinikal/kauselor atau terapis untuk membantu anda.

"Anda juga perlu mengamalkan penjagaan diri (mental dan fizikal) dan mencari sistem sokongan yang sihat yang boleh membantu anda memupuk keyakinan diri.

"Jika anda merasakan pasangan anda cuba untuk menimbulkan pergaduhan, cuba untuk tidak bertindak melulu dengan membalas secara agresif, sebaliknya cuba berkomunikasi dengan tenang dan lembut. Anda perlu memberitahu pasangan anda bagaimana percakapan dan tingkah laku itu memberi kesan kepada anda," katanya.

Nur Aini berharap supaya masyarakat akan lebih peka dan lebih memahami NPD.

"Dengan adanya pengetahuan dan kesedaran, ia boleh membantu menangani masalah perhubungan dan dapat mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/202 ... elaruan-personaliti

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 11:37 PM GMT+8 , Processed in 0.096286 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list